Langit Biru

Semua orang sudah tahu

10.05.09 Penyanyi kena berani buat pembaharuan

leave a comment »

Ini artikel ditulis oleh Faizal Tahir untuk ruangan di dalam B*Pop.  Suka gaya dia berterus terang.

10.05.09
Oleh Faizal Tahir
faizaltahir@bharian.com.my

ASSALAMUALAIKUM. Salam sejahtera. Alhamdulillah, sekali lagi kita bertemu dalam ruangan Aku.Muzik.Kamu. Sebelum saya meneruskan lebih lanjut, saya percaya masih belum terlambat untuk saya ucapkan tahniah kepada pemenang Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16, minggu lalu. Tahniah! Semoga segala kemenangan dan pengiktirafan diberikan itu dijadikan inspirasi serta iktibar untuk bekerja lebih keras dan memberikan yang terbaik dalam segala hasil kerja kita.

Tahniah juga kepada Tomok yang berjaya menjuarai One In A Million (OIAM) musim ketiga, baru-baru ini. Semoga Tomok berjaya memberikan impak dan sumbangan setimpal kepada industri hiburan tempatan, insya-Allah.

Seperti mana yang saya janjikan, kali ini saya akan lebih banyak bercerita mengenai pembikinan album kedua saya di atas permintaan ramai. Memang sudah terlalu ramai yang bertanyakan mengenai album kedua saya dan saya ambil peluang ini untuk meredakan keadaan dan menjawab segala pertanyaan tersebut.

Hampir dua tahun saya tidak mengeluarkan produk atau album baru. Sehinggakan ada spekulasi mengatakan Faizal Tahir mahu bersara, Faizal Tahir sudah puas dengan pencapaiannya dalam masa tiga tahun bergelar penyanyi, Faizal Tahir sudah tidak ada passion untuk berkarya, sudah selesa dengan kedudukannya dan macam-macam lagi.

Saya hanya mampu tersenyum mendengar semua itu. Pertama, saya sudah pun mengeluarkan single terbaru iaitu Bencinta yang sudah mula dimainkan di stesen radio. Khamis lalu saya terbabit dengan rancangan Muzik Muzik TV3 untuk pencalonan baru lagu berkenaan.

Ramai juga pemerhati dan peminat yang mengatakan agak rugi kerana pada tahun ini saya langsung tidak tercalon dalam apa-apa kategori bagi sebarang anugerah. Jujurnya, saya tidak berasa begitu. Tidak terlintas di fikiran saya untuk mengejar apa-apa anugerah dalam setiap penghasilan karya seni saya.

Namun, jangan salah faham. Bukan saya tidak mahu dan tidak menghargai segala pengiktirafan dan penganugerahan itu. Anugerah yang diterima memang menjadi pemangkin dan semangat untuk bekerja lebih keras dan menghasilkan karya yang lebih baik. Tetapi, saya seorang yang sangat cerewet dan sangat mementingkan kualiti hasil kerja saya lebih daripada segala-galanya.

Jadi, tidak wajar sekiranya saya terkejar-kejar menyiapkan kerja saya semata-mata mahu tercalon dalam sesuatu majlis penganugerahan. Saya sedar, harapan masyarakat semakin tinggi setiap kali kita mendapat pengiktirafan dan penganugerahan. Bohonglah kalau saya katakan saya tidak berasakan tekanan langsung.

Namun, sikap saya yang sentiasa mahu berikan yang terbaik banyak membantu dalam proses penghasilan setiap karya seni saya. Bak kata pepatah, ‘rushing won’t do any good’. Sebagai seorang pemuzik dan penghibur, saya seorang yang peka dan selalu memandang ke hadapan. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mengulangi hasil kerja saya yang lepas. Apa yang ingin saya katakan adalah saya sentiasa mahu sesuatu yang baru dan segar dan ini memerlukan keberanian dan mengambil masa.

Jika tidak berani mengambil risiko, maka tiadalah pembaharuan. Sebagai contoh, memang pada kelazimannya sebagai pendengar, sudah menjadi lumrah seseorang itu mahu penyanyi kegemarannya mengulangi hasil kerja sebelumnya yang ‘meletup’. Contoh, mungkin ramai yang menginginkan sesuatu seperti Cuba atau Sampai Syurga dalam album kedua saya nanti.

Itulah yang tidak mahu saya lakukan. Seboleh-bolehnya saya akan mengelak. Tetapi, kadang-kadang memang akan ada tempias daripada hasil kerja kita yang sebelumnya. Ini tidak dapat dinafikan dan setiap pemuzik tidak akan dapat lari 100 peratus daripada hasil karyanya yang lepas. Saya sendiri mengalami situasi ini.

Pasti akan ada kedengaran tempias daripada karya yang pernah saya hasilkan sebelum ini. Malah setiap komposer dan pemuzik mengalaminya. Pada masa sama, kita harus evolve. Namun, dalam proses evolusi ini juga selalunya seseorang penyanyi itu hilang peminatnya. Namun, saya berasa sangat bangga melihat masyarakat kita yang sudah lebih terbuka minda untuk menerima sesuatu pembaharuan.

Kita semua melalui proses pembelajaran dan semakin matang dalam menilai sesuatu. Setiap hari mematangkan kita. Ini termasuklah pemuzik seperti saya dalam penghasilan karya, saya dan juga pendengar yang menilai karya tersebut. We move on.

Saya sendiri banyak mendapat ‘mixed feedback’ mengenai single terbaru, Bencinta. Ada yang dengar terus suka. Ada yang mengambil masa yang tertentu untuk menerimanya. Ada juga yang langsung tidak boleh menerima kelainan yang saya bawakan. Terpulang kepada cita rasa masing-masing. Dalam hal ini tiada siapa yang salah.

Saya cuma melakukan kerja saya dan mahu pastikan yang saya sentiasa memberi sesuatu yang baru dan terbaik daripada diri saya. Memang saya akui saya lebih berani dan lebih banyak bereksperimentasi dengan muzik saya untuk album ini. Ia mengambil masa. Namun, dalam masa sama, saya tidak mahu album kedua ini terlalu berlainan daripada album sebelumnya.

Masih perlu ada influence atau pengaruh daripada album terdahulu. Perubahan drastik juga tidak akan membantu. Saya tidak boleh terlalu memikirkan mengenai apa yang saya mahukan dan saya juga tidak boleh terlalu memikirkan apa yang pasaran muzik kita mahukan. Ia harus seimbang dan setimpal. Dalam erti kata lain, saya tidak mahu over analyze permintaan pasaran muzik kita. Bagi saya, hasil terbaik hanya hadir apabila kita seronok dan enjoy melakukan kerja kita.

Akhir sekali, saya mengharapkan semua orang bersabar dalam menanti kemunculan buah tangan terbaru saya. Album ini akan menyaksikan saya dan Audi Mok berkolaborasi 100 peratus untuk pembikinannya. Apa yang saya lakukan adalah untuk ‘aku, muzik dan kamu’. Inilah sumbangan kecil saya untuk industri muzik Malaysia. You are part of me. Sekian, wassalam.

Written by Langit Biru

Mei 14, 2009 pada 9:03 am

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: