Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Terkenang suka duka Aidilfitri

leave a comment »

Bintang Popular
13 September 2009

ASSALAMUALAIKUM dan Salam Sejahtera. Pejam celik, pejam celik, tanpa kita sedari kita bakal menyambut ketibaan 1 Syawal yang akan menjelang tidak lama lagi. Lagu raya juga mula berkumandang di stesen radio tempatan membuatkan lebih bersemangat dan tidak sabar menyambut Aidilfitri tahun ini.

Image Hosted by ImageShack.us

Namun, ibadah sepanjang Ramadan masih harus diutamakan. Sudah pasti kita faham maksud Aidilfitri yang membawa erti ‘Hari Kemenangan’. Sudah pasti ‘kemenangan’ itu hanya mampu dikecapi setelah kita berjaya mengharungi dan menunaikan ibadah di bulan mulia ini dengan sempurna, insya-Allah.


Bagi saya, sudah semestinya saya akan amat merindui Ramadan. Inilah bulan anugerah yang Maha Esa kepada hambanya bagi melipat gandakan amalan dan pahala kita semua. Belum tahu dan belum pasti sama ada kita akan bertemu lagi Ramadan akan datang. Beginilah setiap tahun, begitu gembira dan teruja menyambut kehadiran Ramadan dan begitu sedih serta pilu untuk meninggalkannya. Diharapkan kita dapat menikmati ‘anugerah’ ini dengan menggunakan masa kita sebaik mungkin. Semoga setiap amalan kita mendapat keredaan Allah SWT.

Seperti bulan puasa, Aidilfitri juga muncul hanya sekali dalam setahun. Kerana itulah saya ingin mengambil kesempatan ini berkongsi pengalaman dan bercerita mengenai sambutan Hari Raya saya yang banyak meninggalkan kenangan dan nostalgia dalam hidup saya. Sudah pasti zaman kanak-kanak paling banyak memberi kenangan pahit dan manis apabila kita bercerita mengenai Hari Raya Puasa. Namun begitu, tidak bermaksud sambutan Aidilfitri setelah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri tidak meninggalkan apa-apa kenangan. Malah, setelah berkeluarga, Aidilfitri banyak memberi kesedaran, mengajar perkara baru dan memberi makna kepada saya.

Alhamdulillah, tahun ini genaplah empat tahun saya menyambut Hari Raya sebagai seorang anak seni. Betapa bertuahnya saya, kerana selama 30 tahun saya dapat beraya dalam pelbagai keadaan, situasi dan status yang berbeza. Tidak ramai dapat melalui pengalaman seperti apa yang saya lalui. Bermula sebagai seorang kanak-kanak di perantauan yang mempunyai budaya cukup berbeza kemudian pulang ke tanah air melihat perbezaan sambutan di negara sendiri, selepas itu sebagai seorang pelajar universiti yang tidak dapat pulang beraya di kampung bersama keluarga sehinggalah kini beraya sebagai seorang suami, bapa kepada tiga anak dan anak seni. Kalau hendak diceritakan memang banyak pengalaman ingin dikongsi bersama. Dari bermain mercun sehinggalah mengumpul duit raya sewaktu kecil. Kini, saya pula yang melarang anak bermain mercun dan saya pula yang memberi duit raya. Betapa ironiknya!

Pengalaman menyambut Aidilfitri paling berharga sewaktu kecil bagi saya adalah dapat bersama-sama satu keluarga membuat biskut raya di dapur rumah sendiri, bermula dari pertengahan bulan puasa sehinggalah ke malam raya itu sendiri. Memang seronok dan terasa begitu rapat dengan ahli keluarga. Rasanya, berjaga sehingga lewat malam di malam raya memang suatu senario sinonim dengan kita semua. Kini, zaman berubah. Orang ramai lebih gemar membeli kuih raya yang telah siap dibuat berbanding menghabiskan masa di dapur untuk membuatnya sendiri. Saya pula sejak bergelar artis memang tidak pernah dapat bersama keluarga di malam raya seperti tahun-tahun sebelumnya kerana sibuk dengan penggambaran rancangan Sampaikan Aidilfitri di malam raya. Inilah kali pertama sejak bergelar artis saya dapat bersama keluarga di malam raya kerana tidak terbabit dengan mana-mana rancangan sempena malam raya.

Selain itu, perkara biasa yang memang kita semua selalu ingat sewaktu kecil adalah semangat untuk pergi beraya ke setiap rumah di kampung semata-mata untuk mengumpul duit raya. Kemudiannya, duit raya yang dikumpul itu dikira bersama adik beradik dan rakan-rakan kerana setiap orang mahu dirinya muncul pemenang dan terhebat dengan duit raya yang paling banyak dikumpul! Saya pasti kita semua pernah melalui itu semua. Mercun dan bunga api juga menjadi aktiviti dan bualan utama setiap kanak-kanak.

Pengalaman peribadi saya yang meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh keluarga saya adalah sewaktu saya hampir kehilangan adik bongsu beberapa hari sebelum raya. Adik saya menghidap denggi yang kritikal dan dikatakan tidak mampu bertahan sehingga hari raya pada tahun berkenaan. Saya dan keluarga begitu banyak melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT t sehingga lewat malam supaya dapat disembuhkan adik saya atau sekurang-kurangnya mengurangkan kesakitan dialaminya.

Secara jujurnya, kami sekeluarga menerima hakikat dan bersedia untuk tidak menyambut Aidilfitri seperti biasa pada tahun itu. Sedangkan doktor sudah mengesahkan adik tiada harapan untuk sembuh, tetapi Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dua hari sebelum Aidilfitri, adik saya sembuh dengan sendirinya! Bagai satu keajaiban melihat muka pucat beliau kembali menampakkan perbezaan. Jangan sesekali kita berputus asa dan hilang harapan kepadaNya.

Selang beberapa tahun selepas itu, saya telah kehilangan sepupu tersayang saya diikuti pula dengan arwah Tok Wan saya yang sangat saya sayangi pada tahun berikutnya. Kedua-dua kehilangan ini amat terasa kerana mereka pergi meninggalkan saya dan keluarga beberapa hari sebelum Aidilfitri. Namun begitu, saya pasti, setiap apa yang berlaku itu ada sebabnya. Dalam sesetengah perkara, kadang-kala, begitu lama waktu berlalu baru kita mengetahui sebabnya. Ada kalanya pula, kita langsung tidak mengetahui sebabnya. Tapi percayalah, Allah sentiasa memberikan yang terbaik kepada hamba-hambanya dan setiap yang berlaku itu adalah untuk kita semua sama-sama memikirkan kejadian setiap perkara dan kewujudanNya.

Kini, setelah bergelar suami, bapa dan artis, lain pula pengalamannya. Sambutan raya lebih bermakna dengan cara tersendiri. Ia lebih kepada rasa tanggungjawab dan bersyukur dengan segala pemberian dan nikmat Allah SWT. Memang bukan mudah memikul tanggungjawab sebagai suami, bapa dan artis pada masa serentak. Banyak yang harus dipertimbangkan. Segala keputusan, pembahagian masa, peruntukan perbelanjaan dan juga perhatian adalah tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Dalam kita meraikan Aidilfitri, janganlah kita sesekali terleka dan terlupa pada golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan perhatian dan pemberian daripada kita. Bersedekahlah sebanyak mungkin dengan niat ikhlas. Zakat fitrah jangan lupa ditunaikan. Sentiasalah bersyukur dengan apa yang ada dan beraya dalam keadaan bersederhana. Sesungguhnya pembaziran itu adalah sifat syaitan.

Kesempatan ini juga saya ambil untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada fan club saya, Rockensteiners, peminat setia serta anda semua yang memberi sokongan tidak terhingga dan sudi mengundi lagu Malaysia Satu ciptaan Audi Mok dan Nur Fatima, sekali gus menobatkan lagu itu sebagai juara dan pilihan untuk pertandingan mencipta “Lagu 1Malaysia Kita” anjuran stesen radio Hot FM, baru-baru ini. Tahniah juga saya ucapkan kepada para komposer, penulis lirik dan penyanyi lain yang turut serta terpilih ke peringkat akhir pertandingan itu. Semuanya hebat-hebat belaka dan menyerlahkan lagi bakat anak seni tempatan. Apa yang saya, Audi Mok serta Nur Fatima harapkan adalah lagu ini dapat menyuntik semangat baru dan segar ke dalam jiwa kita semua dalam merealisasikan cetusan idea Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mencapai matlamat 1Malaysia.

Sejujurnya, saya sendiri tidak pernah melihat atau menganggap pembabitan saya dalam lagu ini sebagai pencabar kepada penyertaan lain mahupun menganggapnya sebagai satu pertandingan yang merebut gelaran juara atau hadiah utama. Sebaliknya, saya ikhlas hanya ingin memberi sumbangan kecil saya kepada tanahair tercinta dalam mencapai matlamat 1Malaysia. Kalau dulu kita selalu dengar orang berkata muzik hanya membawa impak serta pengaruh negatif, namun itu semua tidak benar lagi. Terpulanglah kepada individu yang membawa serta mempersembahkan lagu atau muzik ciptaan atau nyanyiannya. Kita semua ada pilihan. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mampu melakukan kerja saya serta mempersembahkan hasil karya saya dengan memberi sumbangan serta impak positif pada mereka yang mendengarnya. It’s amazing what music can do for us. It unites and heals. Music can do wonders.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menghabiskan ibadah puasa di bulan Ramadan. Jika Sekiranya tidak sempat berjumpa sebelum Syawal menjelma, saya memohon ampun dan maaf zahir dan batin kepada semua pembaca, kelab peminat Rockensteiners, rakan dalam industri, semua yang menyokong saya dan seluruh umat Islam di Malaysia atas segala salah dan silap saya selama ini. Harapan saya, supaya Aidilfitri tahun ini lebih bermakna untuk kita semua dan berhati-hatilah sewaktu memandu pulang ke kampung nanti. ingatlah orang tersayang dan marilah kurangkan kadar kemalangan jalan raya pada tahun ini, Insya-Allah. Semuanya bermula dengan diri sendiri. Sehingga bertemu lagi. Wassalam.

Written by Langit Biru

September 13, 2009 pada 3:24 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Tagged with

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: