Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Pesimistik halangan artis cipta nama

leave a comment »

Oleh Faizal Tahir – 2 Ogos 2009
faizaltahir@bharian.com.my


ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Diharapkan semua pembaca setia B*Pop berada dalam keadaan sihat walafiat di hujung minggu ini. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih mampu menikmati segala pemberian dan anugerah dari Yang Maha Esa hingga ke hari ini.

Baru saja dua minggu lalu saya menulis mengenai pemergian ikon tersohor dalam dunia hiburan yang pergi meninggalkan kita untuk selamanya. Tarikh 25 Jun 2009 akan diingati sebagai hari Raja Pop Dunia, Michael @ Mikaeel Jackson (MJ) menghembuskan nafas terakhirnya.

Beliau meninggalkan kita dengan legasi muziknya yang tiada tandingan dan juga usahanya menjadikan dunia ini satu tempat yang lebih aman dan baik untuk setiap generasi. Genap sebulan selepas itu – 25 Julai 2009 – kita dikejutkan dengan berita kematian Yasmin Ahmad, seorang pengarah, penulis dan penerbit filem yang dikagumi ramai.

Sama seperti MJ, Yasmin bukan saja memberi sumbangan besar dalam industri penyiaran dan perfileman kita, tetapi beliau berjaya menyentuh jutaan penonton dan rakyat Malaysia yang menjadi saksi hasil kerjanya cukup unik dan realistik. Saya sendiri cukup menghormatinya walaupun tidak pernah bersemuka dengan beliau. Setiap hasil kerjanya, tidak kira sama ada iklan sempena Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali mahupun filemnya, pasti menyentuh hati dan jiwa setiap insan yang menyaksikannya.

Gelak tawa diiringi air mata pasti menjadi kebiasaan kita yang memahami apa yang cuba disampaikan beliau dalam setiap hasil kerjanya. Untuk kali kedua dalam masa sebulan, saya menitiskan air mata sebaik mendengar mengenai pemergian arwah. Saya doakan semoga roh beliau ditempatkan bersama hamba Allah yang baik-baik dan dikasihi serta sentiasa dicucuri rahmat Allah… Amin. Pemergian Yasmin pasti dirasai kita semua. Tiada lagi rasa ingin menunggu di depan kaca TV untuk menyaksikan iklan menjelang Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. We miss you… Yasmin Ahmad. You will be remembered well. Al-Fatihah.

Dua minggu lalu, kita disajikan juga dua lagi acara besar dalam dunia hiburan tempatan iaitu Shout Awards dan juga Anugerah Planet Muzik (APM) 2009. Tahniah diucapkan kepada dua pemenang besar bagi setiap acara ini iaitu Bunkface dan juga Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Tidak lupa Aizat, Ayu, Hujan dan Stacy yang telah memberikan persembahan yang cukup baik dalam usaha membawa muzik kita ke persada muzik seberang. I am so proud of you all. Tidak lupa juga ucapan jutaan terima kasih kepada peminat saya dan juga fan club saya, Rockensteiners, yang sudi mengundi saya dan memberi sokongan tanpa had yang tidak ternilai harganya pada saya. Terima kasih semua.

Bercerita mengenai Shout Awards, tahniah kepada pihak penganjur dan stesen TV rasminya, 8TV, atas usaha mereka untuk memartabatkan lagi industri muzik kita dengan menganjurkan satu lagi acara yang lebih terbuka kepada bakat baru dari generasi muda kita. Juga tahniah atas suatu hasil penerbitan yang boleh dibanggakan bagi sebuah acara yang pertama kali diadakan. Semoga Shout Awards mampu memberikan sumbangan dan impak setimpal dan berbaloi kepada industri hiburan tanah air.

Sementara itu, APM 2009 pula menyaksikan penganjuran sulungnya di negara jiran, Indonesia. Walaupun dikejutkan berita mengenai pengeboman di dua hotel terkemuka di Jakarta, APM2009 tetap berjalan lancar tanpa sebarang gangguan luar. Syukur, Alhamdulillah.

Apa yang ingin saya ketengahkan menerusi penganjuran APM 2009 kali ini ialah persepsi dan penerimaan masyarakat di sana terhadap muzik kita. Secara jujurnya, banyak feedback‘ saya terima dan rintihan orang kita mengenai rasa kesal dan kecewa mereka setelah menyaksikan reaksi penonton terhadap setiap persembahan dilakukan artis kita di sana.

Hujan, Aizat, Ayu dan Stacy pada saya cukup ‘outstanding‘ dan membanggakan dengan setiap persembahan mereka. Namun, reaksi penonton di sana bagaikan terpaku dan keras tanpa ada rasa apresiasi terhadap muzik dan persembahan artis Malaysia. Persoalannya, adakah ini tanda berlakunya penindasan atau diskriminasi terhadap muzik dan artis kita?

Secara jujurnya, saya langsung tidak terkejut dengan senario itu dan saya tidak berasakan berlakunya sebarang penindasan terhadap artis kita. Mungkin ada rasa sedikit kesal dan kecewa. Tetapi itu tidak bermaksud saya mengaku kalah dan berputus asa dalam perjuangan saya sebagai seorang anak seni tempatan. Semangat harus kuat. Iktibar perlu diambil. Bukan salah penonton. Kalau tidak percaya, saksikan sendiri persembahan Siti Nurhaliza yang mendapat tepukan dan sorakan cukup gemuruh daripada penonton malam itu.

Kita semua pasti sedar bahawa Siti Nurhaliza adalah satu-satunya artis dan penghibur tanah air yang berjaya membuktikan beliau mampu membawa nama negara dan mengekalkan populariti dan kejayaan beliau ke satu tahap yang cukup membanggakan kita semua. Saya sendiri kagum dengan pencapaian luar biasa beliau. Tidak salah kalau saya katakan bahawa Siti Nurhaliza berada dalam liga tersendiri dan sudah mencapai status legenda. Beliau patut dicontohi semua lapisan masyarakat dalam mengejar impian dan mengecap kejayaan di peringkat tertinggi.

Senario penonton yang kaku dan keras sewaktu menyaksikan persembahan artis kita bukanlah salah mereka. Hakikatnya, mereka tidak dapat ‘relate‘ dan tidak ‘connected‘ dengan muzik yang dipersembahkan dan artis kita yang membuat persembahan pada malam itu. Ini kerana mereka tidak pernah mendapat pendedahan secukupnya dengan produk dan muzik dari Malaysia. Tidak kisahlah kalau kita mendengar khabar kononnya negara jiran mempunyai polisi atau prinsip mereka yang tersendiri dalam menjaga muzik, kebajikan dan hak artis mereka.

Saya percaya semua itu boleh diatasi dengan kerja keras, keinginan mendalam dan usaha sendiri dalam memperkenalkan muzik masing-masing ke luar negara. Contoh terbaik boleh saya berikan ialah kumpulan Hujan. Mereka sendiri rajin membuat promosi di sana dan baru-baru ini pula selesai menjalankan penggambaran muzik video terbaru mereka di sana. Semuanya atas kemahuan dan keinginan diri masing-masing. Seperti yang selalu saya katakan, kita harus tahu apa yang kita mahukan. Tepuk dada, tanya selera.

Pelbagai isu dan persoalan yang timbul dalam usaha memartabatkan muzik kita sehingga mampu dibawa ke luar. Namun, saya secara jujurnya sentiasa percaya bahawa dalam apa jua situasi, akar umbi kepada sesuatu masalah adalah bermula dengan diri kita sendiri.

Tiada kaitan dengan stesen radio yang selalu memainkan lagu luar. Pendengar berhak meminta apa yang mahu didengarnya. Sudah semestinya pendengar mahukan muzik yang terbaik dan dengan itu, pemuzik dan artis haruslah menyahut cabaran ini dengan menghasilkan karya dan persembahan lebih baik dan berkualiti.

Tanggungjawab ini juga terletak atas bahu saya sendiri sebagai pemuzik dan penghibur. Semuanya bermula dengan diri sendiri. Biarpun kononnya artis kita ditindas dan didiskriminasi, itu hanyalah satu alasan tidak membantu kita untuk maju. Ia seperti satu dinding ‘virtual‘ yang kita cipta sendiri. Jadikannya halimunan. Sekiranya anda percaya dengannya, maka “ya” adalah jawapannya. Jika tidak mahu percaya, maka carilah jalan untuk menembusi dinding penghalang itu. Seperti yang saya katakan tadi, Siti Nurhaliza telah membuktikannya.

Secara jujurnya, saya nampak satu masa depan cukup cerah untuk bakat baru kita dalam memberikan impak kepada industri muzik luar dengan penjenamaan muzik kita yang tersendiri. It’s all about self-belief. Sebenarnya, penggemar muzik seberang tidak pernah diberi peluang untuk mengenali muzik kita. Jadi terpulanglah kepada artis kita sendiri untuk memasarkan muzik masing-masing ke sana. Saya sendiri diberi layanan yang cukup baik oleh mereka sewaktu berada di sana.

Tiada rasa ditindas atau seperti orang luar di sana. Saya cukup kagum dengan layanan dan penerimaan mereka terhadap saya dan muzik saya di sana. Sehinggakan saya terkejut mendengar beberapa orang petugas acara menyanyikan lagu ‘Bercinta’ setelah hanya satu hari membuat rehearsal untuk persembahan di sana. Terima kasih saya ucapkan.

Akhir kata, janganlah kita bersikap terlalu pesimistik dan prejudis terhadap seseorang itu. Hidup harus saling bantu-membantu dan memahami hak dan keperluan masing-masing. Adakalanya, dinding atau batasan yang dicipta antara kita dan sesuatu yang kita mahukan itu harus dipecahkan atau dileraikan demi mencapai kejayaan dan impian.

Caranya? Terpulanglah kepada cara masing-masing. Percayalah dengan diri sendiri. Sehingga bertemu lagi. Wassalam. – FT

Komen:
Saya pun mengundi juga tapi untuk Shout Awards. Harap-harap Faizal Tahir dapat peluang lagi untuk membuat persembahan di luar negara. Hujan pun sama. Selalunya pagi lagi artikel sudah di Internet tapi hari ini lambat kemaskini. Saya suka baca artikel Faizal sebab kita boleh nampak ada ilmu di sebaliknya.

Written by Langit Biru

Ogos 2, 2009 pada 4:32 pm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: