Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Faizal mahu bebas tongkat

leave a comment »

PENYAKIT trombosis pembuluh darah (DVT) yang menyerang Faizal Tahir sememangnya menguji kesabarannya. Ditambah pula dengan kesukarannya untuk berjalan sehingga memerlukan tongkat, benar-benar mencabar mental dan fizikal penghibur ini.

FAIZAL melahirkan rasa bertuahnya apabila dapat berganding bahu serta berkolaborasi dengan Siti Nurhaliza dan Aizat untuk Konsert Satu Suara.

Bagi mereka yang mungkin kurang faham tentang penyakit ini, ia merupakan keadaan berlakunya pembekuan darah dalam saluran darah. Antara faktor penyebab DVT ialah luka di dalam saluran darah akibat kemalangan jalan raya dan pembedahan ortopedik terutamanya pembedahan tulang, lutut serta pembedahan besar di bahagian perut.

Memang kesakitan yang ditanggungnya membataskan aktiviti seninya dan dia dinasihatkan berehat sekurang-kurangnya sehingga enam bulan untuk kembali pulih seperti sedia kala. Tetapi, kerana minat dan cintanya terhadap seni yang tidak pernah pudar membuatkan Faizal tekad meneruskan kerjayanya sebagai seorang penghibur.

Kegusaran dan kebimbangan memang tidak dapat dielakkan tetapi perjuangannya harus diteruskan dan dia tidak berupaya untuk menoleh ke belakang lagi. Lebih-lebih lagi mengenangkan Konsert Satu Suara yang akan dijayakannya bersama Aizat selama tiga malam berturut-turut bermula 12 Februari ini, Faizal berikrar menjayakan komitmen itu.

“Saya cukup bimbang dengan kesihatan saya sekarang. Takut jika tidak dapat beraksi dengan baik untuk tiga malam pada konsert itu nanti. “Apa yang saya harus lakukan sekarang adalah untuk menjaga kesihatan sebaik mungkin agar saya dapat membuat persembahan yang termampu untuk konsert itu nanti,” katanya tenang ketika ditemui sejurus selepas sidang media Konsert Satu Suara di Istana Budaya (IB) baru-baru ini.

Konsert Satu Suara akan berlangsung di Panggung Sari, IB selama tiga malam bermula 12 Februari ini. Selain Aizat, konsert terbitan Siti Nurhaliza Productions (SNP) itu juga akan menampilkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang akan menyanyi bersama kedua-dua penyanyi itu menerusi satu segmen khas.

Sebetulnya, Faizal mengakui, doktor sudah berbuih mulut menasihatkannya supaya berehat daripada sebarang aktiviti yang melibatkan pergerakan. Ini kerana katanya, jika kesihatannya tidak dijaga dengan baik dan tidak mendapat rawatan yang betul, ia boleh membawa maut.

Lebih menggerunkan statistik mendapati DVT merupakan penyakit pembunuh kedua selepas penyakit jantung di negara ini. “Buat masa ini, saya hanya bergantung kepada ubat penahan sakit untuk mengurangkan kesakitan.

“Saya juga perlu berhati-hati dalam setiap pergerakan agar penyakit ini tidak serius. “Apa pun, saya akan cuba membahagikan masa sebaik mungkin untuk berehat dan bekerja kerana impian saya hanya satu iaitu mahu bebas tongkat pada konsert itu nanti,” ujar pelantun Sampai Syurga dan Mahakarya Cinta ini lagi.

Faizal yang dikenali merupakan seorang penyanyi yang tidak pernah gagal memberikan persembahan yang sungguh bertenaga. Namun, dengan penderitaan ini, apakah persembahan Faizal kelak akan mengecewakan peminat yang sering mendamba sesuatu yang istimewa daripadanya?

Menjawab persoalan itu, Faizal tidak mampu menyembunyikan kekecewaan kerana tidak berupaya memberikan persembahan yang spektakular seperti kebiasaannya. Tetapi, dia akan cuba sebaik mungkin untuk menghiburkan audiens sementelah peluang untuk beraksi dalam sebuah konsert sudah lama diidamkannya.

Biarpun perlu berkongsi pentas dengan Aizat, Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohd. Tahir menganggap peluang itu sebagai rezeki. Melihat Konsert Satu Suara sebagai medan untuk menonjolkan bakatnya kepada khalayak, dia berterima kasih kepada Siti Nurhaliza yang mempercayai bakatnya.

“Sebagai artis baru, bukan mudah untuk mendapat peluang seperti ini dan dalam banyak-banyak artis baru di negara ini, saya dan Aizat yang terpilih. “Saya sangat teruja kerana ini kali pertama saya berpeluang mengadakan persembahan yang diiringi oleh band dan orkestra,” jelasnya berkali-kali berikrar akan memberikan persembahan yang mampu memuaskan hati peminatnya.

Konsert Satu Suara yang akan dipimpin oleh Sze Wan selaku pengarah muzik menggabungkan tujuh pemuzik profesional serta 20 orang pemain strings dari Orkestra Simfoni Kebangsaan. Namun, sebagai seorang penghibur, dalam keadaan sekarang, Faizal mengakui, dia tidak dapat memiliki kepuasan maksimum sewaktu mengadakan persembahan.

Memberi contoh ketika beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24) menerusi lagu Bencinta baru-baru ini, biarpun mendapat pujian, tetapi bagi bapa kepada tiga orang anak ini berpendapat, dia boleh melakukan lebih baik daripada itu seandainya diberikan kudrat yang lebih. Bukan hanya terbatas pada persembahan penetas sahaja, naib juara One In A Million musim pertama ini turut memberitahu, proses rakaman album keduanya juga terjejas ekoran keadaan kesihatannya itu.

Mengikut rancangan awal, Faizal sepatutnya melancarkan albumnya itu selewat-lewatnya sebelum penghujung Disember lalu yang memuatkan 10 buah lagu. Memandangkan hanya tujuh lagu sahaja yang sempat dirakamkan, maka syarikat rakamannya, Monkey Bone memutuskan untuk memasarkan album yang diberi judul Adrenalin itu secara digital terlebih dahulu.

Peminat dan pengagum muzik Faizal dapat berbuat demikian dengan memuat turun di laman web http://www.musicunlimited.com.my dan music.digi.com.my. Biarpun hanya tujuh buah lagu, Faizal menyatakan rasa syukur dan gembira apabila Adrenalin sempat dicalonkan untuk Anugerah Industri Muzik Ke-17.

Adrenalin memuatkan lagu-lagu seperti Bencinta, Selamat Malam, Karma, Superhero, Adrenalin dan lagu Hanyut yang dihasilkan dalam dua versi yang berbeza. “Memang kalau boleh, saya mahu album kedua saya ini memuatkan sekurang-kurangnya 10 buah lagu kerana saya tidak mahu menipu peminat.

“Mereka menunggu dua tahun untuk album ini dan saya mahu memberikan yang terbaik buat mereka serta memberikan kepuasan buat mereka yang sudah lama menantikan buah tangan terbaru saya. “Insya-Allah, selepas ini, saya akan kembali ke studio rakaman untuk merakamkan lebihan tiga buah lagu sebelum album itu dipasarkan selewat-lewatnya sebelum penghujung Februari ini,” ujar penyandang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-15 ini penuh bersungguh.

Pada masa yang sama, Faizal menjelaskan, dia mengambil risiko yang cukup tinggi untuk menerbitkan album ini bersama Audi Mok kerana muzik yang ditampilkan kali ini cukup berbeza. “Sebagai pengkarya, saya harus fikir jauh ke hadapan untuk mengetengahkan nuansa muzik yang baru.

“Saya tidak boleh mengulangi apa yang telah saya lakukan kerana saya perlu mengikut peredaran zaman dan menjadikan muzik saya relevan dengan kehendak semasa,” katanya yang baru sahaja memenangi tempat ketiga untuk lagu Bencinta pada AJL24 yang lalu. Tiket-tiket untuk menyaksikan Konsert Satu Suara kini sudah mula dijual dan peminat mempunyai dua opsyen sama ada mahu menontonnya pada malam gala atau hari biasa.

12 Februari telah dipilih sebagai Malam Gala Satu Suara, Sepenuh Hati yang merupakan kerjasama antara SNP dan Yayasan AEON Malaysia. Untuk itu, bayaran tiket khusus pada malam gala itu nanti akan berbeza dengan harga tiket normal untuk persembahan pada 13 dan 14 Februari iaitu RM108, RM161, RM241, RM335 dan RM402.

Lima peratus daripada setiap hasil penjualan tiket akan disalurkan kepada tabung yayasan tersebut manakala bagi pemegang J Card pula, mereka berpeluang menikmati potongan diskaun sebanyak lima peratus apabila membeli tiket dengan J Card mereka. Bagi mereka yang mahu menyaksikan Konsert Satu Suara pada 13 dan 14 Februari pula, tiket-tiket yang berharga RM80, RM120, RM180, RM250 dan RM350 sudah pun mula dijual.

Kesemua tiket-tiket boleh dibeli di kaunter box-office Istana Budaya, Jusco Bukit Tinggi, Jusco 1 Utama, Jusco Taman Maluri dan Jusco Alpha Angle. Tempahan dan pembelian tiket juga boleh dilakukan dengan melayari laman web, http://www.ticket2u.com.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL (27 Januari 2010)
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH, NOOR ASREKUZAIREY SALIM dan ihsan SITI NURHALIZA PRODUCTIONS

Written by Langit Biru

Januari 27, 2010 pada 6:40 pm

Dikirim dalam Berita

Tagged with , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: