Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Hujan – Teruja ke pentas dunia

leave a comment »

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my (27 Oktober 2009)

BAGAIKAN merestui perjalanan album terbaru kumpulan Hujan, Mencari Konklusi, rintik hujan turut jatuh membasahi bumi ketika majlis pelancaran album terbabit diadakan baru-baru ini di premis terkemuka, Hard Rock Cafe. Paling penting album kedua ini bagaikan satu lambang untuk menjadi lebih matang, gagah dan agresif.

Mula menyemarakkan arus perdana sekitar 2006, band indie yang meledak dengan lagu Bila Aku Sudah Tiada dan Pagi Yang Gelap ini ternyata berjaya meraih perhatian seiring dengan kebangkitan fenomena jalur muzik alternatif rock yang diketengahkan mereka. Malah album pertama itu turut menang dua kategori di dalam Anugerah Industri Muzik Mei lalu.

Mencari Konklusi diterbitkan Noh Phrofile yang mula tertubuh sejak 2005 dan mula dipasarkan sejak 18 Ogos lalu. Paling menarik seiring dengan ledakan pasaran muzik digital, Hujan bekerjasama dengan Metadome Sdn Bhd yang mempromosi dan memasarkan album itu secara digital. Judul album itu dengan sendirinya memberi signifikan tersendiri terhadap kewujudan Hujan.

Kata Noh selaku vokalis, ia sebenarnya merujuk kepada Hujan sendiri ketika mula melancarkan legasi mereka di pentas komersial. Dek perhatian yang diterima, Hujan sebenarnya mengalami kejutan budaya hingga pernah timbul cerita mereka dikatakan bersikap ‘kekwat’. Sikap selamba dan menjadi diri sendiri akhirnya memakan diri.

“Apa yang terjadi masa dulu satu pengalaman dan pengajaran yang terus mematangkan Hujan. Kami akui silap sendiri. Mungkin juga kami belum bersedia untuk menerima tempias perhatian masyarakat. Konklusi di sini seperti kami mahu berubah dan memperbetulkan keadaan supaya menjadi lebih baik.

“Kami mahu memperbaiki segala aspek termasuk pengurusan dan apa saja kelemahan yang pernah ada. Sebagai manusia biasa, kami juga tidak terlepas melakukan kekhilafan. Dalam konteks muzik pula, kami cuba untuk menjadi lebih baik dan terus baik. Album kali ini lebih memenuhi kehendak hati kerana kami lebih nampak hala tuju sebagai penyanyi band,” kata Noh di awal bicara.

Image Hosted by ImageShack.us

Hujan dalam diam sebenarnya hebat melebarkan legasi seni mereka di luar negara.

Difahamkan pada awalnya sebanyak 12 buah lagu disenarai pendekkan untuk dimuatkan di dalam album ini. Bagaimanapun, akhirnya hanya tujuh buah lagu terpilih mengisi album ini. Lagu Mencari Konklusi menjadi pertaruhan single pertama, malah turut dibikin klip videonya di Bandung, Jakarta dengan usaha sama Channel (V) termasuk menampilkan Scha Alyahya dan aktor Indonesia, Fauzi Baadila sebagai pelakon.

Malah paling jelas, Hujan juga kini tanpa disedari sedang cuba untuk ‘menakluk’ dunia dengan melebarkan entiti nama mereka di beberapa buah negara. Bermula dengan United Kingdom, Indonesia, Singapura, Hujan juga sedang merancang untuk ke sebuah negara Barat tahun depan.

“Insya-Allah kalau jadi jelajah kami di negara Barat yang masih belum dapat didedahkan itu akan menjadi kenyataan. Ia seperti siri persembahan kami di United Kingdom kerana ia membabitkan pelajar Malaysia di sana. Album ini juga sebagai bukti kami mahu menghargai peminat di seluruh Malaysia dan luar negara dengan adanya siri jelajah.

“Siri jelajah dan kembara ini seperti satu revolusi untuk kami terus bertemu dengan peminat secara lebih dekat terutama kepada mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai Raingers. Ini satu pengorbanan kami untuk mereka yang benar-benar menikmati jalur muzik serta perjuangan Hujan.

Image Hosted by ImageShack.us

“Siri jelajah ini juga saya tafsirkan sebagai satu langkah berani di saat industri muzik kita disifatkan sebagai tenat. Saya tidak boleh menyentuh mengenai soal risiko sama ada ia akan menarik ramai penonton atau tidak. Janji, kami semua dapat menghiburkan peminat tidak kiralah kalau yang hadir menonton sekalipun hanya tiga orang,” katanya sambil memberitahu Hujan lebih cenderung untuk menanti perkembangan band dari United Kingdom.

Ditanya mengenai ketiadaan Jaja sebagai pemain bes undangan yang dikatakan kononnya disingkirkan Hujan, Noh menjelaskan atas dasar mencuba mereka membuka peluang baru kepada pemuzik undangan lain seperti Izzat yang pernah bermain bes bagi persembahan kumpulan Estranged dan Aizat. Hakikatnya, anggota asal dan mutlak Hujan hanyalah Noh, Dimas, AG dan Am.

“Hubungan kami berempat sudah macam adik beradik. Kami seperti satu keluarga besar yang saling mempercayai dan menghormati di antara satu sama lain. Malah, setiap ibu kami juga dianggap seperti ibu kandung masing-masing. Bukan senang untuk kami menerima ‘orang luar’ sebagai keluarga. Harapnya Hujan akan tegar bersama dan tidak akan timbul kisah kami berpecah di kemudian hari,” katanya yang pernah digosipkan kononnya ‘berkawan’ dengan Nora Danish.

INFO: Hujan

# Kata Noh, Hujan adalah karyawan yang tidak dapat menjangka sebarang kemungkinan pertukaran aliran muzik pada masa mendatang. Yang penting, muzik mereka lahir dari dalam hati yang ikhlas.

# Indie bagi mereka difahami sebagai independent atau bergerak secara sendiri tanpa bergantung dengan mana bantuan syarikat rakaman. Mungkin kini, Hujan adalah separuh indie kerana sudah mula dibantu syarikat rakaman. Indie bagi mereka bukanlah genre muzik yang sering disalah tafsir sesetengah pihak.

# Rapat dengan kumpulan Meet Uncle Hussain, Aizat dan Faizal Tahir.

# Selepas selesai siri jelajah yang bermula dari Singapura pada 7 Oktober lalu dan berakhir di Melaka (8 November), mereka akan ke Sabah dan Sarawak. Selepas itu, sekali lagi mereka akan ke Bandung.

# Selain pemain keyboard Hujan, Dimas yang banyak membantu memudahkan aliran kerjaya Hujan di Indonesia, Asik selaku pengurus The Changcutters (kumpulan indie dari Indonesia) juga banyak mempermudahkan perjalanan Hujan mempromosi label muzik mereka di sana.

Suka tengok gambar Hujan ni. Kalau ada kualiti yang lagi bagus. Mesti lawa.

Written by Langit Biru

Oktober 27, 2009 pada 12:08 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Tagged with

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: