Langit Biru

Semua orang sudah tahu

15.04.09 Kak Nita maafkan Faizal

leave a comment »

15.04.2009

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my

LEWAT hanya 15 minit! Itu jawapan Faizal Tahir bagi menamatkan kontroversi insiden yang kurang menyenangkan melanda antara dia dan penyanyi versatil, Anita Sarawak.

Image Hosted by ImageShack.us
FAIZAL mengambil peluang untuk meminta maaf daripada Kak Nita.

Faizal sebelum ini dikatakan tiba lewat sejam pada sidang media mengenai pembabitan kedua-dua mereka dalam persembahan Minggu Setiausaha anjuran PNB Darby Park, awal Mac lalu.

Sedangkan Anita atau nama mesranya, Kak Nita tiba tepat pada masanya dan menunggu kehadiran Faizal. Bayangkan, Kak Nita yang lebih senior daripadanya menanti kedatangan Faizal yang kemudiannya tiba tanpa meminta maaf atas kelewatannya. Ramai yang bengang dengan tindakan Faizal yang dilihat kurang sopan. Dia memberikan alasan terperangkap dalam kesesakan jalan raya akibat hujan lebat.

Namun, sebaik sahaja habis persembahan Minggu Setiausaha yang berlangsung Selasa lalu, Faizal yang bersua dengan Kak Nita akhirnya meminta maaf daripada penyanyi yang disegani itu.

Insiden kelewatan itu telah menimbulkan isu bahawa Faizal mempunyai masalah disiplin. Ditambah dengan beberapa insiden yang menimpanya sebelum itu, Faizal telah dilabelkan sebagai penyanyi bermasalah.

Namun, kini tampil dengan imej baru berambut pendek, Faizal mengakui segala gelaran negatif yang dilemparkan terhadapnya memang tidak disenanginya.

Image Hosted by ImageShack.us
IMEJ baru, semangat baru, Faizal mahu menjadi artis yang lebih berdisiplin.

“Rasanya benda ini tidak berapa seronok untuk didengar. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, saya hanya lewat 15 minit ke sidang media itu dan bukannya sejam.

“Jadi saya sendiri berasa terkejut apabila membaca laporan yang menyatakan saya lambat sejam. Saya boleh buktikan bahawa saya hanya lewat 15 minit. Apa yang berlaku adalah salah faham,” kata Faizal secara serius.

Tidak mahu membiarkan perkara itu berlanjutan, Faizal bagaimanapun mengaku kelewatan itu merupakan satu kelemahan bagi dirinya. Namun, katanya ia bukan satu masalah serius yang memerlukan masa panjang untuk diselesaikan.

“Menjadi ketua keluarga yang mempunyai tiga orang anak, saya perlu mengendalikan banyak benda. Saya ada banyak komitmen dan membuat perancangan awal itu amat penting.

“Lagipun selepas ditegur oleh pihak media, saya lebih mengambil berat terhadap masalah ini dan akan mengatasinya. Ini bukan satu masalah berat yang sukar untuk diselesaikan kerana masih berada pada tahap awal,” tambah Faizal.

Apabila ditanya sama ada dirinya serik kerana ‘ditimpa’ pelbagai masalah terutama selepas dirinya lebih popular, Faizal memberitahu itu adalah proses pembelajaran bagi dirinya. Baginya sebagai figura umum, setiap kelemahan akan disaksikan dari semasa ke masa.

Maka adalah penting untuk memiliki mentaliti yang kuat dan mengambil semua teguran sebagai proses membaiki kelemahan. “Apa yang saya lalui dalam masa dua tahun ini terlampau banyak. Mana ada artis yang teruk dihentam seperti saya? Tapi saya akan terus memperbaiki diri.”

Walaupun tidak berapa sihat semasa menjalankan persembahan, Faizal menghiburkan peminat dengan lima buah lagu termasuk Cuba, Mahakarya Cinta, Gemuruh, Sampai Syurga dan You Make Me Real.

Berasa bangga untuk membuat persembahan bersama Kak Nita, ada pihak yang menegur Faizal yang kerap berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris semasa berada di atas pentas.

“Selalunya berdasarkan majlis saya akan berbicara dalam Bahasa Inggeris tetapi bukannya 100 peratus. Dalam majlis sambutan Minggu Setiausaha, ia dihadiri bukan sahaja orang Melayu, Cina dan India tetapi juga tetamu dari negara luar. Maka, berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris itu bukan satu isu.

“Ditambah dengan situasi saya yang pernah membesar di negara luar, saya secara natural akan bercakap Bahasa Inggeris ketika berada di atas pentas. Ini kerana sejak kecil saya menggunakan Bahasa Inggeris di pentas.

“Ramai orang memberi komen atas perkara ini, jadi selepas ini saya akan cuba belajar,” katanya yang berasa yakin apabila dia dikerumuni oleh peminat semasa menjayakan Minggu Setiausaha itu.

Persembahan terakhir Kak Nita?

Tenaga seorang penyanyi bernama Anita Sarawak tidak pernah menghampakan. Setiap kali persembahannya, Kak Nita memberikan yang terbaik buat peminat sehingga ramai yang tertanya-tanya dari mana penyanyi itu mendapat semangat sebegitu.

Baru mencecah usia 57 tahun pada 23 Mac lalu, persembahan yang ditonjolkan oleh Kak Nita mungkin tidak dapat dilakukan oleh penyanyi muda. Namun, semasa menjalankan persembahan pada Minggu Setiausaha di Dewan Konvensyen Sime Darby itu, Kak Nita memberitahu ini mungkin adalah persembahan terakhirnya.

Terkejut dengan kenyataannya, pihak media bertanya apakah yang dimaksudkan oleh Kak Nita kerana menyaksikan sambutan Minggu Setiausaha yang dihadiri 1,000 penonton, Kak Nita pastinya masih hangat di pasaran.

“Maksud Kak Nita, kalau Tuhan izinkan, Kak Nita akan teruskan karier ini. Faktor kesihatan dan usia juga amat penting. Kalau tidak ada apa yang menghalang, Kak Nita akan terus menghiburkan peminat walaupun tidak mempunyai rehat secukupnya.

“Sebenarnya selepas bertemu dengan abang Mahathir, Kak Nita sudah merancang untuk bersara. Siapa sangka dia pula membawa Kak Nita kembali kepada industri. Selagi masih mendapat sokongan peminat, Kak Nita akan terus menyanyi. Pasal bersara, Kak Nita tidak dapat merancang buat masa ini,” kata Kak Nita tersenyum.

Baru sahaja menerima Anugerah Khas P.Ramlee pada Anugerah Perdana Seniman Malaysia 2009 yang berlangsung di Kuching, Sarawak, Kak Nita terharu dengan pengiktirafan yang diberikan. Terlibat dalam banyak persembahan korporat, Kak Nita juga merupakan artis eksklusif Astro.

Sibuk dengan pelbagai aktiviti, ada sebab lain yang membuatkan Kak Nita menerima tawaran untuk menjayakan Minggu Setiausaha PNB Darby Park.

Dia yang menyampaikan lagu Diva, Dengar Ini Cerita, Seksis, Lagu Joget Gila Bayang, Akhirnya Kini Pasti, Asmara dan Sophisticated Lady memberitahu PNB sudah banyak kali memintanya untuk membuat persembahan.

“Kalau Kak Nita sudah bosan dengan Minggu Setiausaha, Kak Nita tidak akan melakukannya. Namun, Kak Nita menerima tawaran ini bukan disebabkan wang. Secara jujur, wang tidak boleh ‘membeli’ Kak Nita. Pihak PNB sudah lama bertanya dan memandangkan ekonomi yang gawat, Kak Nita memberikan tawaran yang bagus.

“Kak Nita bukannya meminta bayaran sebaliknya berbincang dengan mereka bayaran yang boleh diberikan. Kami berbincang dan bukannya tawar-menawar,” ujar Kak Nita.

Dia ternyata gembira apabila mendapati tiket persembahannya itu sudah habis dalam tempoh dua minggu sebelum tarikh persembahan dan atas sebab itulah dia membalasnya dengan menyalurkan persembahan penuh bertenaga dan membuatkan semua yang menyaksikan persembahan pulang dengan hati yang puas.

Sumber: Kosmo! Online

20.04.2009

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Kucupan di tangan, sejambak bunga sebagai tanda tiada perselisihan

HUTANG penyanyi Faizal Tahir kepada diva Anita Sarawak sudah terbayar. Tanpa memikirkan soal senioriti, Anita sendiri bertanya kepada penyanyi itu mengenai hasrat hatinya untuk memohon maaf sebaik mereka bertemu selepas menjayakan Minggu Setiausaha anjuran PNB Darby Park.

“Dengar kata Faizal ingin memohon maaf daripada Kak Nita ya?” pantas penyanyi berusia 57 tahun itu bersuara sebaik Faizal melangkah ke bilik sidang media.

Image Hosted by ImageShack.us
FAIZAL bersalaman dengan Anita Sarawak sebagai tanda memohon maaf.

Peluang yang sudah lama dinanti-nantikan pemilik lagu Bencinta itu tidak disia-siakan Faizal. Sudah lama dia menantikan saat itu dan tanpa berlengah, tangan dihulur, maaf pun dipinta berserta sebuah kucupan di tangan Anita sebagai tanda hormat.

Adegan yang cukup manis itu bukan saja disaksikan media, malah suami tercinta penyanyi itu Mahathir Abdullah serta kakitangan PNB Darby Park. Lalu, Anita menghulurkan sejambak bunga sebagai lambang tiada lagi perselisihan antara mereka.

Bagaimanapun, Anita kemudian menjelaskan, dia sebenarnya tidak pernah mengambil hati atas kelewatan Faizal itu. Malah, dia juga tidak berasakan hal berkenaan perlu diperbesarkan kerana antara dia dengan Faizal sebenarnya tidak pernah wujud sebarang persengketaan.

Entah di mana Anita mengetahui desas-desus mengenai hasrat hati Faizal untuk memohon maaf berikutan kelewatan hampir satu jam ketika menghadiri sidang media itu sehingga membuatkan Anita dan tetamu lain terpaksa menunggu lama.

Faizal pula yang tidak mengetahui sudah terlewat, terus saja duduk di meja utama tanpa rasa bersalah dan langsung tidak mengungkapkan kata-kata maaf. Perkara itu pula sebenarnya berlaku disebabkan salah faham antara penganjur dan Faizal yang seterusnya mengheret penyanyi penuh kontroversi itu sebagai mangsa keadaan.

Namun, kini semuanya sudah kembali jernih. Faizal tidak lagi menyimpan rasa bersalah kepada penyanyi yang amat disegani itu.

Peminat Faizal histeria

AURA bapa kepada tiga cahaya mata ini begitu kuat sejak akhir-akhir ini. Biarpun sekadar sebagai penyanyi undangan, ternyata kemunculan Faizal Tahir amat dinantikan golongan setiausaha yang menghadiri majlis makan tengah hari itu.

Masing-masing berpusu-pusu ingin merakamkan gambar Faizal tengah hari itu. Ke mana dia bergerak, peminatnya begitu teruja untuk mendekatinya. Namun, mereka lebih terkawal berbanding peminat Anuar Zain, mungkin menghormati status Faizal sebagai suami orang.

“Sokongan peminat ini saya anggap sebagai satu penghormatan untuk saya. Malah saya sendiri tidak menyangka dalam usia begini serta status yang dipegang, peminat masih dapat menerima kehadiran saya.

“Apa yang lebih penting bagi saya setiap hasil kerja perlu menghasilkan sesuatu yang terbaik. Walaupun keadaan saya hari ini tidak begitu sihat, tetapi saya tidak menjadikan ia sebagai alasan boleh sambil lewa ketika membuat persembahan,” katanya yang mendendangkan lima lagu Mahakarya Cinta, Sampai Syurga, Coba, Gemuruh dan You Make It Real (James Morisson).

Sumber: Berita Harian Online

Written by Langit Biru

April 15, 2009 pada 5:05 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Tagged with ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: