Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Hikmah musibah menjelang Syawal

leave a comment »

Oleh Faizal Tahir (Bintang Popular, 11 Oktober 2009)

ASSALAMUALAIKUM. Hari ini genaplah 22 hari kita menyambut Syawal dan dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin kepada semua pembaca setia B*Pop. Diharapkan Syawal kali ini memberi 1001 makna yang baru kepada anda semua. Saya juga ingin memohon kemaafan sekiranya selama ini ada yang terasa mahupun terguris hati dengan apa saja yang dipaparkan dalam ruangan saya selama ini. Yang baik itu datang daripada Allah, yang buruk, daripada diri saya sendiri.

Image Hosted by ImageShack.us

Penulis (dua dari kanan) bersama Lan, Noh Hujan dan Aizat pada rakaman Akustika Raya TV3 di Seri Pentas 2, Shah Alam.

Di dalam kemeriahan kita menyambut hari kemenangan ini, setiap insan menyambutnya dengan cara mereka yang tersendiri. Ada yang menyambutnya secara mewah, ada yang bersederhana, ada juga yang kurang bernasib baik dan tidak mampu menyambut Syawal dengan kelengkapan dan keperluan yang cukup. Oleh itu, di dalam keghairahan kita menyambut Syawal, janganlah kita sesekali lupa kepada mereka yang lebih memerlukan, supaya mereka dapat sama menikmati sambutan Hari Raya dengan umat Islam lain di Malaysia dan juga serata dunia.

Kita semua tidak terlepas daripada menghadapi dugaan dan ujian daripada Yang Maha Esa. Dugaan daripada-Nya datang di dalam pelbagai bentuk dan cara. Bagi saya, Syawal tahun ini tidak kurang memberi saya pelbagai dugaan dan ujian yang terpaksa saya hadapi. Menjelang bulan mulia ini, kemeriahan sambutan Syawal ini diberi satu ujian apabila saya terpaksa menjalani pembedahan lutut, tiga hari sebelum Hari Raya.


Selepas menjalani pembedahan itu, aktiviti dan pergerakan saya terpaksa dihadkan, sejajar dengan keperluan rehabilitasi yang perlu diikuti sebagai sebahagian daripada proses pemulihan saya. Oleh itu, perkara ini sedikit sebanyak membataskan pergerakan saya semasa menyambut Syawal.

Sejak pembedahan itu, saya banyak menghabiskan masa di rumah dan berulang alik ke hospital bagi proses pemulihan. Selain itu, semua show terpaksa saya batalkan kerana daya fizikal saya belum mampu lagi untuk memikul tugas yang diperlukan bagi memenuhi jemputan berkenaan.

Antara show yang terpaksa dibatalkan termasuklah persembahan di negara yang saya belum pernah berpeluang mengadakan persembahan iaitu di Singapura, Brunei Darussalam dan juga International Music Fest di Australia. Walaupun berat hati memikirkan aktiviti kerja dan Syawal kian terjejas, saya reda kerana saya akur ia bertujuan membolehkan saya pulih kembali seperti asal dan itulah perkara yang paling penting dalam proses pemulihan post-operation.

Bukan saya seorang saja yang terpaksa menempuh pelbagai dugaan dan ujian Allah di kala menjelangnya Syawal, malah ramai rakan taulan juga terpaksa mengharungi situasi yang mencabar dan menguji kesabaran. Baru-baru ini, seorang sahabat baik, yang juga pengurus yang menjaga saya di bawah naungan The 8-unit, Eddy terbabit dalam satu kemalangan jalan raya yang serius.

Dia kini sedang dirawat di hospital untuk menjalani beberapa proses pembedahan bagi memulihkan keadaannya yang agak kritikal. Berita mengenai kemalangan beliau begitu mengejutkan saya dan membuatkan saya tergamam seketika selepas mendengar betapa seriusnya kerosakan yang dialami serta keadaan kesihatannya apabila menempuh kemalangan yang ngeri itu.

Bagaimanapun, kita harus bersyukur dengan setiap ujian yang datangnya daripada Allah kerana ia menunjukkan bahawa Dia masih memberi tumpuan pada kita dan kita keluar daripada ujian itu dalam keadaan yang sihat dan masih bernyawa, Alhamdulillah, pujian bagi Allah. Saya mendoakan agar Eddy selamat dan segera pulih serta berharap agar ahli keluarga beliau sabar dalam menempuhi ujian ini. Insya-Allah, semuanya akan selesai secepat yang mungkin.

Pun begitu, dalam setiap kesusahan, pastinya ada kesenangan. Di dalam situasi saya, walaupun pelbagai show terpaksa ditolak dan dibatalkan, ini bermakna saya berpeluang untuk berehat di rumah iaitu sesuatu yang sangat jarang dapat dilakukan saya sebelum ini, terutama minggu-minggu akhir sebelum tibanya Syawal.

Sebelum ini, jadual kerja saya begitu padat dan masa untuk berehat begitu terhad, apatah lagi masa untuk dihabiskan bersama keluarga. Sekarang ini, walaupun berada di dalam tahap fizikal yang agak kurang selesa, saya bersyukur kerana dengan ini, saya berpeluang menikmati masa rehat dengan sebaik yang mungkin. Dalam pada itu, saya juga berpeluang menggunakan masa terluang ini dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembikinan album kedua saya yang mana pengeluarannya menjadi persoalan utama oleh khalayak umum sejak tahun lalu.

Alhamdulillah, boleh katakan di sini bahawa sehingga kini, empat buah lagu berjaya disiapkan dan perkara ini tidak mungkin akan menjadi kenyataan sekiranya saya tidak diberi ‘cuti’ yang panjang ini sebagai susulan kepada pembedahan yang dijalankan.

Kesimpulannya, walaupun Syawal saya pada kali ini dipenuhi pelbagai ujian fizikal dan mental, pelbagai juga hikmah yang diperoleh daripada kesusahan itu. Saya bersyukur kerana selepas sekian lama, proses pembikinan album kedua saya sedang berada pada tahap yang amat memuaskan dan menunjukkan peningkatan yang progresif.

Saya juga bersyukur, dalam masa ini juga, saya dapat meluangkan masa bersama keluarga, ibu bapa serta adik beradik yang lain kerana tidak berpeluang melakukan demikian sebelum ini kerana komitmen kepada kerjaya saya yang agak padat. Tetapi, ia tidak akan berakhir di sini, kerana kita ada beberapa hari lagi sebelum berakhirnya Syawal.

Saya berharap dapat menggunakan selebihnya Syawal ini dengan sebaik yang mungkin dalam usaha merapatkan silaturahim antara keluarga dan juga rakan-rakan, Insya-Allah. Sekali lagi saya mengucapkan kepada semua pembaca B*Pop, Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Wassalam.

Written by Langit Biru

Oktober 11, 2009 pada 11:07 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Tagged with

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: