Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Buat bancian kategori penonton konsert

leave a comment »

Oleh Faizal Tahir (5 Julai 2009)
faizaltahir@bharian.com.my
Image Hosted by ImageShack.us

Konsert Inspirasi TV3 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Analisis perlu dilakukan untuk selesaikan kemelut industri muzik tanah air

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Rasanya seperti masih baru lagi saya menulis dan berkongsi pendapat dengan pembaca B*Pop menerusi kolum ini. Begitu cepat waktu berlalu. Sebaik saya sedar tulisan kali ini akan disiarkan hari ini, saya memang seakan tergamam! Terkejut dengan waktu yang berlalu dengan begitu pantas. Kita sudah mengharungi separuh usia 2009!

Kalau anda semua masih ingat, saya pernah membangkitkan isu konsert percuma dalam dua minggu lalu. Namun, seperti saya katakan, isu ini tidak mungkin berakhir dan menemui jalan penyelesaian hanya dengan dipaparkan dalam kolum saya yang tidak seberapa ini. Saya sendiri mengakui apa yang saya bangkitkan dalam coretan saya itu hanyalah secebis apa yang sebenarnya boleh diolah dari isu berkenaan.

Malah, isu konsert percuma ini pula hanyalah secebis masalah industri muzik tanah air. Kalau ikutkan hati, ingin saja saya terus mengolah dan menulis lagi mengenai isu konsert percuma ini. Tetapi, saya bersikap realistik dan sedar bahawa saya tidak mampu membawa isu ini ke tahap lain mahupun menyelesaikannya dengan sekadar menulis di sini.

Image Hosted by ImageShack.us

Aksi kumpulan Gigi di Pesta Malam Indonesia pada 2006.

Saya hanya seorang. Kemampuan sebenar untuk berjaya menyelesaikan setiap masalah hanya hadir dengan kerjasama dan tanggungjawab semua pihak. Langkah pertama adalah kesedaran. Kesedaran itu haruslah dari dalam diri kita sendiri.

Pesta Malam Indonesia 3 (PMI3) baru saja selesai. Ia berlangsung serentak dengan Konsert Inspirasi TV3 dan Rockaway ’09. Tahniah kepada pihak yang terbabit dalam penganjuran tiga konsert ini. Lebih-lebih lagi pihak penganjur Rockaway ’09 dengan usaha sulung mereka memartabatkan band anak tempatan di persada seni tanah air. Mungkin selepas ini Rockaway dapat dianjurkan lebih besar dan ‘gempaq’ lagi!

Antara tiga konsert ini, sudah pasti lebih ramai orang kita sinonim dengan PMI3. Masihkah relevan konsert ini? Adakah ia memberi input positif kepada industri muzik tanah air? Atau, ia hanya acara berteraskan keuntungan semata-mata? Harus kita sedar, pengaruh terbesar industri hiburan tanah air rata-ratanya terhadap golongan remaja.

Apa yang disajikan, didedahkan kepada mereka dan diminta golongan ini akan menentukan hala tuju industri muzik kita. Apa yang pernah saya terfikir adalah pasti banyak yang dapat kita leraikan sekiranya dilakukan satu bancian terhadap tiga konsert ini tempoh hari. Malah, saya rasa bancian perlu untuk kita menganalisa beberapa aspek yang mungkin dapat membantu dalam menyelesaikan beberapa isu yang melanda industri muzik kita ini.

Antara yang boleh dibanci dan digunakan sebagai maklumat penting sewaktu ‘post-mortem’ sesebuah acara adalah kelas umur yang hadir, kaum atau bangsa, jenis pekerjaan, status dan banyak lagi. Percayalah, setiap maklumat ini dapat membantu dalam menganalisa dan melihat sifat atau ‘habits‘ sesebuah kelompok ‘audience‘ yang hadir ke sesebuah konsert itu.

Segala maklumat ini dapat digunakan untuk menyediakan konsert atau acara yang lebih teratur, strategik dan ‘marketable‘ di masa akan datang. Malah saya berasakan satu survey yang boleh dilakukan dengan usaha sama setiap artis, badan penganjur dan akademi industri muzik di Malaysia serta pihak media massa sendiri adalah dengan mendapatkan maklum balas masyarakat kita mengenai penilaian mereka terhadap setiap artis kegemaran mereka.

Konsert PMI3 kurang menyengat

Siapa yang mereka mahu lihat membuat konsert? Apa yang membuat mereka mahu menyaksikan sesebuah konsert? Berapa yang mereka sanggup bayar untuk menyaksikan konsert itu? Apakah penilaian mereka terhadap artis-artis tempatan yang mereka rasa layak membuat konsert? Banyak lagi sebenarnya soalan yang dapat dibangkitkan untuk mendapat maklumat penting dalam menangani masalah ini.

Dalam hal ini, pihak media massa memainkan peranan amat besar dalam menjalankan survey dan mendapatkan maklumat daripada masyarakat. Seperti yang selalu saya katakan, hanya dengan bersatu dan bekerjasama saja dapat kita selesaikan sesuatu masalah itu dan meraih kejayaan.

Kembali ke PMI3. Relevan atau tidak konsert ini bukanlah untuk saya tentukan. Saya sendiri pasti turun menyaksikan konsert ini kalau diberi peluang. Tiada apa yang salahnya. Namun yang mungkin menimbulkan sedikit rasa tidak puas hati adalah peluang yang dibuka kepada artis seberang dan layanan yang diberikan kepada mereka berbanding artis tempatan.

Saya fikir kita sudah mampu membuat satu konsert besar seperti PMI3 ini untuk memartabatkan bakat dan seni kita sendiri. Malah, saya ada membaca dan mendengar bahawa PMI3 kali ini kurang menyengat dan sekadar satu konsert biasa saja. Adakah kita sudah terlalu lama didedahkan dan terlalu banyak disajikan dengan bunyi muzik band dari seberang?

Adakah kita telah lali dan ‘immune‘ dengan ‘sound‘ muzik seberang? Kita sudah ada ‘sound‘ kita yang sendiri. Hujan, Bunkface, Meet Uncle Hussein, Pop Shuvit – dengarkan album mereka ini ‘back-to-back‘. Tiada yang serupa. Masing-masing mempunyai ‘trademark sound‘ tersendiri. ‘Sound‘ yang mampu menggegarkan mana-mana venue konsert dan memberi impak kepada penonton yang hadir.

Biarkan kalau ada yang kata ‘sound‘ atau muzik band ini seakan-akan band itu, muzik band itu seperti band ini. Banyak kali saya mendengar semua itu. Bagi saya, ‘we have to start somewhere’. Setiap ahli muzik, setiap band pasti ada idolanya yang tersendiri yang akan mempengaruhi muziknya. Ia hanya untuk permulaan. Identiti setiap band itu pasti melalui satu evolusi dan akhirnya menjadi identiti atau ‘trademark sound‘ band itu sendiri.

Karyawan muzik kena ketepikan ego

Namun, jangan salah faham. Saya tiada apa-apa masalah dengan muzik atau artis dari seberang. Malah saya sendiri adalah seorang peminat kepada kumpulan Dewa 19, Gigi dan Padi. Saya kagum dengan muzik dan ‘sound‘ yang mereka tampilkan dalam muzik mereka. Biarlah kita jadikan mereka sebagai contoh untuk lebih maju dan menjadi lebih baik dari apa yang mereka persembahkan itu.

Bercakap mengenai ‘sound‘, harus saya akui dengan terbuka bahawa kita masih lagi agak ketinggalan dalam penghasilan ‘sound‘ yang baik sewaktu persembahan secara ‘live‘. Baik di venue mahupun di kaca televisyen. Saya mengaku saya agak kecewa dan hampa dengan kualiti bunyi yang kita hasilkan jika dibandingkan dengan kualiti yang dikecapi oleh rakan-rakan artis seberang.

Terus-terang saya memuji dan amat kagum dengan hasil dan kualiti bunyi ‘live shows’ dan ‘broadcast’ artis seberang. Ini adalah satu fakta yang tidak dapat dinafikan. Apabila kita bercerita tentang kualiti ‘sound‘, ini adalah satu lagi isu dan masalah yang industri muzik kita hadapi. Saya bukanlah seorang jurutera bunyi profesional, tetapi saya tahu membezakan kualiti bunyi yang baik dan kurang baik apabila mendengarnya.

Saya tidak nampak salahnya sekiranya kita belajar daripada mereka yang lebih baik. Sudah sampai masanya kita meletakkan ego ke tepi dan mengakui kelemahan kita. ‘Learn from the experts, only then you shall excell’.

Kalau anda bertanyakan saya, inilah dia ‘line-up’ artis yang saya fikir pasti dan mampu menjayakan sebuah konsert dengan baik dan memberi impak yang besar kepada mereka yang sanggup membayar menyaksikannya. Hujan, Bunkface, Meet Uncle Hussein dan Pop Shuvit. Mungkin saya terlepas pandang beberapa artis lain. Tapi ini hanya pendapat saya dan ia berdasarkan tema konsert rock kerana itulah genre yang menjadi pilihan saya.

Kembali menaikkan taraf muzik kita

Pasti ada yang tidak bersetuju. Ia subjektif. Seperti saya usulkan tadi, mungkin satu ‘survey’ patut diusahakan untuk mendapat maklum balas daripada masyarakat kita mengenai artis mana yang mahu mereka saksikan membuat konsert. Namun, apabila kita sudah tahu artis mana yang masyarakat kita mahu saksikan membuat konsert, kita kembali ke masalah sistem bunyi pula.

Justeru, kemelut yang melanda industri muzik kita bukan berpunca dari satu atau dua masalah. Banyak isu yang perlu kita bangkitkan dan selesaikan bersama. Saya seorang tidak mampu melakukan apa-apa. Ahli-ahli muzik dan artis saja tidak mampu melakukan apa-apa. Akademi industri muzik saja tidak mampu melakukan apa-apa. Hanya dengan bersatu dan bekerjasama dengan semua pihak saja mampu menyelesaikan isu ini.

Sekurang-kurangnya sedikit demi sedikit kita menaik taraf industri muzik kita ini. Anda yang mendengar juga berperanan. Aku, Muzik dan Kamu – tiga elemen yang bersatu untuk membawa industri muzik kita ke satu tahap baru dan masa depan yang lebih cerah.

Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, saya memohon maaf sekiranya ada yang tersalah atau tersilap kata dan seandainya ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya. Seperti yang saya katakan, segala persoalan yang timbul adalah subjektif. Maaf juga sekiranya ada yang tersinggung dengan mana-mana kenyataan saya.

Apa yang saya harapkan, segala apa yang saya tulis di sini bukanlah sekadar untuk dibaca dan diabaikan begitu saja. Jujurnya, kolum ini hanyalah sekadar ruang kecil untuk saya memberi pendapat sebagai seorang anak seni yang mencintai dan mengambil berat mengenai industri muzik tanah air saya.

Kalau hendak diceritakan memang tidak cukup ruang dan terlalu banyak untuk dimuatkan di sini. Insya-Allah, kita berjumpa lagi dalam ruangan ini dengan cerita saya mengenai impak pemergian King of Pop, Michael Jackson terhadap dunia muzik dan hidup saya sendiri. Wassalam.

Written by Langit Biru

Julai 5, 2009 pada 3:02 pm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: