Langit Biru

Semua orang sudah tahu

27.04.09 Lambang kegigihan KRU

with 3 comments

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


Kewujudan KRU Studios di Cyberjaya yang sedang rancak dibina bukti kesungguhan tiga beradik dalam industri hiburan

KHUSYUK meneliti pelan pembinaan KRU Studios.

SELEPAS hampir 12 tahun bertapak di Taman Setiawangsa di pinggir ibu negara, KRU Studios Cyberjaya memindahkan keseluruhan operasi syarikatnya di lokasi baru yang lebih luas di Cyberjaya.

Perpindahan itu dianggap wajar kerana kegiatan syarikat kumpulan KRU yang semakin besar, terutama sejak pembabitan mereka dalam sektor perfileman dan teknologi animasi. Ini menyebabkan mereka perlu mempunyai sebuah kompleks studio yang lebih luas untuk menempatkan pelbagai peralatan penerbitan berteknologi tinggi, bukan saja untuk perfileman tetapi juga penghasilan produk muzik.

Malahan KRU Studios di Cyberjaya turut menempatkan ibu pejabatnya bersama 17 lagi syarikat yang khusus dalam multimedia kreatif.

Apapun ini adalah satu pencapaian membanggakan kepada tiga bersaudara – Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam bidang yang mereka ceburi sama ada muzik, perfileman dan teknologi animasi.

Ia dimulakan dengan kompleks studio rakaman berkeluasan enam hektar milik Cyberview Sdn Bhd, yang mula dibina pada awal tahun 2009 dan bakal siap sepenuhnya Ogos tahun ini. Ia dijangka beroperasi sepenuhnya Januari 2010.

KRU Studios yang sedang dibina di Cyberjaya dijangka beroperasi sepenuhnya pada Januari 2010.

Presidennya merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, KRU Studios Cyberjaya juga adalah kompleks yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan peralatan canggih untuk bidang penerbitan pelbagai produk hiburan serta multimedia.

Apabila siap, KRU Studios dilengkapi dengan lima studio penerbitan audio, lima studio suntingan, studio pengimejan digital dan studio animasi visual kesan khas.

Dua dua studio soundstage masing-masing berkeluasan antara 2,500 hingga 10,000 kaki persegi, sesuai untuk persembahan konsert serta rakaman muzik video.

KRU Studios juga turut menempatkan peralatan produksi berteknologi digital seperti sistem penataan kesan khas dan Imej Janaan Komputer (CGI) yang digunakan secara meluas dalam industri penerbitan antarabangsa ketika ini.

“Tidak ketinggalan set penggambaran luar berkeluasan 1.8 hektar (4.5 ekar), kafetaria, pusat rekreasi dan blok pejabat yang mampu menempatkan 100 petugas KRU Studios pada satu masa,” katanya ketika melawat tapak pembinaan KRU Studios bersama-sama dengan wakil media, baru-baru ini.

Norman berkata, KRU Studios Cyberjaya bertindak sebagai Pusat Sehenti Penyelesaian atau One-Stop Solution membabitkan kerja awal hingga akhir proses penerbitan filem cereka, muzik, program TV dan iklan komersial.

“Kita merancang mengeluarkan 300 drama dan 12 filem untuk tahun depan. Ia sebenarnya dapat memperkukuhkan lagi strategi pemasaran antarabangsa syarikat kami dengan mengadakan lebih banyak usaha sama dengan pihak produksi luar negara.

“Ia juga dilihat bakal menjadi tarikan baru syarikat produksi dari luar negara, setanding Universal Studios di Hollywood,” katanya.

Studio sekarang tidak selesa

SEMENTARA itu, Edry berkata dalam usahanya menerokai pasaran industri kreatif dunia, KRU Studios harus memindahkan operasinya ke ibu pejabat baru bagi memberi keselesaan kepada pelanggan tempatan dan luar negara yang menggunakan khidmat syarikatnya.

“Memang pejabat operasi kita yang berada di Taman Setiawangsa tidak lagi sesuai disebabkan rumah kedai yang diubah suai untuk dijadikan studio. Apabila kami mendapat perkhidmatan daripada syarikat produksi dari luar negara, kita harus mengutamakan keselesaan pelanggan.

“Ruang yang ada agak terhad, tidak sesuai untuk menjalankan kerja produksi,” katanya.

Diminta mengulas lanjut, Yusri berkata, pembinaan ibu pejabat dan studio baru itu juga sebahagian daripada pelaburan strategik syarikatnya dalam usaha menguasai pasaran industri kreatif antarabangsa, terutama di peringkat serantau.

“Ia sebagai memenuhi visi dan misi antarabangsa KRU Studios, selain menjadikan satu jenama hiburan terulung dunia sejajar semangat Malaysia Boleh. Memang kami berazam menjadikan kompleks ini setanding studio gergasi di luar negara seperti di Hollywood,” katanya dengan pembinaan studio itu dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, terutama yang mempunyai kepakaran berkaitan.

Tambah Yusri, dengan adanya kompleks serba canggih itu, KRU Studios dapat membantu perkembangan industri muzik, filem, penerbitan program televisyen dan multimedia di negara ini.

“Sebelum ini penerbit filem tempatan termasuk kami sendiri masih bergantung kepada proses kesan khas dari Thailand. Apabila studio ini siap, kita tidak perlu lagi ke luar negara. Ini secara tidak langsung dapat membantu penerbit menjimatkan masa dan kos penerbitan,” katanya yang turut mengalu-alukan syarikat penerbitan tempatan yang lain untuk sama-sama manfaatkan KRU Studios.

FAKTA NOMBOR: KRU Studio

  • 60 peratus siap
  • 14 studio akan dibina bagi tiga fasa sehingga 2015
  • RM50 juta kos bagi setiap satu fasa pembinaan.
  • Written by Langit Biru

    April 27, 2009 pada 11:50 pm

    3 Respons

    Subscribe to comments with RSS.

    1. […] Mei 1, 2009 · Tiada Komen Lagi berita di sini. […]

    2. harap dgn terbinanya studio sebesar ini dgn penggunaan CGI dpt mghasilkan lebih banyak filem yg berkualiti tinggi setaraf dgn filem2 barat.

      firdaus

      Julai 24, 2009 at 3:45 pm

    3. Nampaknya Malaysia bakal memiliki sebuah studio sulung ala Hollywood. Setelah siap, tak perlulah syarikat produksi hiburan yang ada kat Malaysia terlalu bergantung kepada negara luar. Harapnya KRU akan terus berjuang memartabatkan industri hiburan negara ke persada antarabangsa dengan lebih giat lagi. Semoga berjaya KRU !!!

      Mika Kimi

      September 30, 2010 at 4:14 pm


    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: