Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Yusry : Tidak kejar jodoh

with one comment

Oleh Elrafaei Sapi (14.12.2009)
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Bagi Yusry Abdul Halim, pengalaman pahit yang dilalui selepas berpisah dengan bekas isteri sejak tiga tahun lalu tidak lagi mengganggu emosinya. Prinsip duda kacak berusia 36 tahun ini, kehidupan perlu diteruskan dan dia pasrah dengan ketentuan Tuhan mengenai jodoh.

ADA yang membuat andaian hidup bergelar selebriti penuh dengan kemewahan dan glamor. Apa saja yang dihajati boleh dibeli dengan wang ringgit dan atas sebab itu, mereka dikatakan mudah kecapi bahagia. Sebaliknya, artis juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan dan gagal dalam percaturan hidup.

Katanya, pengalaman lalu dijadikan panduan kepada diri sendiri untuk lebih tabah menempuh hidup mendatang. Tanpa berselindung, dia akui perasaan ketika ini makin stabil dan tenang biarpun banyak masa dihabiskan dengan kesibukan bekerja. Yusry yang sebelum ini dikenali menerusi trio adik-beradik KRU mengembang bakat seni sebagai pengarah filem.

Bermula dengan filem debutnya, Cicak-Man yang ditayangkan tiga tahun lalu, filem itu berjaya meraih kutipan RM5.2 juta manakala sekuelnya, Cicak-Man 2: Planet Hitam (2008) mencatat kutipan RM3.2 juta.

Yusry menyatakan dia seronok dengan karier seni yang dilakukan sama ada berada di lokasi penggambaran mahupun dalam studio apabila terbabit dengan proses pasca produksi.

“Memang sukar apa yang saya tempuh ketika kami ambil keputusan tidak lagi bersama. Ketika itu, pelbagai cerita dan tohmahan yang dilemparkan kepada saya.

“Ada yang kata saya sakit dan sebagainya. Pada mulanya, saya juga tertekan dengan apa yang diperkatakan segelintir pihak tanpa mereka tahu cerita sebenar.

“Namun, lama-kelamaan saya tidak peduli apa yang mereka kata. Saya sendiri tetap positif dan rasional untuk fikir jauh. Biarlah apa orang nak cakap, apa yang penting saya dan dia tahu apa yang sebenarnya berlaku antara kami dulu,” katanya.

Yusry yang ditemui di pejabatnya di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur berterus terang dia tidak terlalu mengejar jodoh untuk mengisi kekosongan hidupnya kini. Sebagai lelaki, dia akui keinginan untuk berkahwin semula ada, tetapi buat masa ini dia belum temui calon yang sesuai.

Katanya, andai dia bertemu dengan wanita yang difikirkan sesuai untuk berkongsi hidup, dia tidak mahu melengah masa untuk terus berkahwin. Baginya, sukar untuk menentukan jodoh sendiri walaupun dia juga berusaha berkenalan dengan beberapa wanita sebelum ini termasuk diperkenalkan anggota keluarga sendiri.

“Tipu jika saya kata tidak berkawan dengan wanita ketika ini, tetapi saya tidak sorok jika mempunyai kekasih baru. Terus terang, saya tenang dengan kehidupan yang dilalui kini.

“Bagi saya, soal memilih pasangan hidup suatu yang subjektif. Tidak semestinya kecantikan menjadi ukuran utama, tetapi apa yang penting, pasangan itu perlu serasi untuk hidup bersama nanti,” katanya.

Dalam mengisi kekosongan hidup, Yusry menyatakan dia masih sibuk dengan pasca produksi filem epik pertama arahannya, Merong Mahawangsa. Filem ini yang menjalani penggambaran selama dua bulan sekitar Terengganu termasuk Kuantan, Pahang pada Ogos lalu dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Katanya, proses ini yang membabitkan imej janaan komputer atau CGI dianggap filem berskala besar yang menggunakan hampir 300 pelakon tambahan dengan penggambaran dibuat di atas empat kapal besar dan mengambil syot dari helikopter.

“Boleh dikatakan cabaran menyiapkan filem ini 10 kali ganda sukar berbanding Cicak-Man. Di lokasi, saya berdepan cabaran bukan saja mengendali set penggambaran yang besar, tetapi faktor cuaca tidak menentu.

“Sepanjang dua bulan penggambaran, semua pelakon dan kru produksi berkampung di sana. Memberi tarikan, filem ini menggunakan dialog 60 peratus dalam bahasa Malaysia manakala selebihnya turut menampilkan bahasa Inggeris (BI).

“Biarpun ada yang berpandangan skeptikal mengenai penggunaan dialog BI dalam filem, tetapi saya melihat filem ini mempunyai potensi untuk pasaran antarabangsa. Menariknya, permintaan daripada pembeli luar negara terhadap filem ini sudah ada walaupun ia belum siap.

“Ketika bertemu dengan pembeli luar negara dan menyaksikan serba sedikit trailer filem ini, ada yang berpandangan filem baru KRU kali ini menggunakan bajet besar hingga mencecah RM40 juta. Menariknya, filem ini juga menggunakan khidmat pelakon yang bekerja dengan pelakon popular Hong Kong, Jackie Chan dan menampilkan kostum ditempah khas termasuk senjata seperti pedang yang diimport dari luar negara,” katanya.

Katanya, plot filem ini berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa yang mengisahkan putera raja dari Rome yang dijodohkan dengan puteri Raja China. Bagaimanapun, untuk menjadi filem ini lebih realistik, beberapa perubahan pada plot dan watak dilakukan.

“Mengikut cerita asal, ia mungkin tidak masuk akal seperti burung garuda yang membawa puteri raja dan diletakkan dalam kotak. Dalam filem, plot perlu diterjemahkan mengikut interpretasi yang memudahkan penonton faham.

“Filem ini mungkin bawa keistimewaan tersendiri berbanding filem antarabangsa lain. Sebelum ini, penonton pernah menyaksikan filem berlatar belakang Rome atau China, tetapi filem KRU ini pula menggabungkan kedua-dua elemen itu menjadi satu.

“Sebelum penggambaran, kajian juga dijalankan sejak setahun lalu hinggakan 16 draf skrip baru filem ini menjalankan penggambaran. Saya tidak mahu terlalu awal membuat jangkaan pada filem ini.

“Sebagai pengarah, saya berasakan kita harus mencuba dan berani ambil risiko untuk menghasilkan filem epik sebegini. Mungkin ada segelintir yang kutuk, tetapi ada juga yang menyokong.

“Bagi saya, jika ada produser lain yang buat filem epik, saya juga menyokong. Secara peribadi, mengarah memberi kepuasan berbeza kepada saya berbanding berlakon.

“Pelakon kurang tekanan, tetapi pengarah dan produser perlu memikirkan segala aspek dari mula hingga akhir. Dalam berkarya, saya mensasarkan empat filem baru KRU dapat ditayangkan dalam tempoh setahun.

“Selain menantikan tayangan Magika tahun depan, jika tiada halangan saya akan mengarah filem baru lain pada Februari,” katanya.

PROFIL
NAMA: Yusry Abdul Halim
TARIKH LAHIR: 15 Jun 1973
USIA: 36 Tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KARIER: Penyanyi, pelakon dan pengarah.
FILEM ARAHAN: Cicak-Man, Cicak-Man 2: Planet Hitam dan Merong Mahawangsa.
LAKONAN: Awas (1995), Cinta Metropolitan (1996), Gerak Khas The Movie 2 dan Mr Cinderella (2002), Cinta Kolestrol dan Mr Cinderella 2 (2003), Kuliah Cinta dan Hingga Hujung Nyawa (2004), Lady Boss (2005), Cicakman (2006), Cicakman 2: Planet Hitam (2008) dan Rasukan Ablasa (2009).
ALBUM: Canggih (1992), Rekrued (1993), Awas (1994), Awas Da Soundtrack (1995), Oh La La dan Krumania (1997), The Way We Jam (1998), Formula Luar Biasa (1999), Tyco (2000), Empayar Krujaan (2002), Yusry (2003), Krunisme (2005) dan Di Skala Richter (2006).

Written by Langit Biru

Disember 17, 2009 pada 9:25 am

Dikirim dalam Berita

Tagged with

Satu Respons

Subscribe to comments with RSS.

  1. hi.. good info. have a nice day! : )

    Phy

    Februari 9, 2010 at 2:57 pm


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: