Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Bukan sombong tetapi kejutan budaya

leave a comment »

Oleh JESSABELL SOO (21 Oktober 2009
jessabell@kosmo.com.my

ALBUM kedua kumpulan Hujan, Mencari Konklusi tidak lari jauh daripada kesegaran, inovatif dan kreativiti seperti apa yang dipaparkan menerusi muzik mereka sebelum ini. Bagi kumpulan Hujan yang dianggotai oleh Noh, AG, Am dan Dimas, mereka yang masih bergerak bebas tanpa syarikat rakaman mengamalkan prinsip sama dalam pembikinan muzik.

Image Hosted by ImageShack.us

Sentiasa meluahkan emosi hati dalam lagu-lagu mereka, Mencari Konklusi yang menjadi single kepada album itu juga mempunyai maksud tersendiri kepada Hujan. Pada permulaan karier, kumpulan indie itu tidak begitu mengenali dunia arus perdana. Maka, banyak kritikan terutama dari segi komunikasi dan perangai mereka menjadi tajuk utama.

Tidak lagi mahu dikelilingi berita negatif sebegitu, Hujan nekad berubah. Itulah mesej yang disampaikan menerusi lagu Mencari Konklusi. “Melihat kembali apa yang telah berlaku ke atas Hujan, kita selalu dilabelkan sebagai kumpulan yang sombong.

“Sebenarnya kami mengalami kejutan budaya sebagai artis arus perdana. Dulu kami belum lagi bersedia dan mengaku itu kesalahan kami. Jadi itu adalah konklusi Hujan dan kami akan memperbaiki.

“Kami mahu menjadi lebih profesional kerana masalah sombong itu juga dikatakan berlaku di Indonesia. Tanggapan itu mungkin akan memusnahkan kami dan penyelesaian perlu dilakukan segera iaitu dari segi pengurusan,” kata Noh ketika ditemui pada majlis pelancaran album itu baru-baru ini.

Sudah berada di pasaran sejak 18 Ogos lalu, album terbitan Noh Phrofile itu juga bekerjasama dengan Metadome Sdn. Bhd. untuk memasarkan lagu-lagu daripada album itu secara digital.

ANGGOTA Hujan (dari kiri) Dimas, AG, Noh dan Am.

Memuatkan lagu 2nd Airwave, Obsesi, Mencari Konklusi, Kau Harus Ada, Benci, Romantik dan Sangkar Besi Di Hatiku, ada sebabnya mengapa album itu hanya mengandungi tujuh buah lagu.

Jelas Noh, disebabkan pasaran penjualan album tidak memberangsangkan, tujuh buah lagu sudah boleh dikirakan sebagai album penuh. “Kami hanya memasukkan lagu-lagu terbaik yang boleh mewakili Hujan.

“Walaupun muziknya berlainan, kami masih menyampaikan mesej yang sama menerusi liriknya. Menghormati orang dan menjadi diri sendiri adalah antara mesej utama yang kami sampaikan. Ia menyentuh soal kehidupan,” kata Noh.

Album pertama mereka, 1,2,3 Go? lebih versatil dan penuh dengan lagu balada. Naskhah itu adalah gabungan lagu-lagu daripada EP lama Hujan untuk dijadikan sebuah album. Berlainan pula dengan album keduanya, kesemua tujuh buah lagu di dalamnya merupakan karya baru yang tidak pernah kedengaran.

“Dalam album kedua ini, kami menyampaikan lagu-lagu yang lebih agresif, matang dan gagah. Kami yakin peminat akan dapat menerima lagu-lagu baru kami kerana mereka meminati muzik kami. Lagipun kami sentiasa mempunyai misi untuk menarik peminat baru,” tambah vokalis kumpulan itu.

Image Hosted by ImageShack.us

NOH mendapat inspirasi di London untuk beberapa buah lagu dalam album kedua Hujan.

Berpeluang membuat persembahan di London, United Kingdom (UK), pengalaman itu ada mempengaruhi pembikinan album kedua Hujan. Lagu Romantik contohnya ditulis oleh Noh ketika mereka berada di UK.

British rock (brit rock) sangat popular di sana. Maka, ia sedikit sebanyak telah mempengaruhi kami dalam pembikinan album kedua kami. Pengalaman membuat persembahan di sana juga banyak menjadi pencetus idea kepada pembikinan album itu,” kata Noh yang berharap untuk membuat persembahan di luar negara lagi tahun depan.

Popular di Indonesia, Singapura

Melawat Indonesia atas jemputan kawan mereka yang merupakan pengurus kepada kumpulan The Changcuters, Hujan menjadi lebih yakin selepas melihat penerimaan orang Indonesia terhadap muzik mereka.

“Sebelum kami menjejak kaki ke Indonesia, kami sangat takut. Tapi perkara sebaliknya yang berlaku apabila kami tiba di sana. Mungkin disebabkan pengaruh The Changcuters, kami diterima baik di Indonesia.

“Malah semasa kami membuat persembahan di Hard Rock Cafe Jakarta, kami terkejut apabila ramai artis underground datang mendengar lagu kami. Ingatkan kami boleh bercuti semasa melawat Jakarta tetapi bayangkan satu hari kami ada dua sesi temu ramah dan dua persembahan untuk masa dua minggu.

“Walaupun penat, kami gembira kerana boleh dikatakan lawatan kami ke Jakarta pada Mac lalu merupakan satu kejayaan besar,” kata Noh mengenai kumpulannya yang mengutamakan kepercayaan antara satu sama lain.

Image Hosted by ImageShack.us

ANGGOTA Hujan semasa pelancaran album terbaru mereka, Mencari Konklusi di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lawatan ke Singapura pada 7 Oktober lalu juga mencatat satu kenangan manis kepada kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2005. Berhasrat untuk menemui peminat mereka di sana walaupun ramai yang menyatakan ia satu risiko, Hujan gembira kerana impian itu terlaksana.

“Tidak kira berapa ramai peminat kami di Singapura, walaupun hanya beberapa orang, kami mahu berjumpa dengan mereka.

“Kami juga tidak menyangka ramai orang akan menyaksikan persembahan kami memandangkan ramai artis antarabangsa lain yang sentiasa melawat Singapura. Jadi kami hanya mencuba dan gembira kerana ramai peminat yang hadir untuk menyokong kami,” tambahnya lagi.

Image Hosted by ImageShack.us

DARIPADA sebuah band indie kini Hujan bukan sahaja tersohor di Malaysia, bahkan muzik mereka juga semakin dikenali di Indonesia.

Kini bagi mempromosikan album kedua, Hujan mengadakan konsert jelajah, Mencari Konklusi di Semenanjung Malaysia selain akan melawat peminat mereka di Sabah dan Sarawak. Malah, Hujan juga mempunyai perancangan untuk menjalankan konsert mini di Jakarta pada masa akan datang.

Itu bagi mereka adalah salah satu kaedah yang digunakan untuk terus bertahan dalam industri selain menghasilkan muzik berkualiti. Bagi mereka, bertemu dengan peminat adalah cara terbaik untuk mendapat sokongan mereka.

“Kami ingin memberitahu kepada kumpulan lain bahawa kita sebenarnya perlu bertemu dengan peminat. Itu adalah satu-satunya cara untuk peminat mengenali kita. Mungkin ada pihak yang menyatakan kita mengambil risiko tetapi itu bukan soalnya. Apa yang utama adalah peminat tahu mereka dihargai,” ujar Noh.

Written by Langit Biru

Oktober 21, 2009 pada 10:57 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Tagged with ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: