Langit Biru

Semua orang sudah tahu

07.06.09 Bakat muda harus cari peluang di Indonesia

leave a comment »

Oleh Faizal Tahir
faizaltahir@bharian.com.my

Image Hosted by ImageShack.us

Yuna

ASSALAMUALAIKUM dan selamat sejahtera kepada semua pembaca setia B*Pop. Semoga anda semua sedang menikmati hujung minggu ini dengan tenang dan gembira. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Bapa kepada semua kaum bapa di luar sana sempena bulan meraikan insan yang telahpun bergelar bapa.

Cuti persekolahan juga pasti menyaksikan ramai pasangan menaiki pelamin untuk mengharungi kehidupan baru sebagai suami isteri. Alhamdulillah.

Pada Selasa lalu, saya telah menghadiri sidang akhbar Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 yang dilangsungkan di Dua Residency, Kuala Lumpur. Sidang akhbar ini bertujuan mengumumkan senarai artis yang telah dicalonkan dalam kategori dipertandingkan di APM nanti. Alhamdulillah, saya sendiri terpilih untuk dicalonkan dalam dua kategori – Artis Malaysia Paling Popular dan Artis Serantau Paling Popular.

Saya sendiri terkejut dengan pencalonan ini kerana saya sedar dan pasti semua sedia maklum saya tidak ada menghasilkan apa-apa produk baru selepas album pertama saya, Aku.Muzik.Kamu melainkan single terbaru saya, Bencinta, baru-baru ini. Maka saya faham dan akur sekiranya tiada pencalonan pada 2009 ini.

Image Hosted by ImageShack.us

Stacy

Namun, saya bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih ada rezeki untuk nama saya bersaing dengan rakan artis lain pada tahun ini. Secara jujurnya, tahun ini Malaysia membariskan senarai nama artis yang cukup besar untuk dicalonkan di APM 2009. Artis yang dicalonkan juga rata-rata dari generasi baru yang telah membina nama dan pengaruh begitu besar dalam industri muzik kita sejak kebelakangan ini.

Antara calon terpilih termasuk Hujan, MUH, Bunkface, Aizat, Yuna, Stacy, Nubhan, Nikki, Reshmonu, Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Misha Omar dan ramai lagi. Tidak salah kalau saya katakan inilah barisan nama artis Malaysia terkuat yang pernah dicalonkan di mana-mana APM yang pernah berlangsung. Tahniah kepada semua yang tercalon. Rata-rata semua nama yang saya sebutkan tadi mempunyai kekuatan dan kelompok peminat yang cukup besar. Paling membanggakan adalah kehadiran pelapis baru yang bakal mempelopori industri muzik Malaysia dalam masa terdekat ini.

Hujan, MUH, Bunkface, Stacy, Aizat dan Yuna adalah pilihan peribadi saya untuk membawa industri muzik kita ke satu tahap yang boleh kita banggakan, akhirnya! Namun, jangan salah faham. Bukannya yang lain tidak. Tetapi saya pasti ramai yang akan bersetuju dengan saya sekiranya saya katakan bahawa nama inilah yang telah memberi impak terbesar kepada persada hiburan tanah air kita dalam masa setahun dua ini. Masa untuk yang lain pasti akan tiba juga dengan usaha yang gigih dan niat yang betul, insya’Allah.

Buat julung-julung kali juga, APM akan berlangsung di kota Jakarta, Indonesia pada 18 Julai ini. Sebelum ini hanya menyaksikan dua kali penganjuran APM di Kuala Lumpur dan yang selebihnya di Singapura. Tahniah saya ucapkan kepada pihak MediaCorp dari Singapura yang berjaya membawa anugerah berprestij ini ke Jakarta. Tahniah juga kepada pihak Beyond DDB yang menguruskan segala hal dan urusan berkaitan artis Malaysia dan juga kepada penyiar rasmi APM, sekali lagi ASTRO.

Secara peribadi, saya melihat penganjuran APM kali ini sebagai satu peluang besar kepada bakat-bakat muda kita untuk memperkembangkan karya seni masing-masing ke luar Malaysia. Ini adalah satu peluang baik dan harus dilihat sebagai satu kelebihan kepada kita untuk membuktikan kita mampu bersaing dengan muzik luar. Kita semua harus sedar kita telah melalui kemelut yang cukup panjang dalam industri hiburan kita. Bukan mudah untuk anak seni tempatan dipanggil untuk turut serta dalam mana-mana acara muzik di negara seberang.

Kita semua tahu hakikatnya. Harapan saya, biarlah kita semua memanfaatkan segala peluang dan pintu yang telah terbuka untuk kita agar dapat bersama-sama memartabatkan kembali karya seni anak Malaysia. Dengan kata lain, saya harap peluang ini tidak disia-siakan dengan melihat penganjuran APM di Jakarta sebagai satu ‘lawatan sambil belajar’ atau hanya untuk sekadar pergi ‘menunjukkan muka’ di acara dan kaca televisyen.

Saya pernah berkata dalam satu ucapan saya di AIM ke-15 tahun lalu: “It’s time to go abroad, people!”. Mungkin ramai yang mengambil ringan dengan apa yang pernah saya katakan waktu itu. Namun, kata-kata itu bukan bermaksud untuk saya seorang saja tetapi untuk semua teman seperjuangan lain. Saya yakin, pada waktu saya mengucapkan ayat itu, dengan kehadiran teman seperjuangan baru yang muncul dengan semangat baru pada waktu itu, bahawa industri muzik Malaysia bakal memberi impak besar dalam waktu terdekat ini. Pintu telah terbuka. Inilah masanya.

Sebelum saya mengakhiri warkah saya kali ini, jangan lupa untuk mengundi dan memberi sokongan kepada bakat besar kita dengan mengundi artis pilihan anda masing-masing untuk Anugerah Planet Muzik 2009 yang akan berlangsung tidak lama lagi. Sehingga berjumpa lagi, wassalam.

Written by Langit Biru

Jun 8, 2009 pada 9:10 am

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: