Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Terkenang berpuasa zaman kanak-kanak

leave a comment »

Oleh Faizal Tahir (30 Ogos 2009, B*Pop)

ASSALAMUALAIKUM. Alhamdulillah, kita semua dipertemukan lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Diharapkan pembaca setia, khususnya yang beragama Islam, dapat menunaikan ibadat puasa lebih sempurna berbanding tahun sebelumnya. Inilah bulan yang dihadiahkan Allah untuk hambanya melipat gandakan pahala dengan beribadah dan melakukan kebaikan.

Image Hosted by ImageShack.us

Faizal bersama dua anak kesayangan.

Lazimnya, Ramadan selalu dikaitkan bulan berehat untuk golongan artis termasuk saya sendiri. Namun, ini tidak bermakna bulan mulia ini disia-siakan begitu saja. Sedangkan Allah menuntut bulan ini digunakan sebaik mungkin dan tidak dijadikan puasa sebagai alasan berehat dan menunggu waktu berbuka saja.

Cuma, apabila golongan penyanyi seperti saya mengatakan bulan puasa akan digunakan untuk berehat, itu hanya bermaksud berehat daripada terbabit dengan aktiviti hiburan dan pertunjukan pentas sebagai menghormati bulan mulia ini. Sebaliknya, bulan ini adalah bulan ditunggu-tunggu untuk menghabiskan masa dengan ayah ibu dan ahli keluarga lain yang menjadi keutamaan dalam kehidupan kita semua.

Mungkin bulan yang sebelumnya kita lebih sibuk dan menghabiskan masa dengan kerja dan mengumpul harta. Tetapi bulan ini digunakan untuk lebih banyak menebus kembali masa yang tidak dapat digunakan untuk bersama keluarga dan lebih mendekatkan diri dengan Allah.

Namun, kerja dan tanggungjawab saya sebagai anak seni juga terus berjalan seperti biasa. Mungkin bukan dengan menghadiri undangan menyanyi tetapi, bagi diri saya, bulan puasa ini lebih banyak masa saya habiskan di studio rakaman untuk menyiapkan lagu untuk album terbaru saya. Sudah hampir dua tahun saya tidak keluar dengan album baru.

Peluang berehat daripada menghadiri undangan nyanyian saya gunakan sebaik mungkin di studio rakaman dan juga menulis serta menggubah lagu baru, sama ada untuk diri sendiri atau artis lain. Selain itu, banyak juga jemputan berbuka puasa dan bersahur bersama anak-anak yatim, rumah orang tua dan orang kurang upaya (OKU) dianjurkan pihak dan pertubuhan yang prihatin dengan keperluan untuk menjamu dan melakukan kebaikan terhadap orang yang memerlukan perhatian dan kasih sayang kita semua.

Inilah antara aktiviti yang paling dinantikan saya dan rakan artis lain dalam Ramadan ini. Seperti saya katakan tadi, bulan ini adalah bulan yang harus kita semua gunakan untuk merebut peluang melakukan kebaikan dan perkara yang mungkin tidak dapat kita tunaikan di luar Ramadan. Kalau tidak banyak, sekurang-kurangnya ada juga sedikit masa boleh diluangkan bersama golongan yang memerlukan.

Disebabkan tidak banyak yang berlaku dengan dunia hiburan dalam bulan mulia ini, saya ingin mengambil kesempatan kali ini untuk menulis dan berkongsi cerita mengenai pengalaman berpuasa saya sendiri. Mungkin saya sendiri tidak ingat dengan reaksi pertama saya sewaktu diterangkan mengenai amalan berpuasa dan bertarawih oleh ayah dan ibu saya sewaktu kecil dulu. Namun, sekarang selepas berkeluarga dan mempunyai anak sendiri, saya sedar dengan tanggung jawab saya untuk menyampaikan ilmu agama kepada anak-anak. Ini adalah sesuatu yang bukan mudah dilakukan dan tidak boleh diambil ringan. Saya sendiri tidak ingat bagaimana sewaktu saya mula-mula belajar berpuasa dulu.

Seingat saya, saya mula berpuasa ketika masih di sekolah rendah lagi. Saya dididik oleh ibu bapa pada ketika itu bahawa puasa ini adalah satu ibadat apabila umat Islam di seluruh dunia tidak dibenarkan untuk makan atau minum bermula daripada terbit fajar hingga terbenamnya matahari sepanjang Ramadan.

Namun, ia bukan semudah itu. Ini kerana, ketika saya mula belajar mengenai Ramadan dan ibadat yang diamalkan dalam bulan tersebut, saya sekeluarga masih menetap di luar negara. Dalam pada itu, amalan berpuasa dan didikan agama yang diberikan kepada kami adik beradik, diberi satu cabaran baru, iaitu dengan keadaan hidup kami yang terdiri daripada komuniti yang rata-ratanya adalah penduduk bukan Melayu dan bukan Islam.

Saya terpaksa menghadapi cabaran untuk menahan lapar dan dahaga di kalangan rakan-rakan satu sekolah yang mana murid-muridnya tidak tahu atau tidak peka dengan situasi masyarakat Muslim yang berpuasa. Saya masih ingat, rakan-rakan yang sedang rancak bermain di taman permainan, penuh tenaga dan saya hanya mampu terduduk melihat aksi kegirangan mereka oleh sebab keadaan badan yang terlalu letih dan tidak bertenaga untuk menyertai rakan-rakan yang lain.

Terdapat pelbagai situasi yang menarik berlaku sepanjang usaha saya untuk mula mengamalkan ibadat berpuasa di negara orang, termasuklah sampai satu tahap di mana saya memakan gula-gula yang ditawarkan oleh rakan sekelas yang bukan Islam kerana lupa bahawa saya sedang berpuasa. Hanya kemudian saya sedari perkara berikut selepas pulang ke rumah dan ditanya oleh bapa saya.

Sebaliknya pula yang berlaku di Malaysia. Sekembalinya saya ke tanah air dan mula melaksanakan ibadat puasa beberapa tahun kemudian, nyata menunjukkan satu perbezaan ketara kerana apabila di sekolah, saya dikelilingi murid-murid yang sama-sama berusaha menyempurnakan ibadat puasa setiap tahun.

Oleh itu, sokongan diperoleh bukan saja daripada ibu bapa di rumah, tetapi juga rakan-rakan dan cikgu sekolah. Secara tidak langsung, ini dapat membantu kita melakukan ibadat puasa lebih sempurna dan juga membolehkan pelaksanaan ibadat ini dilakukan lebih meriah, contohnya dengan solat tarawih di semua masjid dan surau serata negara dan dengan kewujudan bazar Ramadan di seluruh pelusuk negara.

Kesimpulannya, perbezaan budaya, komuniti atau tempat di mana kita melaksanakan sesuatu ibadat itu tidak penting. Apa yang lebih penting adalah pemahaman kita mengenai konsep sesuatu ibadat itu. Malah, pemahaman konsep mengenai apa juga yang dilakukan oleh kita adalah sesuatu yang sangat penting dalam menentukan kejayaan dan keberkesanan setiap amalan atau perbuatan itu.

Akhir kata, selamat menunaikan ibadat puasa dan tarawih kepada semua peminat saya dan pembaca setia B*Pop. Semoga kita dapat memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan pada Ramadan lepas. Wassalam.

Komen:
Gambar lamalah, ni mesti bukan Faizal yang letak gambar. Selamat berpuasa.

Written by Langit Biru

Ogos 30, 2009 pada 7:48 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Tagged with

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: