Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Faizal : Usah salahkan Shila

leave a comment »

Bintang Popular (6 Disember 2009)
Faizal Tahir

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Alhamdulillah, saya kembali menulis setelah berehat hampir dua minggu atas sebab kesihatan. Dalam apa jua keadaan, setiap yang sihat pasti sakit dan sebaliknya. Setiap yang menang pasti tewas dan sebaliknya. Setiap yang suka pasti duka dan sebaliknya. Setiap yang senang pasti susah dan sebaliknya dan setiap yang bermula pasti ada akhirnya.

Begitulah juga 2009 ini yang senja dan memasuki bulan terakhir tahun ini. Terlalu cepat masa berlalu dan terlalu singkat masa yang kita ada untuk melakukan semua benda yang dirancang awal dalam masa 365 hari. Masih segar di ingatan saya banyak perkara dilalui dalam masa hampir setahun ini. Namun begitu, apa yang telah berlalu harus dibiarkan berlalu dan dijadikan rujukan untuk kebaikan masa depan.

Saya masih ingat pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-22 yang dilangsungkan di Arena of Stars, Genting Highlands pada awal tahun ini. Malam yang memperkenalkan single terbaru saya, Bencinta kepada khalayak ramai. Masih ingat persembahan itu? Sedar tak sedar, pencalonan untuk ABPBH ke-23 telah pun disenaraikan untuk undian pembaca setia Berita Harian. Terkejut saya mendengar berita ini kerana langsung tidak sedar masa telah berlalu. Begitu juga Anugerah Juara Lagu (AJL).

Saya masih teringat malam AJL ke-23 yang berlangsung awal tahun ini. Namun, kini tinggal hanya sebulan lagi untuk kita semua bakal menyaksikan saingan 14 lagu baru bertanding pada AJL ke-24 pada 10 Januari depan. Tahniah kepada semua artis dan komposer serta penulis lirik yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.

Alhamdulillah, Bencinta ciptaan Audi Mok dan saya berjaya ke AJL ke-24. Jutaan terima kasih kepada semua peminat dan pihak juri yang memberi kepercayaan kepada lagu ini untuk bertanding pada malam gemilang AJL ke-24. Tidak lupa juga kepada Shila yang berjaya menggalas tanggungjawab menggantikan saya pada malam separuh akhir dua minggu lalu.

Saya sebenarnya amat terkejut dan kecewa dengan kritikan hebat dan segala jenis cemuhan sesetengah pihak yang menghentam Shila tanpa ada rasa belas terhadapnya. I feel responsible. Pada saya, ia sangat tidak adil untuk melemahkan semangat seorang anak seni yang masih muda dan berbakat besar dalam industri muzik tanahair. Saya sendiri mengakui Shila berpotensi besar untuk pergi jauh dalam bidang muzik. Dia tidak sepatutnya dikritik atau disalahkan dalam situasi ini.

Pilihan untuk memanggil Shila menggantikan tempat saya pada malam itu adalah pilihan saya, Audi Mok dan pihak syarikat rakaman kami, Monkey Bone. Bukan kami memilih sesuka hati. Benar, pilihan utama saya adalah Azlan dari kumpulan Azlan & The Typewriter. Datuk Siti juga saya lihat sebagai calon terbaik untuk memberi kelainan pada pembawakan lagu itu. Saya tidak mahu seorang klon atau seseorang yang mampu membawa lagu itu seperti mana saya menyampaikannya. Saya mahu seorang yang mampu memberi kelainan dalam persembahannya. Bencinta bukan mudah untuk disampaikan. Saya sendiri mengaku bermasalah sewaktu mula-mula mahu menyanyikan lagu itu untuk dua tiga kali yang pertama.

Memang mudah untuk kita membandingkan seorang penyanyi jemputan dengan penyanyi asalnya. Namun agak tidak adil untuk menghentam Shila dengan begitu teruk sekali. Lebih-lebih lagi apabila dia diberikan satu tanggungjawab yang pada saya amat besar baginya. Saya cukup berterima kasih kerana Shila sudi menerima dan mampu menggalas tanggungjawab dengan baik. Hanya berusia 19 tahun, Shila masih muda dan masih banyak yang mampu dipelajarinya untuk membuatkan dia seorang penghibur yang cukup baik dalam industri hiburan.

Saya tidak mungkin boleh berbohong dan mengatakan persembahan Shila adalah 100 peratus sempurna. Tetapi Shila melakukan yang terbaik untuk persembahannya, untuk Bencinta, untuk Audi Mok dan saya, untuk peminat saya dan juga untuk juri. Begitu besar sekali tanggungjawabnya dalam cuba memuaskan hati banyak pihak. Memang benar, sama seperti lagu nyanyian legenda muzik terdahulu. Tiada siapa mampu membawa sesebuah lagu seperti penyampaian penyanyi asalnya.

Contoh seperti lagu Yesterday nyanyian The Beatles adalah antara lagu yang paling banyak dijadikan ‘cover song’ oleh ratusan artis dan penyanyi dari seluruh dunia. Namun, nyanyian asal lagu itu oleh The Beatles adalah yang terbaik dan tiada tandingannya. Begitu juga ‘Smooth Criminal’ dan ‘Beat It’ nyanyian Raja Pop, Michael Jackson yang dinyanyikan semula Alien Ant Farm dan Fallout Boy sudah semestinya dibawa dengan cara berbeza. ‘More Than Words’ nyanyian asal oleh kumpulan Extreme juga adalah lagu yang banyak dijadikan ‘cover song’.

Namun, versi asalnya juga yang dicari oleh setiap penggemar muzik. Kesimpulannya, apabila seseorang itu berjaya menjadi seorang penyanyi yang diiktiraf, sudah semestinya dia tidak mahu disamakan atau dikatakan mencuba untuk menjadi penyanyi asal kepada sesebuah ‘cover song’ yang di nyanyikan semula itu.

Andai kata saya diberi tugas untuk menyanyikan lagu Shila, saya sendiri pasti akan lain juga jadi lagunya nanti. Saya sendiri pernah berasa sangat gementar dan gemuruh sewaktu diberi tanggungjawab berduet dengan Datuk Siti Nurhaliza menyanyikan lagunya. Sudah pasti lain jadinya dari yang asal. Sedangkan sewaktu itu saya berduet dengan Datuk Siti di atas pentas. Inikan pula Shila yang berseorangan sewaktu menyampaikan lagu Bencinta, bersiaran secara langsung dan diadili juri professional. Bayangkan… Yang harus dipuji adalah kematangan dan juga keberanian Shila dalam menangani situasi ini. Kepada Shila, terima kasih banyak-banyak dan teruskan perjuangan. Be strong.

Sewajarnya, kita semua berikan peluang kepada orang di sekeliling kita. Sekiranya mahu mengkritik, biarlah berpada-pada dan membina untuk kebaikan semua. Bukan untuk menjatuhkan air muka dan reputasi seseorang. Jangan salah faham, saya tidak marah yang mengkritik, cuma minta berlembut sedikit dan beri peluang pada orang lain. Saya pasti yang mengkritik itu adalah mereka yang cukup arif dan mampu menilai muzik dan sesebuah persembahan itu dengan begitu baik dan adil. Terima kasih banyak-banyak kepada anda semua. Saya sendiri berterima kasih kepada pengkritik-pengkritik saya. Tanpa mereka juga saya takkan berada di tempat saya sekarang ini. Kita semua ada peranan masing-masing dalam kehidupan ini.

Akhir kata, jutaan terima kasih kepada Shila sekali lagi dan juga kepada Rockensteiners yang sudi turun padang memberi sokongan kepada Shila dan Bencinta sewaktu separuh akhir Muzik-Muzik tempoh hari. Sehingga berjumpa lagi. Wassalam.

Dalam edisi kertas, ada gambar Shila. Tapi versi online tiada gambar pun. Saya pun nak berterima kasih kepada Shila sebab menyanyikan lagu Faizal. Nasib baik Faizal tidak menarik diri. Kalau tidak lagi haru.

Written by Langit Biru

Disember 7, 2009 pada 11:21 pm

Dikirim dalam Artikel

Tagged with ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: