Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Raihan vs Hujan

leave a comment »

Oleh HARYATI KARIM (17-09-2009)
haryati.karim@kosmo.com.my

PELIK dan unik apabila melihat dua nama popular dari dua arena yang berbeza di atas satu pentas menyanyikan lagu bersama.

Siapa kata kumpulan nasyid tidak boleh bergabung dengan band indie? Buktinya, buat pertama kali dua nama popular daripada dua arena berbeza, band indie Hujan dan nasyid terkenal Raihan berkolaborasi dalam sebuah lagu raya.

Meskipun lagu yang berjudul Salam Aidilfitri Ayahanda & Bonda ciptaan sepenuhnya oleh ahli kumpulan Raihan, Abu Bakar Md. Yatim tetapi apabila susunan lagu dibuat oleh Noh dari Hujan, lagu raya baru ini kedengaran sungguh unik.

Tiada langsung bunyi lagu kumpulan nasyid sebaliknya ia lebih terarah pada muzik kumpulan Hujan. Bercakap mengenai perkara itu, Abu Bakar memberitahu, kumpulan Raihan sememangnya berfikiran terbuka dan menyerahkan bulat-bulat kepada Hujan untuk membuat susunan muzik kerana lagu ciptaannya itu pada mulanya memang lagu raya untuk kumpulan nasyid.

“Kita memang nak bunyian muzik Hujan, kami tidak kisah untuk mencuba perkara yang baru dan melihat pada hasilnya kami serta Hujan berpuas hati,” ujar Abu Bakar. Terangnya lagi, meskipun mereka memiliki imej yang berbeza, itu bukan halangan untuk bersatu dalam muzik.

“Saya melihat Hujan sebagai anak muda yang cukup berbakat dan kami cukup gembira apabila dapat bekerjasama dengan mereka,” ujarnya. Sebenarnya ini bukan kali pertama kumpulan Raihan berkolaborasi dengan band rock kerana mereka pernah bekerjasama dengan kumpulan dari Indonesia seperti Sheila On 7 dan Gigi serta dari Malaysia bersama Awie dan Man Kidal tetapi Raihan tetap berbangga dengan kerjasama terbaru mereka ini.

Hujan terkejut!

Noh selaku vokalis kumpulan Hujan tidak dapat menyembunyikan perasaan terkejutnya apabila mereka dihubungi pihak Raihan yang berminat untuk berkolaborasi dengan Hujan pada tahun lepas. Bagaimanapun setelah sekian lama, tiada khabar berita dari pihak Raihan, Noh menyangkakan semua perancangan tersebut berkubur begitu sahaja.

Namun, sangkaannya meleset apabila pada minggu pertama umat Islam berpuasa pihak Raihan menghubungi Hujan untuk merakamkan lagu raya bersama mereka. “Bila mereka ajukan pertanyaan tentang kolaborasi bersama tahun lepas, saya dan anggota Hujan yang lain terus sahaja setuju tanpa berfikir panjang sebab siapa yang tidak mahu berduet dengan Raihan, satu nama yang besar.

“Ia memang satu penghormatan buat kami dan memang tidak sangka langsung. Tetapi yang lucunya ketika kami mula-mula dengar lagu yang mereka berikan bunyinya 100 peratus macam lagu nasyid dan saya mula fikir macam mana kami nak nyanyi lagu ini,” tutur Noh. Tambahnya, setelah mengadakan beberapa perbincangan bersama pihak Raihan, akhirnya terhasil lagu raya pertama band Hujan sepanjang bergelar anak seni dengan gabungan bunyi lagu nasyid dan indie.

“Saya akui masa mula-mula dengar lagu ini dalam kereta tanpa buat susunan yang baru, saya macam tidak yakin, rasa kelakar pun ada. “Tetapi pihak Raihan memberikan kebebasan pada saya untuk mencorakkan lagu ini dan mereka yang nak lagu raya yang ada bunyi Hujan, hasilnya kami semua suka,” ujar Noh.

Selain Noh, Hujan yang dianggotai oleh AG (gitar utama), Izzat (bass), Ambobzeela (drum) dan Hang Dimas Santoso (keyboard) memberitahu pembikinan keseluruhan lagu raya ini tidak mengambil masa yang lama iaitu hanya tiga hari sahaja bermula dari proses rakaman lagu sehinggalah rakaman klip video. “Kami rakam lagu ini hanya satu hari, kemudian rakaman klip video satu hari dan suntingan satu hari, semuanya tiga hari sahaja berlaku pada waktu selepas solat terawih dan sebelum sahur setiap hari,” kata AG.

Image Hosted by ImageShack.us

Disoal tentang perbezaan imej yang ditampilkan ketika berduet dengan Raihan, Hujan mengatakan tiada apa yang berubah meskipun mereka menyanyi bersama kumpulan nasyid. “Kami tetap menjadi diri kami sendiri, cuma bila lagu raya kena pakai baju Melayu, itu sahaja. Tetapi kalau orang nak kritik kami tidak kisah kerana selama ini kami buat muzik untuk diri kami sendiri dan tidak kisah apa orang lain fikir tentang kami.

“Pemikiran dan pandangan itu hak individu, ada orang suka dan ada orang tak suka. Selama ini pun sudah banyak kali Hujan kena ‘tembak’ dengan pihak media, jadi kami sudah biasa,” tutur Noh lagi. Selepas kolaborasi bersama Raihan, Hujan memberitahu mereka mempunyai perancangan untuk membuat satu album ketuhanan tetapi semua itu masih dalam peringkat perbincangan.

“Kami berminat untuk buat album ketuhanan tetapi konsep dan bunyinya tetap Hujan, mungkin liriknya yang berbeza, tengoklah macam mana,” kata pemain keyboard Hujan, Hang Dimas Santoso.

Written by Langit Biru

September 17, 2009 pada 3:02 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Tagged with , , , , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: