Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Han Ji Hye: Abadi jiwa dan raga

with one comment

BAGI penggemar drama Korea, sudah tentu nama aktres cantik, Han Ji-hye bukan asing lagi.

Malah, penampilannya menerusi drama bersiri East of Eden yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis di RTM 2, jam 12.30 tengah hari menerusi slot Mid Day Delight, menarik perhatian ramai.

Memegang watak utama sebagai Kim Ji-hyun, gandingan mantap kali kedua Ji-hye bersama aktor Song Seung Hun selepas drama Summer Scent (2003), memikat hati penonton.

Justeru, tidak hairanlah apabila lakonannya dalam East of Eden berjaya merangkul anugerah Pelakon Wanita Cemerlang, sekali gus membuktikan andaian penulis skrip, Na Yeon Sook, yang aktres jelita itu sememangnya berupaya menjiwai watak dengan baik.

Apatah lagi, watak Ji-hyun memerlukan permainan emosi yang sangat kuat kerana terperangkap dalam percintaan tiga lelaki, kesengsaraan dan komplikasi. Atas faktor itu, Yeon Sook merasakan hanya Ji-hye mampu membawa watak Ji-hyun selepas menonton lakonannya dalam drama terbitan KBS, Likeable or Not. Bagaimanapun, itu bukanlah pertama kali aktres kelahiran Gwangju, Jeolla Selatan, Korea Selatan ini memenangi anugerah.

Melihat pada jalur seninya yang bermula sejak 2001, pembabitan Ji-hye, 25, dalam industri hiburan tempatan juga mengalami nasib sama seperti orang lain. Mengambil masa untuk dikenali, kehadiran Ji-hye hanya disedari pada 2003 apabila dia diberi kesempatan menjayakan Great Luck Family, Scent of a Man, Summer Scent, Man and Woman dan The Bean Chaff of My Life. Biarpun ada pertikaian mengatakannya mengguna kelebihan wajah dan potongan badan yang dimiliki ketika mengorak langkah sebagai insan seni, kata Ji-hye, tanpa bakat ia juga tidak akan ke mana.

Berpegang pada prinsip itu, dia membuktikan lakonannya mampu menjiwai watak apabila diberi beberapa penghargaan seperti Anugerah Aktres Baru Terbaik dan Anugerah Pelakon Wanita Cemerlang Drama Harian. “Orang selalu menganggap saya mendapat sesuatu tawaran berlakon kerana aset dimiliki, tetapi sebenarnya tidak. Lagipun, bukan saya seorang saja yang mempunyai potongan badan dan wajah menarik dalam industri ini, kerana ramai lagi.

Tanpa bakat, populariti hanya gah di awal kemunculan, kemudian langsung tidak dengar khabar berita. “Pemberian anugerah bukan dinilai kerana faktor kecantikan, tetapi pencapaian karier seni dan itu yang menjadi asas utama. “Bagaimanapun, saya tidak kisah kerana itu semua cakap-cakap orang yang tidak perlu diambil perhatian,” katanya. Melihat pada apa yang dimilikinya ketika ini, sepatutnya Ji-hye sudah boleh berpuas hati dengan pencapaiannya, tetapi rupanya tidak.

Menganggap banyak lagi perkara perlu dipelajari dan diterokai, kata Ji-hye, pengalaman bukanlah penanda utama untuk seseorang artis itu berhenti dari mengamalkan sikap suka belajar. “Saya selalu menyamakan proses dunia lakonan seperti mereka yang baru belajar menyelam. Tak kiralah setakut mana pun, kita mesti terjun ke dalam air sekiranya ingin menguasai kemahiran itu. “Begitu juga lakonan kerana setiap watak diberi berlainan setiap drama dan filem.

Mungkin, jalan ceritanya seakan sama dengan watak dibawa sebelum ini, tetapi kalau kita tidak belajar dan masih statik dengan kualiti lakonan sebegitu, penonton akan rasa bosan. “Ketika menjayakan drama siri Sweet 18, saya gagal memberikan terbaik, tetapi semuanya terbalas apabila berlakon filem My Boyfriend is Type-B. Kemudian kualiti lakonan semakin diperbaharui apabila berlakon Likeable or Not dan watak paling sukar, Ji-hyun menerusi East of Eden.

“Makin mencabar apabila saya terbabit penggambaran filem Like The Moon Escaping from Clouds, arahan Lee Jun-ik. Memegang watak Baek-ji, ia sangat berlainan berbanding watak yang pernah dibawa sebelum ini. Kalau dulu lebih arah percintaan, tetapi Like the Moon Escaping form Clouds mengisahkan bagaimana Baek-ji, berhadapan keadaan sukar di mana dia hampir dirogol. “Selepas itu, dia bertukar serius, tiada langsung babak ketawa, malah watak ini lebih sukar dari Ji-hyun.

Ketika awal penggambaran, saya mengalami kesukaran menjiwai watak itu sama ada dari sudut emosi mahupun fizikal. Tetapi, saya tidak mahu putus asa mencuba cabaran baru ini kerana sebagai artis kita perlu membuat satu penanda aras di mana pencapaian kita. “Kalau kita selalu menerima tawaran berlakon yang semua wataknya hampir sama, kita tidak akan jadi pelakon terbaik. Kepelbagaian watak, berupaya membantu kita memperbaiki mutu lakonan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dikenali sebagai pelakon dan model, kini Ji-hye mula berjinak-jinak dalam dunia nyanyian. Tampil dengan lagu single berjudul Luv Luv, dia sebelum ini pernah menyumbang suaranya dalam filem, Humming. Selepas itu, bakatnya diakui dan ditawarkan berduet bersama William Hung menyanyikan lagu Friends pada 2008. “Sebenarnya, sejak dari kecil saya ingin menjadi penyanyi kerana begitu minat menari dan mendengar muzik. Hingga satu saat, terlintas di fikiran yang saya sepatutnya menjadi penyanyi dan bukan pelakon.

Bagaimanapun, rezeki saya lebih terserlah sebagai pelakon. “Selepas beberapa lama mencipta nama, saya rasa sudah tiba masanya merealisasikan cita sejak dari kecil apatah lagi sumber kewangan sudah stabil. Malah, saya tidak pernah menyesal kerana lambat menceburi bidang nyanyian,” katanya.

PROFIL
NAMA SEBENAR
: Lee Ji Hye
NAMA KOMERSIAL: Han Ji-hye
TARIKH LAHIR: 29 Jun 1984
UMUR: 25
TEMPAT LAHIR: Gwangju, Jeolla Selatan, Korea Selatan
BINTANG: Cancer
TINGGI: 170cm
BERAT: 47kg
PROFESION: Pelakon, model dan penyanyi
FILEM: Humming/He Meets the Love, My Boyfriend is Type-B, Love Me Once Again dan Singles
DRAMA: East of Eden, I Hate You, But It’s Fine, Cloud Stairs,The Secret Lovers, Banjun Drama, Island Village Teacher, Sweet 18, The Bean Chaff of My Life, Man and Woman/ One More Step Than Love, Summer Scent, Scent of a Man, Great Luck Family
PENGHARGAAN: Anugerah Bintang Model Wanita (Asia Model Festival Awards), Anugerah Pelakon Wanita Cemerlang (MBC Drama Awards), Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Drama Harian (KBS Drama Awards), Anugerah Aktres Pendatang baru (Baeksang Arts) dan Anugerah Aktres Baru Terbaik (KBS Drama Awards)

Susunan Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

Written by Langit Biru

Disember 24, 2009 pada 6:42 pm

Dikirim dalam Berita

Tagged with

Satu Respons

Subscribe to comments with RSS.

  1. you are pretty

    min"s

    Mac 15, 2010 at 4:04 pm


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: