Langit Biru

Semua orang sudah tahu

22.04.09 Fragmen: Memasarkan produk TV tempatan ke luar negara

leave a comment »

Saya suka dokumentari mengenai pertabalan Yang Di Pertuan Agong kita, Tuanku Mizan. Dokumentari Rain saya dah tengok. Memang menarik.

22.04.09
zainuri@bharian.com.my

FILEM Shinjuku Incident lakonan Jackie Chan dan diarahkan oleh Derek Yong bukanlah sekadar filem kalau diamati apa yang tersirat dalam ceritanya. Filem yang berlatarkan bandar Shinjuku, Jepun ini adalah memaparkan kehidupan sekumpulan pendatang tanpa izin dari China. Terdapat beberapa nilai positif yang boleh dipelajari dari filem ini. Antaranya, betapa pentingnya bersatu padu untuk menjadi kukuh dalam menghadapi cabaran.

Paling penting, harus ada kesedaran iaitu masuk kandang harimau mengaum, di kandang kambing mengembek. Filem ini juga mendedahkan petualang kehancuran sesebuah masyarakat (mungkin negara atau bangsa) datangnya dari dalam, dari bangsanya sendiri.

Selain filem Shinjuku Incident ini, pada hujung minggu yang lalu kita menonton beberapa dokumentari yang di saluran Discovery (Astro 551) dan History (Astro555) yang hampir semuanya memaparkan budaya dan sejarah negara Timur.

Pada Sabtu lalu, saluran History memaparkan dokumentari bertajuk End Empired yang memaparkan kejatuhan Empayar British apabila seluruh Malaya dan Singapura berjaya di tawan oleh Jepun.

Dan, pada Isnin lepas saluran yang sama juga menyiarkan dokumentari yang tidak kurang menariknya bertajuk Declassified yang memaparkan China di bawah dasar Revolusi Budaya pimpinan Mao Zedong. Apa yang menarik menerusi dokumentari ini ialah betapa Mao menggunakan elemen budaya untuk sebagai alat propaganda. Ini termasuklah menerusi menerusi filem dan pentas apabila setiap babak digambarkan dengan kesediaan rakyatnya untuk mengangkat senjata.

Namun, begitu dua dokumentari yang agak menarik disiarkan menerusi saluran Discovery ialah mengenai perkembangan industri perfileman di Korea Selatan. Satu lagi ialah mengenai pelakon dan penyanyi antarabangsa Korea iaitu Rain atau nama sebenarnya Jung Ji-hun. Kita selalu digembar-gemburkan dengan kehebatan industri perfileman atau pelakon Bollywood tetapi tanpa disedari, karyawan filem dan ahli akademi Barat lebih berminat untuk mengkaji perkembangan filem di Asia Timur, terutama Korea.

Selama satu jam, dokumentari dalam saluran Discovery ini khusus memaparkan kehebatan Rain, bukan saja menjadi idola pop terkenal di Korea tetapi popularitinya menjangkau hingga ke Hollywood. Bayangkan pada usia 24 tahun, anak muda ini pernah diundang menjadi tetamu untuk CNN dan menghiasi kulit majalah Times.

Dokumentari Gateaway Asia – Korea pula secara khusus memaparkan kebangkitan Gelombang Korea dalam industri perfileman dan penerbitan program TV. Apa yang menarik Gelombang Korea ini bermula ketika rakyat Korea menghadapi krisis ekonomi pada tahun 90-an.

Rakyat Korea melihat erti patriotik dalam sudut yang lebih luas. Patriotik terhadap negara bagi mereka bukan sekadar mengangkat senjata di medan perang.

Bersatu padu menghadapi krisis ekonomi juga dianggap sebagai sifat patriotik bagi rakyat Korea. Kini selepas 20 tahun, Gelombang Korea membuatkan industri perfilemannya menjana pendapatan kepada negara Korea bernilai RM1.8 bilion setahun.

Ia cukup mengagumkan pemerhati dan pengkritik filem Barat. Pengkritik filem terkenal dari India, Aruna Vasudev yang ditemubual dalam dokumentari ini turut mengakui industri filem Korea lebih baik dan sebenarnya lebih besar serta sangat berpengaruh bukan saja di Asia Timur dan Asia Tenggara tetapi juga di Eropah dan Amerika.

Ahli akademi dari Goldsmith University of England, Profesor Chris Berry yang mengkaji dan meneliti perkembangan industri perfileman Korea mengakui Gelombang Korea adalah hasil keazaman rakyat dan kerajaan negara itu untuk mengeksploitasi seni dan budaya sebagai komoditi.

Katanya, walaupun industri filem dan program TV di Korea sudah diterima oleh banyak negara di dunia, tetapi nilai budayanya tetap terpelihara. Mereka tidak perlu mengubah bahasa dan beberapa cara hidup yang menjadi amalan seharian bangsa Korea.

Dalam hal seperti ini, bagaimana pula dengan industri perfileman dan TV di Malaysia? Tidak seperti di Korea yang mendapat sokongan padu dan tanpa berbelah bagi dari kerajaan, lain pula di tempat kita.

Memanglah sejak akhir-akhir ini kerajaan sudah mula menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengkarya tempatan. Namun, semua kemudahan yang ada seolah-olah masih tidak cukup. Akhirnya pengkarya dalam penerbitan filem atau TV terus minta dan meminta-minta.

Stesen TV kita juga kebanyakannya menghasilkan drama bersiri atau telenovela yang berbentuk jangka pendek iaitu sekitar 16 hingga 23 episod. Bilangan episod yang pendek ini pula kurang sesuai untuk dieksport.

Ini kerana bagi pasaran eksport, syarikat pengimport kebiasaannya memerlukan drama bersiri sekurang-kurangnya 50 hingga 60 episod. Lihatlah saja bagaimana drama dari Indonesia seperti Bawang Putih Bawang Merah yang jumlahnya lebih 100 episod.

Mengambil pengalaman program TV dari Jepun, Korea, Thailand dan Indonesia, apa yang jelas penggunaan bahasa ibunda bukanlah masalah besar untuk mengeksport karya mereka. Apa yang diperlukan ialah cerita menarik dan mempunyai jaringan pemasaran yang baik.

Penggabungan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan Kementerian Penerangan yang kini dikenali sebagai Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan diharap dapat membantu menyerlahkan lagi drama dan program TV tempatan ke pasaran antarabangsa. Di Korea, kementerian ini juga yang berusaha keras untuk mengangkat dan memartabatkan bukan saja filem tetapi juga budaya Korea sama ada untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Written by Langit Biru

April 22, 2009 pada 5:10 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Tagged with

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: