Langit Biru

Semua orang sudah tahu

21.06.09 Sampai bila nak buat konsert percuma?

leave a comment »

Oleh Faizal Tahir 21. 06.2009
faizaltahir@bharian.com.my
Image Hosted by ImageShack.us

ANTARA barisan selebriti yang menjayakan Konsert Inspirasi TV3.

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Alhamdulillah, dalam keadaan saya yang begitu sibuk pada ketika ini, saya bersyukur kerana masih berkesempatan menulis dan berkongsi cerita dengan pembaca B*Pop. Diharapkan semuanya sihat di samping keluarga tercinta.

Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-25 kepada stesen TV nombor satu Malaysia, TV3! Tahniah kepada semua warga kerja TV3 dan teruskan segala usaha dalam memberikan yang terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia sama ada dari segi maklumat mahupun hiburan.

Tahniah juga diucapkan kepada TV3 kerana berjaya menganjurkan satu konsert khas yang berlangsung di Dataran Merdeka malam semalam yang bertemakan ‘Inspirasi’ sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Memang ramai artis hebat yang turut serta menjayakan konsert Inspirasi TV3 ini.

Antaranya Hujan, Aizat, Jaclyn Victor, Jamal Abdillah, M. Nasir, Adibah Noor, Noryn Aziz, Tomok, Wings dan Estranged. Saya sendiri mengucapkan jutaan terima kasih kepada TV3 kerana sudi menjemput saya untuk sama-sama membuat persembahan pada malam semalam.

Namun, apa yang lebih menarik perhatian adalah dua konsert yang cukup berbeza hala tujunya, Pesta Malam Indonesia dan Rockaway ’09. Saya cukup yakin mengatakan lebih ramai penonton yang pastinya sinonim dengan Pesta Malam Indonesia berbanding Rockaway ’09. Jangan salah faham. Saya tidak mempertikaikan kredibiliti konsert Rockaway ’09.

Ya, memang Rockaway ‘09 dianjurkan pertama kali dan saya lihat konsert ini sebagai satu langkah yang cukup baik dan berniat untuk memartabatkan band rock tempatan di persada seni tanah air. Namun, secara jujurnya saya agak kecewa kerana ia dipertontonkan secara percuma. Persoalannya, sampai bila percuma?

Pada masa sama, saya juga sedar Konsert Inspirasi TV3 juga dipertontonkan secara percuma. Saya juga bertanya kepada diri sendiri, sampai bila percuma? Saya pasti persoalan saya ini bakal mengundang banyak cemuhan dan reaksi daripada segelintir pihak. Namun secara jujurnya, saya sebagai anak seni yang sangat mengambil berat mengenai industri hiburan memikirkan persoalan ini harus dibangkitkan dan ia perlu jawapan.

Dijawab oleh siapa? Oleh kita semua, itu sudah pasti! Isu begini bukan sesuatu yang harus dipandang ringan dan diambil berat oleh satu pihak saja. Kita semua ada peranan masing-masing. Namun, perkara ini menjadi lebih mengecewakan apabila ramai antara kita yang mengamalkan sikap ‘duduk di atas pagar’. Sikap membiarkan saja isu ini berlarutan dan meninggalkannya kepada satu pihak saja memberi jawapan, memang sangat tidak matang.

Adakah kita semua harus mengikut secara ‘melulu’ tanpa berfikir panjang mengenai impak dan segala apa yang bakal berlaku kepada kita sebaik selesai sesuatu tindakan? Adakah sikap endah tak endah dan ‘duduk di atas pagar’ ini sudah menjadi satu budaya rakyat Malaysia? Jika ya, saya dengan sedihnya ingin mengatakan bahawa jangan haraplah untuk kita melihat kemajuan dalam apa juga aspek kehidupan masing-masing.

Kalau diikutkan, bukan satu, bukan dua atau tiga, tetapi 1,001 persoalan yang boleh ditimbulkan daripada isu ini. Saya tidak takut dan tidak gentar untuk membangkitkan hal ini. Saya berdiri di bumi yang nyata. Namun, jangan disalahertikan segala persoalan dan pendapat saya ini. Ini adalah satu topik yang subjektif.

Setiap seorang daripada kita pasti mempunyai pandangan dan pendapat masing-masing. Subjek utama dalam isu ini adalah hak. Kita semua ada hak masing-masing. Saya percaya, setiap kemajuan atau kejayaan itu hadir hanya apabila sesebuah komuniti itu bersatu.

Secara terus-terang, isu ini tidak dapat diselesaikan dan tidak dapat kita bincang dengan lebih mendalam melalui kolum saya ini. Isu konsert percuma bukanlah sesuatu yang baru. Bukan niat saya, malah tidak terlintas langsung di fikiran saya untuk menghapuskan semua konsert percuma dan meletakkan harga sehingga RM100 untuk satu tiket bagi menyaksikan sesebuah konsert.

Tidak salah memberi sesuatu secara percuma sekali-sekala. Biar bertempat dan kena dengan motif ia diberikan secara percuma. Contohnya seperti yang pernah dianjurkan oleh Berita Harian sendiri iaitu Tabung Untuk Gaza pada Januari lalu. Sudah pasti acara begitu mendapat sokongan penuh daripada saya dan rakan artis lain.

Seperti yang saya katakan tadi, tidak salah, tetapi biarlah berpatutan. Bagi saya, di sini duit bukan isunya. Kalau diletakkan RM10 untuk satu konsert pun sudah menjadi satu permulaan yang cukup baik dalam mendidik orang kita untuk menghargai segala hasil kerja dan persembahan pentas setiap artis. Setiap orang mahu dihargai. Begitu juga golongan penghibur dan pemuzik seperti saya dan rakan saya semua.

Malahan bagi mereka yang bekerja di pejabat mahupun di mana saja, pasti mahu dihargai di atas segala hasil usaha dan kerja keras masing-masing. Bagi saya, prinsipnya cukup mudah. Dalam melakukan apa saja pekerjaan, biar kedua-dua pihak yang terbabit mendapat faedah dan keuntungannya. Let it be a win-win situation.

Ya, memang benar seperti yang selalu diperkatakan, ‘the best things in life are free’. Tetapi, ‘nothing is free in life’. You have to work hard for everything. Especially to succeed!

Topik ini terlalu subjektif dan mengambil masa yang panjang sekiranya mahu dibincangkan secara terperinci. Malah, sebuah lagi topik yang ingin sekali saya bincangkan di sini juga timbul dari dua konsert yang baru dilangsungkan dan ada kesinambungan dengan topik saya pada hari ini adalah mengenai penganjuran Pesta Malam Indonesia.

Relevan atau tidak? Sangat subjektif. Saya percaya, perbincangan mengenai topik begini bukan berniat untuk mengaibkan atau menjatuhkan mana-mana pihak. Bukan untuk menuding jari atau menyalahkan sesiapa. Malah saya melihatnya sebagai satu perbincangan yang sihat dan mampu membantu kita semua menaik taraf industri hiburan. Bagi saya, semuanya bermula dengan diri sendiri. Itulah yang paling penting.

Insya-Allah, jika berkesempatan, kita bertemu lagi menerusi kolum ini pada masa akan datang membincangkan kesinambungan topik ini lagi. Akhir kata, teruskan menyokong industri muzik Malaysia. Terima kasih semua dan wassalam.

Written by Langit Biru

Jun 22, 2009 pada 7:41 am

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: