Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Jacko seorang penyayang

with 2 comments

Oleh Faizal Tahir (19 Julai 2009)
faizaltahir@bharian.com.my

TANGGAL 25 Jun lalu, dunia dikejutkan dengan berita kematian Raja Pop Dunia, Michael Jackson (MJ) atau Jacko akibat jantungnya terhenti (cardiac arrest) di kediaman mewahnya di Hollywood, California. saya juga terkejut dengan berita kematian itu. Hampir sebulan peristiwa tragis itu berlalu, saya masih belum dapat melupakannya kerana membabitkan kehilangan seorang legenda industri muzik yang disegani di seluruh dunia.

Image Hosted by ImageShack.us

Malah, kematian `megastar’ itu begitu dirasakan peminat setianya di seluruh dunia, termasuk saya sendiri, sekali gus mengingatkan kembali saya kepada beberapa kematian ikon muzik yang pernah berlaku sebelum ini. Ini termasuklah pembunuhan seorang anggota The Beatles, John Lennon, selain kematian mengejut Raja Rock n Roll, Elvis Presley, Freddie Mercury dari kumpulan Queen dan penyanyi utama Nirvana, Kurt Cobain kerana membunuh diri.

Kematian semua ikon muzik ini menimbulkan rasa sedih di seluruh dunia kerana dunia berkabung atas kehilangan insan seni yang banyak memberi sumbangan kepada perkembangan muzik dunia, malah mencetuskan revolusi muzik pada generasi masing-masing. Tidak keterlaluan jika saya menyatakan di sini bahawa kehilangan MJ lebih dirasai di kalangan kita semua berbanding kehilangan Mercury, Lennon, Cobain mahupun Elvis.

Mungkin ramai akan menyangkal pendapat peribadi saya ini, tetapi, saya menyatakan demikian atas satu sebab yang mana sumbangan MJ adalah lebih besar daripada sekadar sumbangan terhadap industri muzik dunia saja. MJ bukan saja seorang insan seni yang sangat berbakat, malah seorang `humanitarian’ yang tidak pernah kenal erti penat ke arah menjadikan dunia ini sebuah tempat yang indah dan aman seperti dipaparkan dalam lirik lagunya.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga aktif membantu kanak-kanak yang kebuluran di Afrika, memberi sumbangan berjumlah berjuta-juta dolar Amerika dari poketnya sendiri bagi memberikan kehidupan lebih sempurna kepada masyarakat miskin di seluruh dunia.

Lagu We Are The World ciptaan beliau bersama Lionel Ritchie pada 1984 berjaya mengumpul berjuta-juta dolar Amerika, seterusnya disumbangkan kepada masyarakat kebuluran di Afrika bagi membantu mengurangkan kadar kematian yang berpunca daripada kebuluran dan penyakit kronik.

Bukan itu saja, malah kebolehan beliau menari juga antara bakat yang paling jarang dan sukar ditemui.

Hingga kini, masih belum ada seorang pun artis mampu menandingi kehebatannya beraksi di pentas, terutama tarian `moonwalk’ yang menjadi trademark persembahannya. Bagi saya, MJ seorang penghibur yang ‘phenomenal’ dan tidak dapat disangkal lagi.

Beliau adalah insan yang begitu banyak memberi impak terhadap saya ketika membesar. Ibu saya sendiri pernah berkata, seawal umur saya dua tahun, saya sudah mula menyanyi lagu The Beatles, Queen dan juga MJ. Saya memang tidak dapat menafikan bahawa sebahagian daripada muzik dunia telah berkubur bersama MJ. Selama saya dan mereka yang satu generasi dengan saya membesar, MJ mendominasi sebahagian besar daripada arena muzik dunia.

Pengaruh beliau terhadap muzik saya memang kuat. Malah, semasa persembahan akhir saya di program realiti, One In A Million tiga tahun lalu, mungkin ramai tidak perasan tetapi saya menggunakan sedikit sebanyak pengaruh muzik MJ dalam persembahan medley ‘We Will Rock You’ dengan menggunakan percussion dan ritma yang sama digunakan dalam lagu hitsnya, They Don’t Care About Us.

Naif punca orang ‘pijak kepala’

NAMUN begitu, setiap perkara yang indah datang dengan ujian tersendiri. Itulah hakikat kehidupan ini. Walaupun beliau dikurniakan bakat yang tidak terhad dan kebolehan menyentuh hati dan jiwa peminat di seluruh dunia, masih ada yang berhasad dengki dan cuba menjatuhkannya.

Antara babak-babak perit yang terpaksa ditempuhinya bermula pada sekitar zaman 1990-an. Yang paling mendapat tumpuan dan paling mengguris hati saya adalah kes pencabulan seorang kanak-kanak remaja bernama Jordey Chandler.

Keluarga Chandler mendakwa bahawa `superstar’ yang berjiwa penyayang itu mencabul kanak-kanak itu ketika dijemput melawat estetnya, Neverland Ranch. Akhirnya, kes itu digugurkan kerana Chandler secara tiba-tiba tidak mahu membuat keterangan. Justeru, ibu dan bapa tiri Chandler mengarahkan MJ membayar US20 juta (RM80 juta) jika mahu kes itu digugurkan.

Sejujurnya, saya percaya bahawa MJ adalah seorang insan yang sangat baik hati dan mengambil berat dengan pelbagai masalah yang menimpa dunia. Terpulanglah kepada kita semua untuk menilai setiap tindak-tanduk dan sumbangan seseorang itu kepada generasinya.

Ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat MJ sendiri menyatakan bahawa beliau memang seorang yang sangat baik hati, penyayang dan juga naif. Sifat inilah yang membuatkan ramai orang mudah untuk memijak kepalanya dan perkara ini terjadi sehinggalah ke hari yang dia menghembuskan nafas terakhirnya.

MJ satukan kaum, agama menerusi muzik

SEPERTI rakan baik MJ, pakar motivasi terkemuka dunia, Deepak Chopra pernah berkata,`he was a delicate soul in a cruel, cruel world’. Walaupun atas pentas, beliau begitu agresif dan dominan, namun pada hakikatnya beliau seorang yang pemalu, baik hati dan penyayang.

Ada juga yang berpendapat bahawa dia bersifat keanak-anakan. Brooke Shields juga berkata `he saw the world not with his eyes, but with his heart’.

Dalam meniti hari-hari menunggu hari memperingati beliau, kita dapat melihat satu dunia dari pelbagai kaum, agama, dan latar belakang masing-masing memperingati beliau dengan cara masing-masing. Ada yang memegang gambar atau poster beliau.

Ada yang berpakaian seperti beliau dan sudah semestinya yang menyanyikan lagu beliau dalam memperingati legasi muzik ikon pop berkenaan. Bak kata Reverand Al Sharpton sewaktu majlis memperingati MJ: “Michael telah meruntuhkan dinding-dinding yang memisahkan antara kaum, agama dan budaya, dan menyatukan semuanya melalui muzik dan usaha kemanusiaan beliau”.

Ini adalah satu sifat yang wajar dicontohi oleh setiap insan di dunia, kerana jikalau ada satu mesej yang ingin disampaikan oleh Michael kepada seluruh dunia, ia adalah kesatuan, dan kedamaian. Satu kepercayaan yang teguh di mana kita mampu mencapai sepakat dan kedamaian jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan bekerjasama di antara satu sama lain, tidak mengira agama, bangsa mahupun negara. Ini adalah mesej utama yang telah MJ cuba sampaikan melalui muziknya.

Sukar percaya pemergian Jacko

SENTIMEN ini yang cuba diketengahkan oleh keluarga dan rakan terdekat Michael sewaktu majlis memperingati beliau yang diadakan di The Staples Centre, Los Angeles, minggu lalu. Setelah kematian beliau, baru beliau dapat digambarkan sebagai seorang manusia, anak, abang, adik dan yang paling utama, seorang bapa kepada tiga orang anaknya.

Selepas kematiannya barulah dunia memberi dia peluang untuk dilihat sebagai seorang insan biasa yang mempunyai perasaan sama seperti orang lain. Mungkin sekarang, dia diberikan kedamaian yang tidak pernah dapat dicapainya sewaktu dia masih hidup.

Mungkin ada hikmahnya Allah menarik dia balik, walaupun pada usia yang muda. Seperti abang beliau, Jermaine Jackson menyatakan kepada Larry King di CNN, `dunia belum bersedia untuk Michael Jackson. Dia adalah hadiah daripada Allah, dan kini, Allah telah mengambilnya semula’.

Saya adalah antara jutaan penonton yang menonton majlis memorial beliau. Walaupun saya sudah ketahui akan pemergian beliau, saya masih menghadapi kesukaran untuk mempercayai beliau kini sudah tiada.

Seolah-olah saya masih tidak percaya, kerana muzik dia masih ada, kita dikelilingi dengan muzik dan pengaruh beliau di dalam industri ini, sehinggakan ia menjadi begitu sukar untuk saya mempercayai bahawa tuan punya badan kini tidak lagi wujud di dunia ini.

Mahu teruskan perjuangan MJ

SAYA sebak ketika menonton memorial berkenaan. Terutama di saat anak perempuan tunggalnya, Paris Katherine Jackson memberi ucapan pendek tetapi menyentuh perasaan kepada bapanya yang sudah tiada. Saya cuma mengharapkan, bahawa roh dia kini tenang, dan tiada lagi orang yang mengatanya pada saat beliau sudah tiada.

Biarlah beliau pergi dengan aman. Saya mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya, supaya mereka reda dengan ketentuan Allah ini, dan juga dilindungi daripada manusia yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan ke atas mereka, oleh kerana kekayaan yang mereka kini warisi.

Sebagai seorang yang begitu kagum dan menghargai bakat dan sumbangan beliau di dalam industri muzik ini, saya akan membawa ke hadapan muzik dan legasinya, dan yang paling utama, mesej yang telah cuba disampaikan oleh beliau iaitu kedamaian, keharmonian, dan tanggungjawab kita sebagai manusia untuk menjaga hubungan kita sesama manusia dan alam kurniaan Illahi.

Lagu-lagu seperti Heal The World, Man In The Mirror, We Are the World dan Earth Song adalah antara lagu-lagu yang begitu mendalam maknanya, dan wajar menjadi contoh buat kita sebagai manusia untuk memelihara perhubungan kita sesama manusia, dan juga sesama alam sekitar, sesuatu yang amat ditekankan di dalam Islam.

Walaupun pemergian beliau memberi kesan yang mendalam terhadap saya, namun saya bersyukur kerana berpeluang menikmati setiap karya beliau dan membesar bersama segala sumbangannya terhadap dunia ini.

Written by Langit Biru

Julai 26, 2009 pada 10:02 am

Dikirim dalam Uncategorized

Tagged with ,

2 Respons

Subscribe to comments with RSS.

  1. Best ler artikel abang FT ni…rasa ‘sebak’ pula bila baca….artis sekarang patut contohi sikap penyayang MJ..

    fatine

    Julai 27, 2009 at 7:18 pm

  2. dia sngt baik
    and cool

    thnx abg ft

    u r cool

    and i wnt copy this page =)

    mj u r great person in dis world

    frm aehakitty

    aishah

    Julai 29, 2009 at 2:14 pm


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: