Langit Biru

Semua orang sudah tahu

[14.01.10] Yuna : Bukan lagi penyanyi bebas dari Subang

with one comment

Setahun lalu, dia adalah gadis biasa yang meminati bidang muzik. Sambil belajar dia mencipta lagu-lagu untuk simpanannya. Namun, lagu Dan Sebenarnya telah melonjakkan Yuna di persada muzik tanah air. Hari ini dia bukan lagi penyanyi bebas dari Subang Jaya, tetapi Ratu Indie yang dikagumi jutaan peminat seni.

“TAHUN lepas saya tengok AJL (Anugerah Juara Lagu 23) di rumah dengan kawan sambil makan kerepek kentang. Tidak sangka tahun ini saya pula yang beraksi di atas pentas.”

Demikian kata pucuk muda yang menggalas status sebagai komposer dan penyanyi berbakat besar, Yunalis Zarai sambil bibirnya tidak lekang menguntumkan senyuman manis dalam temu bual malam Ahad lalu.

Apa tidaknya AJL 24 yang menguak lembaran awal direktori gelanggang seni 2010 di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam Ahad lalu, ternyata memperlihatkan atmosfera berbeza kepada penyanyi yang mesra dengan panggilan Yuna.

Tidak seperti tahun lalu, gadis berusia 23 tahun itu tidak lagi duduk di depan skrin televisyen sebagai audien seperti jutaan manusia lain. Yuna sebaliknya berdiri megah di atas pentas AJL 24 sebagai peserta bersaing dengan 12 penggiat seni lain.

Lebih mengujakan lagi tuah lekas benar menyebelahi Yuna apabila namanya seraya diumumkan sebagai Naib Juara AJL 24 dengan menyampaikan lagu hasil nukilannya sendiri berjudul Dan Sebenarnya.

“Ingatkan dapat masuk ke peringkat akhir sudah memadai, ini saya diumumkan pula sebagai pemenang tempat kedua. Ia ibarat bonus yang tidak pernah disangka-sangka,” jelasnya dalam keadaan masih terpinga-pinga ketika ditemui usai acara berkenaan.

Muncul dalam AJL 24 dengan pakej penuh rasa dan berada di tengah kuasa lelaki tidak wujud istilah Yuna terhimpit dengan tekanan. Kelibatnya ditemani pemuzik pengiring sendiri di pentas gah itu kerana mahu mempertaruhkan lagu ciptaannya sambil menghiburkan peminat.

Paling pasti, Yuna telah menzahirkan muzik yang mencetus revolusi baru dalam industri muzik tempatan. Maka tidak syak lagi, dengan pengiktirafan demi pengiktirafan yang diterimanya, dia ialah ratu indie negara.

DULU Yuna adalah penyanyi bebas dari Subang tetapi kini dia ialah penyanyi yang mempunyai jutaan peminat.

Menyorot kembali karya indah Dan Sebenarnya, Yuna mengakui lagu itu dihasilkan secara suka-suka. Tiada sekelumit perasaan untuk mengangkat lagu itu pada tahap tertinggi pada awalnya.

Bahkan, tidak pernah terlintas di fikiran lagu tersebut menjadi siulan ramai dan dinyanyikan oleh pemujanya. Siapa sangka, lagu itu akhirnya menjadi naskhah yang dipandang tinggi pada hujung hari.

“Lagu ini dicipta sekadar main-main dan saya tidak serius langsung sewaktu menghasilkannya. Ia dibuat ketika saya rasa tertekan mengulang kaji pelajaran untuk menempuhi peperiksaan akhir di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

“Lantaran itu, saya ambil masa berehat sekejap dan pergi ke balkoni untuk menenangkan diri. Kebetulan, kawan serumah saya baru saja putus cinta. Saya dan kawan lain sengaja kacau teman yang sedang kecewa itu.

“Selepas itu, saya cuba siapkan lagu Dan Sebenarnya sekali gus direkodkan dengan mendapat bantuan para pemuzik tetap yang selama ini mengiringi persembahan gig saya di seluruh negara.

“Tidak pernah terlintas di fikiran lagu ini segera mendapat tempat di hati peminat. Alhamdulillah, penerimaan lagu ini berlaku begitu pantas iaitu kurang dari tempoh setahun,” ungkap anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu dalam nada bersungguh-sungguh.

YUNA bersama ahli grup yang sentiasa mengiringi persembahannya tidak menyangka akan berjaya menggondol tempat kedua di pentas AJL 24.

Bermula sejak usia 6 tahun

Kedatangan Yuna mewarnai kanvas muzik indie kira-kira tiga tahun lalu tidak dinafikan mencipta gelombang baru. Bagi peminat yang hidup dalam komuniti anak-anak band di Malaysia, pasti ada antara mereka yang mengenali Yuna terlebih dahulu.

Ramai anak muda yang menterjemahkan penyanyi bertudung itu sebagai unik. Apa tidaknya, dia boleh menyanyi sambil memetik gitarnya dengan gaya selamba dan punya grup sendiri.

Minat Yuna terhadap bidang nyanyian mula menjentik diri sejak berusia enam tahun. Dia yang dimasukkan ke kelas piano kemudiannya berhenti kerana tidak berminat dalam pembelajaran tersebut.

“Saya pernah masuk pertandingan nyanyian masa kecil dulu. Tapi bila sudah besar sedikit, saya jadi seorang yang pemalu sampailah waktu saya diterima masuk ke UiTM untuk meneruskan pengajian.

“Pada waktu sama, saya mula belajar bermain gitar tanpa mengikuti kelas instrumen bertali ini. Tidak lama kemudian, pada umur 19 tahun saya mula menulis lagu. Sehingga sekarang saya ada lebih 30 buah lagu dalam simpanan sejak tiga tahun lalu.

“Apabila dapat peluang untuk jadi penyanyi maka saya tidak lepaskan begitu saja. Lagipun muzik sudah menjadi sebahagian perkara penting dalam hidup keluarga saya,” jelas Yuna yang dibesarkan dengan muzik daripada Deep Purple dan Led Zeppelin.

Terima transisi baru Yuna

Biarpun sebelum ini Yuna tidak berkeyakinan untuk memijakkan kaki ke lantai muzik arus perdana, AJL 24 nampaknya mengubah segala kegusaran dialami oleh penyanyi yang gemar mendendangkan lagu bertemakan cinta dan kehidupan.

“Ia berubah dalam sekelip mata dan kini saya bukan lagi pemuzik, penyanyi bebas dari Subang Jaya, Selangor. Saya punya kumpulan pengiring sendiri selepas berada di pentas AJL 24.

“Bukan saya sombong atau tidak mahu menyertai muzik arus perdana sebelum ini. Sebaliknya saya tidak yakin kepada diri sendiri ditambah rasa bimbang kalau khalayak tidak boleh menerima diri seadanya.

“Selepas berjaya di AJL 24, saya mula ada keberanian untuk mara setapak lagi ke depan sekali gus meningkatkan tahap keyakinan diri. Saya kena buat lebih bagus kerana peminat sekarang semakin bijak membuat penilaian.

“Ia bukan bermakna saya tidak berusaha keras sebelum ini. Cuma saya bercita-cita untuk terus membuat pelaburan, eksperimen dan melakukan pembaharuan terhadap karya yang dibikin selepas ini,” jawab Yuna sambil melakar senyuman manis.

Ketika dijolok dengan gelaran barunya sebagai ratu indie setelah meraih tempat kedua di AJL 24, Yuna bagaimanapun mempamerkan riak kurang selesa dengan penghargaan tinggi melangit itu.

“Perjalanan seni saya masih jauh untuk ditempuhi. Malah tempoh waktu saya melibatkan diri dalam arena muzik bebas sangat singkat. Lainlah kalau kumpulan Hujan sebab mereka sudah lama terlibat dalam dunia ini.

“Belum layak saya diangkat sebagai ratu indie sedangkan ramai lagi penyanyi wanita bergerak sendiri seperti Ana Raffali, Liyana Fizi dan Wani Ardy yang memiliki keistimewaan serta kehebatan masing-masing,” terang Yuna serius.

Menjadi artis yang berpelajaran sambil mendakap erat populariti tersendiri juga membuatkan Yuna mudah sahaja menjadi idola ramai terutama anak-anak muda.

YUNA hanya mengambil masa setahun untuk menjadi bualan peminat.

Bagi sesiapa yang tidak biasa dengan persembahan-persembahan gig, Yuna sebenarnya berjaya menarik lebih ramai peminat dengan imej bertudung untuk melihat persembahannya. Bahkan pengikutnya tidak segan-silu menyanyi bersama mengikut alunan melodi dengan artis kesayangan mereka.

Suka diingatkan, lagu Dan Sebenarnya bukan satu-satunya lagu berhantu Yuna. Banyak lagi karya terbaik penyanyi itu yang sering membasahi bibir peminat seperti Rocket, Deeper Conversation, Backpacking Around Europe, After Midnight, Missing Star, Blue Sands dan Cinta Sempurna.

Berbalik soal Yuna menjadi ikutan ramai, anak tunggal tersebut sedikitpun tidak kisah jika itu yang dimahukan oleh pengikutnya.

“Saya tetap menjadi diri sendiri tanpa hidup berpura-pura selama ini. Walaupun saya ada kelulusan dalam bidang undang-undang dan boleh menyanyi, menulis lirik, bermain gitar serta tampil dengan imej bertudung, hakikatnya saya tetap manusia biasa.

“Ada juga kelemahan di sana sini sama macam orang lain. Peminat tidak boleh lihat saya sebagai Miss Perfect setiap masa. Saya lebih pentingkan muzik daripada segala-galanya selepas bergelar sebagai artis. Ia sudah memadai kepada diri.

“Menjadi idola ramai merupakan satu tanggungjawab yang sungguh berat untuk dipikul. Terus-terang, tiada apa yang saya mahukan melainkan orang di luar sana dapat terima saya apa adanya,” akhiri Yuna dalam nada merendah diri.

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

Written by Langit Biru

Januari 15, 2010 pada 12:36 pm

Dikirim dalam Berita

Tagged with

Satu Respons

Subscribe to comments with RSS.

  1. lagu yuna best sebab lagunya dekat dihati masyarakat..melodi n lirik yang seiring..syabas…

    mimi

    Januari 16, 2010 at 7:42 pm


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: