Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Memanfaatkan muzik jana kesedaran patriotisme

leave a comment »

Oleh Faizal Tahir (17.08.2009 Bintang Popular)
faizaltahir@bharian.com.my

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Diharap pembaca B*Pop berada dalam keadaan sihat sejahtera, lebih-lebih lagi dalam keadaan kita semua yang terdedah kepada wabak Influenza A – H1N1 yang semakin kritikal pada waktu ini.

Image Hosted by ImageShack.us

Datuk Sudirman Arshad adalah contoh penyanyi Malaysia yang ada semangat patriotik tinggi.

Wabak yang pada mulanya ini diambil ringan oleh kebanyakan pihak, kini meragut sehingga 51 nyawa pada waktu saya menulis artikel ini. Saya sendiri berasa terancam dengan keadaan ini, lebih-lebih lagi dengan keadaan jadual saya yang padat dan penuh dengan undangan pertunjukan pentas dan kekerapan menghadiri acara di luar Kuala Lumpur.

Apa yang boleh saya nasihatkan adalah untuk kita semua tidak keberatan mengeluarkan sedikit wang untuk ke klinik terpilih untuk mendapatkan vaksin seasonal flu. Syukur alhamdulillah, saya berasa sedikit selamat selepas saya mendapatkan suntikan vaksin itu dari sebuah klinik swasta tempatan.

Apa yang difahamkan oleh doktor klinik itu, setakat ini masih belum ada vaksin atau penawar untuk H1N1. Tetapi, suntikan vaksin seasonal flu ini sekurang-kurangnya dapat membantu mempertingkatkan sistem imunisasi badan daripada dijangkiti wabak H1N1 secara langsung.

Menerusi tulisan saya kali ini, saya rasa adalah cukup sesuai untuk saya menyentuh sedikit mengenai semangat patriotisme di kalangan generasi muda kita. Sedar ataupun tidak, bulan ini adalah bulan yang bakal meraikan hari kemerdekaan Malaysia yang ke-52. Dalam jangka masa ini, generasi muda kita kelihatan sudah mula lalai dan lupa dengan kepentingan serta keistimewaan kemerdekaan negara kita.

Bila disebutkan mengenai kemerdekaan, apa yang dapat kita gambarkan adalah anak-anak muda yang lebih ghairah untuk berpesta dan berhibur pada malam 31 Ogos. Sehubungan ini, saya ingin memuji satu usaha yang cukup baik yang diikhtiarkan stesen radio Hot FM dalam menyahut cabaran mewujudkan semangat patriotisme dan 1Malaysia untuk kesedaran rakyat kita.

Faktanya, kita semua pasti bersetuju bahawa muzik dan hiburan adalah satu elemen paling berkesan dalam menyampaikan sesuatu mesej kepada orang ramai. Fakta ini tidak dapat disangkal dengan melihat sendiri sumbangan serta impak muzik terhadap banyak isu global di dunia ini. Berdasarkan fakta inilah, saya percaya Hot FM mengambil langkah menganjurkan pertandingan mencipta lagu 1Malaysia Kita dalam mengisi ruang yang mungkin sudah lama kita terlepas pandang. Ruang dimaksudkan itu adalah apabila kita tidak mengambil peluang untuk menggunakan muzik sebagai medium membangkitkan kesedaran dan semangat patriotisme di kalangan generasi muda kita. Tahniah saya buat pengurusan Hot FM.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Ini adalah satu motto atau pepatah yang kita biasa dengar sejak di bangku sekolah rendah lagi, sehinggakan ia kedengaran seakan-akan klise dan diambil ringan oleh kita semua. Namun, kebenaran pada pepatah ini sangatlah signifikan sekiranya ia dipraktikkan dan inilah mesej yang cuba disampaikan dan semangat yang mahu ditanam dalam setiap jiwa anak muda melalui pertandingan lagu 1Malaysia Kita anjuran Hot FM ini.

Pencarian Lagu 1Malaysia Kita

Selain membuka peluang kepada mereka yang berbakat dalam bidang penciptaan lagu dan lirik, pertandingan ini juga mampu menyatukan rakyat Malaysia dengan memperkenalkan satu lagu baru yang mampu diterima semua untuk dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Apa yang menarik perhatian saya mengenai pertandingan ini adalah sesiapa saja layak dan dialu-alukan untuk menghantar hasil karya mereka. Ini juga bermaksud hasil karya daripada anak-anak muda yang mempunyai cita rasa muzik yang lebih segar dan moden adalah diterima.

Kelebihan yang kita dapati dari kebebasan berkarya ini adalah lagu bersemangat patriotik yang mana gubahan muziknya lebih bercirikan muzik moden dan segar yang mampu menarik perhatian generasi muda kita. Saya percaya sudah sampai waktunya di mana kita sepatutnya lebih memahami kehendak dan cita rasa generasi muda kita yang bakal memimpin dan mengemudi kepemimpinan negara pada masa depan.

Saya juga percaya kita sudah harus lebih bersikap minda terbuka sealiran dengan perubahan zaman. Alhamdulillah, lagu nyanyian saya sendiri juga terpilih untuk ke peringkat akhir pertandingan Lagu 1Malaysia Kita ini. Lagu ini dicipta oleh Audi Mok manakala liriknya pula tulisan Nur Fatima, sekali gus menarik perhatian saya.

Kali pertama saya mendengarnya kerana keunikan muziknya yang begitu segar. Saya cukup berbesar hati kerana diberi peluang untuk turut serta memberi sumbangan kepada negara melalui pencarian Lagu 1Malaysia Kita. Anda boleh mendengarkan 10 lagu yang terpilih ini di laman web rasmi Hot FM dan jangan lupa untuk mengundi lagu pilihan anda.

Renung balik erti kemerdekaan

Sudah tiba masanya juga kita mendapat satu lagu bersemangat patriotik yang bercirikan muzik moden. Terima kasih sekali lagi kepada Hot FM atas usaha murni ini.

Diharapkan tahun ini kita semua dapat sama-sama bersyukur dan lebih prihatin mengenai kepentingan dan keistimewaan hari kemerdekaan Malaysia, tanah tumpahnya darah kita semua. Sudah pasti sambutan Hari Kebangsaan negara kita pada tahun ini lebih bermakna dengan berlangsungnya hari bersejarah tersebut di dalam bulan Ramadan yang mulia.

Jangan difikirkan bahawa Hari Kebangsaan harus disambut dengan konsert dan pertunjukan pentas serta pesta besar-besaran yang hanya mampu memuaskan nafsu hiburan kita semua. Malah, pasti ada hikmah besar di sebalik sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini seiring bulan Ramadan yang mulia. Bersyukurlah dan luangkan sedikit masa untuk merenung dan menilai kembali maksud kemerdekaan pada kita semua.

Akhir sekali, negara sudah merdeka, maka merdekakanlah diri dan minda kita. Tidak salah sekiranya saya katakan merdekakanlah juga diri kita daripada wabak H1N1. Hanya sekadar peringatan. Namun, jangan lupa untuk melayari laman web rasmi Hot FM di http://www.hotfm.com.my untuk mendengar 10 lagu yang terpilih ke peringkat akhir pertandingan Lagu 1Malaysia Kita.

Jangan lupa untuk mengundi lagu pilihan anda yang bakal menjadi lagu rasmi kempen 1Malaysia. Lakukan demi tanggungjawab kita sebagai anak jati Malaysia. Jutaan terima kasih di atas sokongan anda semua. Sehingga bertemu lagi, semoga kita semua berada di bawah perlindungan yang maha Esa, wassalam.

Written by Langit Biru

Ogos 17, 2009 pada 6:47 pm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: