Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Kalau ada keserasian, hasil kerja jadi lebih baik

leave a comment »

Oleh Faizal Tahir
Bintang Popular (25 Oktober 2009)

 

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Diharapkan semua pembaca setia B*Pop berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Berakhir sudah sebulan kita dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri walaupun kebanyakan daripada kita sudah kembali sibuk bekerja seperti biasa. Terima kasih kepada semua yang sudi menjemput saya ke rumah terbuka mereka walaupun saya hanya mampu menghadiri beberapa saja jemputan.

Khamis lalu diadakan sidang media oleh pihak produksi Muzik-Muzik TV3 bagi mengumumkan lagu serta artis yang berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik tidak lama lagi. Alhamdulillah, Bencinta, ciptaan Audi Mok dan saya berjaya terpilih ke peringkat separuh akhir ini. Saya mewakili Audi dan saya sendiri mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua orang yang sudi mengundi dan melayakkan Bencinta bertanding ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik. Jutaan terima kasih juga kepada peminat saya dan juga ahli Rockensteiners. Tahniah juga buat semua komposer dan artis lain yang berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Saya pasti ramai yang sudah mula tertanya-tanya mengenai kelahiran album kedua saya setelah hampir dua tahun tanpa produk baru. Bencinta juga sudah hampir setahun dikeluarkan. Alhamdulillah, single terbaru saya, Selamat Malam, yang akan dimuatkan dalam album kedua saya ini telahpun mula dimainkan di stesen radio tempatan.

Saya sendiri sedar dengan masa yang agak lama diambil bagi menyiapkan album kedua saya ini. Namun saya sebenarnya seorang yang tidak percaya dengan melakukan apa-apa kerja dalam keadaan ‘rushing‘ atau tergesa-gesa. Kualiti adalah sesuatu yang terlalu penting dan paling utama kepada saya. Tiada toleransi yang akan saya berikan bila kualiti diutamakan. Lagu Selamat Malam sendiri menghadapi beberapa perubahan sebelum saya dan Audi bersetuju untuk mengeluarkannya. Proses pembikinan album kedua saya ini boleh dikatakan jauh lebih menyeronokkan dan lebih berani berbanding yang pertama. Bukannya saya katakan pengalaman merakamkan album pertama tidak menyeronokkan, namun pengalaman yang dilalui bersama Audi dalam penghasilan album pertama banyak membantu untuk menghasilkan album kedua ini. Saya tidak mahu katakan yang pembikinan album kedua ini lebih teliti kerana penelitian yang lebih mungkin merumitkan lagi penghasilan lagu yang baik dan mampu mendatangkan stress yang tidak sepatutnya timbul dalam kerja-kerja yang membabitkan kreativiti minda seperti ini.

Setiap daripada kita bekerja dengan cara masing-masing. Saya sendiri pernah mendapat soalan ‘cepu emas’ daripada beberapa orang yang mempersoalkan pilihan saya menggunakan Audi selaku komposer dan penerbit sepenuhnya untuk album saya. Pada saya, ini adalah persoalan peribadi di mana hanya saya tahu kenapa saya memilih Audi untuk bekerja dengan saya. Namun, hanya satu perkataan yang mampu menjawab soalan itu – selesa. Saya memang sangat selesa bekerja dengan Audi Mok. Cara kerja kami sangat ‘serasi’ dan kami mempunyai suatu elemen sangat penting apabila bekerjasama iaitu ‘chemistry‘. Tanpa ‘chemistry‘ atau keserasian sesuatu kerja yang dilakukan tidak mampu mendatangkan hasil yang ‘maksimum’.

Saya juga mendapat maklum balas orang ramai mengatakan sekiranya saya mahu mendapat ‘keajaiban’ daripada muzik saya dan mencipta kelainan, saya harus cuba menggunakan khidmat komposer dan produser lain supaya mendapat ‘versatility‘ dan kelainan. Terima kasih atas segala pendapat dan cadangan diberikan. Namun, secara jujurnya saya seorang yang tidak percaya dengan konsep versatile ini.

Sebenarnya, inilah masalah yang dihadapi ramai artis tempatan. Bila terlalu ramai komposer dan produser terbabit dengan pembikinan sesuatu album itu, maka hala tuju dan kualiti album memang tidak dapat dikawal dengan baik. Saya sendiri pernah mengalaminya sewaktu pembikinan album pertama saya dulu dan pengalaman itulah yang mengajar saya untuk lebih fokus dengan seorang saja komposer dan produser untuk album kedua ini. Kalau diteliti dan dicari semula, album-album yang baik dan pernah dihasilkan sebelum ini adalah album yang lebih ‘focused’ cara penerbitannya dengan menggunakan hanya satu atau dua produser yang bekerjasama dalam keseluruhan pembikinan sesebuah album.

Namun, jangan disalah faham apa yang saya cuba sampaikan di sini. Saya tidak pula mengatakan saya tidak akan menggunakan khidmat komposer atau produser lain untuk album saya. Siapa tahu, untuk album-album saya yang akan datang saya mungkin saja mahu mencuba sesuatu yang baru dan menggunakan khidmat komposer dan produser lain. Namun, pada waktu ini, memang tidak dapat dinafikan Audi Mok adalah pilihan terbaik dan tepat dalam cuba menyampaikan sesuatu yang lebih segar kepada industri muzik tanah air. Kami sangat serasi bekerja bersama dan saya lebih berpuashati dengan apa yang kami lakukan bersama.

Kelewatan album juga bukan disengajakan. Tiada sebab untuk melewatkan kelahiran album kedua. Seperti yang selalu saya katakan, saya mahukan yang terbaik saja untuk muzik saya dan para pendengar di luar. Untuk pengetahuan semua, saya dan Audi sentiasa menulis dan mencipta lagu baru dari masa ke semasa. Dari tahun lepas kami sudah mula menulis. Namun, tidak semua lagu yang dicipta itu kami akan gunakan. Mungkin daripada tiga lagu dicipta, hanya satu yang kami gunakan.

Mungkin juga daripada 10 yang ditulis, hanya dua yang kami pilih untuk dirakamkan. Penulisan lirik juga sangat penting untuk disesuaikan dengan sesebuah lagu yang telah dicipta. Lirik tidak boleh ditulis sewenang-wenangnya tanpa menitikberatkan melodi, arrangement, ‘feel‘ dan cara produksi lagu tersebut. Ia harus serasi dan wajar dengan ‘perasaan’ yang ditonjolkan dalam lagu itu. Contohnya, kali pertama saya mendengar lagu dan melodi untuk Bencinta dan Selamat Malam, saya sudah tahu hala tuju dan ‘feel‘ yang dibawa lagu itu.

Kali pertama saya mendengar melodi dan arrangement Selamat Malam, saya sudah tahu saya mahu menulis mengenai apa. Begitu juga lagu lain yang dirakamkan untuk album kedua ini. ‘Visualisation‘ dan pemahaman mengenai sesebuah lagu itu adalah sangat penting untuk mendapatkan hasil produksi yang terbaik.

Mahu saja saya teruskan bercerita tentang pembikinan album saya ini untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Insya-Allah, kita bertemu kembali dalam ruangan akan datang. Sehingga bertemu lagi, wassalam.

Selamat Hari Lahir, Faizal Tahir. Betul apa yang diperkatakan. Ini mengingatkan saya kepada produser Korea kegemaran saya.

Written by Langit Biru

Oktober 27, 2009 pada 9:01 am

Dikirim dalam Uncategorized

Tagged with ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: