Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Ujian pertama KRU Studios – 04.04.2009

leave a comment »

UMUM sudah mengetahui kumpulan trio terkenal, KRU menerusi syarikat perfileman mereka, KRU Studios sudah mencipta pelbagai kejayaan menerusi filem-filem terbitan mereka.

Bermula dengan filem Cicak-Man yang ditayangkan pada tahun 2006, Duyung dan tahun lalu, Cicak-Man 2: Planet Hitam semuanya mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Kreativiti KRU yang dianggotai oleh Norman, Yusry dan Edry sememangnya tidak dapat disangkal lagi dan mereka merupakan antara nyawa baru dalam memberikan sesuatu yang berbeza dalam penerbitan filem tempatan.

Disco Worms Poster

Untuk tahun ini sahaja, dianggarkan lebih kurang lima buah filem terbitan KRU Studios sudah siap menjalani penggambaran hanya menunggu masa untuk ditayangkan sahaja.

Selain daripada menerbitkan filem-filem sendiri, KRU Studios juga melebarkan lagi sayap mereka apabila mengorak langkah dengan menjadi pengedar filem-filem antarabangsa.

Buat permulaan, sebuah filem animasi berjudul Sunshine Barry & The Disco Worms atau singkatannya, Disco Worms akan menjadi ujian pertama KRU Studios apabila ditayangkan di pawagam tempatan bermula 9 April ini.

Disco Worms bukanlah sebuah filem animasi biasa yang sering disajikan kepada penonton kerana filem ini mempunyai pengisian yang sarat dengan mesej yang berguna serta amat sesuai ditonton oleh seisi keluarga.

Disebabkan kelainan itu juga telah menjadikan pihak KRU Studios begitu optimis dengan filem animasi kelahiran Denmark itu.

Ketika dihubungi baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim menjelaskan, dia begitu tertarik dengan elemen muzikal dan komedi yang diterapkan dalam filem arahan Thomas Borch-Nielsen itu.

Apatah lagi Disco Worms juga diselitkan dengan lagu-lagu 70-an yang ternyata memberikan satu pendekatan yang berbeza dalam sajian filem animasi yang dihidangkan kepada penonton sebelum ini.

“Ini juga adalah salah satu cara kami untuk memperkenalkan karya-karya pengkarya dari negara lain kepada penonton tempatan. Sebelum ini, kita sudah biasa dengan filem animasi dari Amerika Syarikat.

“Tetapi, kita tidak tahu bahawa ada negara lain yang menghasilkan filem animasi yang bagus dan menarik untuk ditonton. Malah, saya sendiri sewaktu menonton filem ini di luar negara tidak berapa lama dulu, terpesona dengan penghasilan Disco Worms ini.

“Kerana itu, KRU Studios tidak teragak-agak untuk mengedarkan filem ini bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Brunei dan Singapura kelak,” katanya bersungguh.

Sehingga kini, Disco Worms sudah berjaya menerima beberapa pengiktirafan di sekitar benua Eropah antaranya Anugerah Filem Fantasi di Festival Antarabangsa Brussels, Festival Robert dan banyak lagi.

Meskipun Disco Worms bukanlah air tangan syarikatnya, namun jauh di sudut hatinya dia begitu mengharapkan filem ini akan mendapat tempat di kalangan peminat filem animasi.

Katanya, dengan kemasukan filem-filem hebat dan blockbuster selepas ini, setidak-tidaknya Disco Worms mampu memberikan variasi kepada penayangan filem-filem di pawagam tempatan seiring dengan pendekatan filem tersebut yang amat sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Disco Worms menggunakan medium bahasa Inggeris sebagai pengantara dan menyediakan sari kata dalam bahasa Melayu dan Mandarin.

Trailer ‘Sunshine Barry & The Disco Worms

Selepas Disco Worms, Norman juga sudah merancang untuk mengedar sebuah lagi filem animasi berjudul Studio 51 yang diterbitkan oleh sebuah syarikat produksi di Sepanyol.

Selain itu, KRU Studios juga menanam impian untuk menjadi salah sebuah syarikat pengedar filem terkemuka apabila mereka telah menetapkan untuk mengedar enam hingga 10 judul filem sehingga tahun 2010.

Ini juga termasuk sebuah filem Hollywood, Deadline arahan Sean McConville yang dilakonkan oleh Thora Birch dan Brittany Murphy yang turut memperlihatkan KRU Studios sebagai penerbit bersekutu.

Norman turut memberitahu, dia sudah berbincang dengan Yusry dan Edry untuk menghasilkan tiga filem animasi dalam tempoh lima tahun akan datang selain daripada filem-filem cereka.

“Kami mahu mempelbagaikan lagi genre filem terbitan syarikat kami dalam usaha merancakkan lagi industri perfileman tanah air. Semuanya dalam perbincangan dan insya-Allah, kami yakin semuanya akan berjalan dengan lancar,” jelasnya yang memberitahu filem Jin Notti lakonan Mawi dan Fara Fauzana akan ditayangkan pada bulan Ogos nanti.

Sumber: Utusan Online

Written by Langit Biru

April 4, 2009 pada 5:04 pm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: