Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Bawa semangat Ustaz Asri ke Dubai

leave a comment »

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my (16 Oktober 2009)

Rabbani berkongsi pengalaman sambut Syawal di luar negara kerana Festival Nasyid Emiriah Arab Bersatu

RABBANI bersembahyang raya di Masjid An-Nur Sharjah.

SELEPAS pemergian vokalis utama Rabbani, Asri Ibrahim, 13 Ogos lalu, anggota kumpulan nasyid itu pernah berada di persimpangan dilema. Apakah mereka harus berehat seketika daripada dunia muzik nasyid yang memperkenalkan nama Rabbani di arena seni atau meneruskan saja langkah yang sama-sama disusun sejak sekian lama?

Namun, sekali perjuangan dimulakan, nyata amat sukar untuk mereka meletakkan titik noktah. Lalu, walaupun tanpa Asri yang bertahun-tahun mengepalai kumpulan itu, anggota lain berasakan perjuangan nasyid mereka tidak harus mempunyai garis penamat.

Atas alasan itu juga, Rabbani berangkat ke Dubai sehari sebelum Hari Raya baru-baru ini, bagi menunaikan undangan penganjur Festival Nasyid Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut anggota kumpulan itu, Azadan Abdul Aziz, pada minggu pertama puasa, mereka menerima panggilan dari Dubai yang memaklumkan hajat mereka untuk mengundang kumpulan berkenaan mengadakan persembahan sempena majlis penutup festival nasyid itu pada 2 Syawal.

“Pada ketika itu, kami tentu sekali berasa cukup terharu, pada masa yang sama amat terkejut apabila Rabbani diundang ke Dubai lebih-lebih lagi apabila Ustaz Asri baru saja meninggalkan kita semua.

“Kami maklumkan kepada penganjur mengenai kumpulan ini yang kehilangan penyanyi utamanya. Namun mereka tetap mahu Rabbani tampil sebagai artis undangan. Mengenangkan perjuangan yang perlu diteruskan, Rabbani menerima undangan berkenaan,” ujar Azadan.

Image Hosted by ImageShack.us

BERSAMA pemenang Festival Nasyid UAE serta pengacara rancangan TV (duduk, kanan).

Tiba pada jam 3 pagi 1 Syawal di Dubai, anggota kumpulan itu sempat menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri di Masjid An-Nur Sharjah, diikuti majlis keraian di kediaman penyanyi nasyid popular negara itu, Ahmed Bukhatir.

“Suasana sambutan Hari Raya mereka agak berbeza apabila kemeriahannya cuma dirasa pada pagi Aidilfitri. Selepas itu, tiada acara ziarah-menziarahi sebagaimana yang diamalkan masyarakat kita di Malaysia,” cerita Azadan yang hanya sempat berehat selepas majlis keraian berkenaan sebelum menghadiri raptai majlis penutup kemudiannya.

Pada hari berikutnya, seperti dijadualkan, kumpulan itu bakal tampil dalam sebuah rancangan yang disiarkan secara langsung di UAE. Azadan tidak menafikan debaran kencang melanda dada mereka, apatah lagi itulah kemunculan pertama Rabbani di luar Malaysia tanpa Asri. Lebih-lebih lagi, mereka perlu mengadakan persembahan secara langsung di hadapan penonton, di dalam dewan serta di hadapan kaca TV.

Image Hosted by ImageShack.us

KUMPULAN Rabbani mengadakan persembahan pada majlis penutup Festival Nasyid UAE.

“Alhamdulillah, segala-galanya berjalan dengan baik. Kami dikehendaki menyanyi tanpa iringan muzik. Ia sudah disyaratkan begitu. Pada acara itu, kami sampaikan tiga lagu iaitu lagu Melayu, Assalamualaikum; lagu Arab, Ya Mansatufa; dan lagu Inggeris, My Heart.

“Kami amat bersyukur apabila penonton berseronok dengan persembahan kami. Kata mereka, jarang sekali peminat di sebelah sana dihidangkan dengan nyanyian berharmoni atau berkumpulan seperti kami,” kata Azadan.

Pada hari berikutnya, kumpulan itu ditemubual oleh penyampai radio Syariqah selama lebih sejam. Di konti radio, mereka turut melayan panggilan sebahagian peminat yang mengaku mengenali kumpulan itu. Sebahagiannya pula pernah bekerja di Malaysia dan maklum kewujudan kumpulan berkenaan.

Pada temu bual di stesen TV Shariqah, sehari kemudiannya pula, kumpulan itu sepatutnya turut menerima panggilan peminat. Namun penerbit memendekkan waktu panggilan kerana mahu melihat Rabbani mengadakan persembahan. Lalu, sebanyak enam lagu juga sempat dipersembahkan kumpulan nasyid terkenal ini menerusi rancangan bual bicara itu.

Pada Hari Raya kelima, Rabbani diundang memeriahkan sambutan Aidilfitri yang diadakan di Rumah Malaysia di Dubai. Hadir sama pada majlis itu ialah Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Yahaya Abdul Jabar selain kira-kira 300 rakyat Malaysia di sana.

“Kami turut menghiburkan tetamu dengan beberapa lagu termasuk lagu raya. Paling tidak, terubat juga rindu rakyat negara kita yang tidak dapat pulang beraya di tanah air,” kata Azadan yang sempat melawat beberapa lokasi utama di kota berkenaan termasuk hotel mewah setinggi 321 meter, Burj Al Arab; Hotel Atlantis Palm; serta beberapa tempat menarik yang lain.

Menyentuh perancangan terbaru kumpulan, Azadan memberitahu, pada tahun depan Rabbani berkemungkinan besar tampil bersama sebuah album Arab-Inggeris untuk pasaran Timur Tengah.

Kumpulan itu juga bakal ditampilkan dalam program Kembara Ilmu & Kursus Intensif Bahasa Arab (Jordan, Lubnan dan Syria) anjuran Al Bayan Corporation Sdn Bhd pada November dan Disember ini. Mereka yang berminat untuk mempelajari bahasa Arab dengan lebih mendalam di Timur Tengah, bolehlah menghubungi Al Bayan di talian 03-79561190 atau 012-6280730 (Mohd Zaim Zukarani).

Written by Langit Biru

Oktober 16, 2009 pada 6:01 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Tagged with

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: