Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Epik Merong Mahawangsa misi KRU tawan dunia

with one comment

Oleh Hardi Effendi Yaacob
Bintang Popular Ahad, 09 Ogos 2009


Hikayat Merong Mahawangsa tarik minat pengedar filem

DENGAN kos penerbitan RM8 juta, Hikayat Merong Mahawangsa muncul sebagai filem termahal kedua tempatan selepas Puteri Gunung Ledang (PGL) terbitan Enfiniti Productions, lima tahun lalu, yang belanjanya dikatakan mencecah RM14 juta.

Image Hosted by ImageShack.us

Pada pandangan sesetengah pihak, kos itu mungkin terlalu tinggi bagi sebuah filem tempatan, malah tidak menepati saiz pasaran semasa, termasuk jumlah penonton yang agak terhad, sekali gus menyebabkan kegagalan tayangannya di pawagam sebagai mana terjadi pada PGL.

Namun, bagi Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim, ia tidak lebih sekadar pelaburan strategik dalam menjayakan misi syarikat tiga beradik itu menjadi sebuah syarikat hiburan bertaraf dunia melalui penghasilan pelbagai produk antarabangsa.

Image Hosted by ImageShack.us

“RM8 juta belum termasuk pemasaran dan promosi. Bukan murah mahu buat filem epik yang baik dan setanding antarabangsa… kenalah buat pelaburan sikit. Bagaimanapun, saya bersyukur sebab belanjanya tidak mencecah RM10 juta seperti disasarkan ketika kami merancang penerbitannya tahun lalu.

“Kami turut berterima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) kerana membantu membiayai projek ini melalui pemberian geran `e-content’ selepas tertarik dengan pelbagai teknologi terkini yang diaplikasikan dalam penerbitan filem ini,” katanya.

Norman turut mengakui penggunaan kemudahan dan peralatan moden itu, yang selama ini hanya digunakan di Hollywood sebagai faktor utama peningkatan kos berkenaan, namun tidak pernah beliau menyesalinya, malah berbangga kerana berjaya merintis teknologi itu bagi filem tempatan.

“Selain CGI (Imej Janaan Komputer), penggambaran filem ini banyak menggunakan Red-Cam Technology, yang pertama kali digunakan di Malaysia. Ia menghasilkan imej visual 4K Resolution melalui kaedah penggambaran Anamophic Frame.

“Memang belanjanya mahal tetapi pada masa yang sama, kehadiran semua teknologi terkini ini turut membantu mengurangkan tempoh penggambaran. Sebagai produser, tempoh penggambaran sentiasa saya berikan perhatian kerana ini membabitkan soal kos,” katanya.

KRU Studios juga, katanya, turut melabur RM2 juta daripada peruntukan keseluruhan filem itu untuk rekaan set, props dan kostum bagi mewujudkan gambaran sebenar kurun kedua, ketika zaman kegemilangan Merong Mahawangsa.

“Apabila menerbitkan filem epik, inilah cabaran yang terpaksa kita hadapi… bagaimana mahu memvisualkan keadaan sebenar ketika itu. Atas sebab itulah, rekaan set, props dan kostum memainkan peranannya. Banyak kajian terpaksa dilakukan yang turut membabitkan kos.

“Bayangkan, setahun lamanya perancangan menerbitkan filem ini dibuat sehingga penggambaran dimulakan 9 Jun lalu, hampir 17 kali skripnya dirombak untuk mendapatkan gambaran keadaan ketika itu, selain menyesuaikan jalan ceritanya,” katanya.

Diminta mengulas lanjut, Norman berkata, penggunaan ramai pelakon tambahan, yang dikatakan antara ciri penting dalam pembikinan sesebuah filem epik, turut menyumbang kepada peningkatan kos projek meganya itu.

“Seramai 150 hingga 300 pelakon tambahan terbabit dalam penggambaran ini sehari. Bayangkan, berapa banyak belanja terpaksa dikeluarkan untuk membayar mereka selama 60 hari. Selebihnya, penggunaan pelakon stunt luar negara, termasuk koordinator mereka, Man Ching.

“Man Ching pernah bekerja untuk banyak produksi Jackie Chan dan Hollywood. Antaranya The Police Story, Shanghai Nights dan Hellboy II. Hikayat Merong Mahawangsa menampilkan banyak elemen aksi… lebih banyak dari semua filem yang pernah kami terbitkan,” katanya.

Cuaca ganggu penggambaran

DENGAN penggambaran kebanyakannya berlangsung di lokasi luar, Norman memberitahu, pengarah dan kru produksi berhadapan dengan masalah cuaca yang tidak menentu, malah ada ketikanya penggambaran terpaksa ditangguhkan atas sebab keselamatan.

“Penggambaran Hikayat Merong Mahawangsa kebanyakannya berlangsung di Terengganu terutama di Kuala (Terengganu), Setiu dan Chendering. Paling mencabar ketika penggambaran adegan kapal dilakukan. Umumnya mengetahui perairan negeri itu memang sukar diramalkan keadaannya.

“Saya dimaklumkan, pernah kapal yang digunakan tidak dapat dikawal kerana arus terlalu kuat. Walaupun ditarik bot tunda, ia memang sukar dikawal kerana dibina cuma sebagai props tanpa enjin dan kipas seperti bot biasa. Nasib baik ia tidak hanyut,” katanya.

Selain Terengganu, penggambaran turut berlangsung di kawasan pantai di Kuantan, Pahang bagi adegan pertempuran terakhir Merong Mahawangsa, yang juga adegan kemuncak filem ini, selain beberapa lokasi di sekitar ibu negara termasuk Setapak, Bukit Seputih dan Batu Caves.

Jengah pawagam pada 30 September

MENGGABUNGKAN pelakon empat negara – Malaysia, British, Sweden, China – Norman yakin terhadap potensi filem terbarunya itu yang dijangka mampu mencatatkan pulangan lumayan sebaik memulakan tayangan umumnya pada 30 September 2010.

Ia turut mencatatkan sejarah sebagai filem tempatan pertama ditayangkan serentak di seluruh dunia melalui perjanjian pengedaran yang ditandatangani antara KRU Studios dan NBC Universal (United International Pictures), masing-masing di London dan Kuala Lumpur sebelum ini.

Norman ketika diminta mengulas perkara itu, berkata selain mahu membuktikan kemampuan anak tempatan menghasilkan produk bertaraf dunia, ia juga sebahagian daripada komitmen syarikatnya dalam mengangkat karya klasik tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Jika selama ini kita hanya dipertontonkan kepada kisah tokoh pahlawan Barat, sudah tiba masanya mereka menonton kisah tokoh pahlawan kita. Biar mereka tahu pahlawan kita juga berperanan penting dalam sejarah peradaban dunia,” katanya.

Selain Stephen Rahman-Hughes, aktor kacukan Melayu-British, yang kali pertama diperkenalkan di negara ini melalui pementasan, PGL – The Musical, filem ini turut menampilkan pelakon terkenal China, Jing Lu, selain Gavon Stenhouse dan Henrik Norman, kedua-duanya dari Sweden.

Tidak ketinggalan Miss Malaysia/Universe, Deborah Henry yang bergandingan dengan Datuk Rahim Razali, Vanida Imran, Ummi Nazeera, Jehan Miskin, Khir Rahman, Craig Fong, Kuswadinata, Mano Maniam dan Cat Farish.

Beliau berkata, beberapa perubahan kecil akan dilakukan pada filem itu, termasuk penukaran judulnya kepada The Malay Chronicles sebelum tayangan dunianya bermula bertujuan menyesuaikannya dengan kehendak pasaran antarabangsa.

“Mereka (NBC Universal) meminta supaya judul ditukar. Bagus juga ada perkataan `Malay’… ini satu kebanggaan untuk bangsa dan negara kita. Pada masa yang sama, dialog turut dikekalkan dalam Bahasa Inggeris (70 peratus), manakala selebihnya Bahasa Melayu untuk tujuan itu.

“Beberapa rakan pengedar di Asia, selain Eropah dan Amerika Latin juga ada menyatakan minat untuk mengedar filem ini di sana walaupun ia belum siap sepenuhnya. Ini satu petunjuk awal yang baik untuk Hikayat Merong Mahawangsa,” katanya.

Beliau turut merancang untuk membawa filem terbarunya ke Festival Filem Cannes 2010 yang dijadualkan berlangsung Mei tahun depan untuk tujuan promosi, selain mengetengahkan adiknya, Yusry Abdul Halim ke pentas pengarahan antarabangsa.

“Saya pernah menghadiri festival itu tahun lalu. Apa yang saya nampak, ia satu platform terbaik untuk merintis pasaran antarabangsa bagi produk filem kita. Mungkin Yusry boleh menggunakan kesempatan ini untuk sama-sama melebarkan sayap pengarahannya. Yang penting, kita perlu berani mencuba,” katanya.

Info Produksi
Filem: Hikayat Merong Mahawangsa (The Malay Chronicles)
Genre: Epik-Aksi
Terbitan: KRU Studios
Penerbit Eksekutif: Norman Abdul Halim
Pengarah: Yusry Abdul Halim
Skor Muzik: Edry Abdul Halim
Penulis Skrip: Amir Hafizy
Pelakon: Datuk Rahim Razali, Stephen Rahman-Hughes, Jing Lu, Khir Rahman, Ummi Nazeera, Jehan Miskin, Cat Farish, Deborah Henry, Gavin Stenhouse, Henrik Norman, Craig Fong dan Vanida Imran
Koordinator Stunt: Man Ching
Mekap/Kesan Khas: Mas Hashim
Kostum: Rosada Abdul Hamid
Set/Props: Fab Lane Sdn Bhd
Pengarah Fotografi: Md Noh Kassim
Pengarah Seni: Kek Ting Lam/Anuar Baharuddin
Tarikh Tayangan: 30 September 2010

Filem Terbitan/Edaran KRU Studios
Jin Notti : 20 September 2009
Deadline : Oktober 2009
Planet 51 : November 2009
My Spy : Disember 2009
Magika : Februari 2010
Hikayat Merong Mahawangsa: 30 September 2010

Satu Respons

Subscribe to comments with RSS.

  1. dah tak sabar nak tonton filem ni.20juta tayangan di malaysia.100 juta di seluruh dunia.klu betul belanja teh tarik yer..

    zulhaidi harun

    Jun 6, 2010 at 6:07 pm


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: