Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Faizal terkena, Yuna terkilan

leave a comment »

Dua artis yang sedang melakar nama mengaku mereka kini diuji pelbagai unsur khianat akibat kerja orang dengki

PENCAPAIAN seni suara dua artis sensasi, Faizal Tahir dan Yuna sepanjang 2009 dianggap paling cemerlang apabila kedua-duanya melakar kemenangan pada Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) baru-baru ini, sekali gus menjadi pilihan peminat memastikan nama kedua-dua artis kesayangan mereka berada dalam senarai pencalonan akhir atau Top 5 pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009.

Bagi Faizal, ABPBH 2009 adalah penyertaan kali ketiganya menerusi anugerah yang memilih tema Puncak Kegemilangan ini menerusi kategori Penyanyi Lelaki Popular, manakala yang pertama buat Yuna, namun dia adalah calon Top 5 untuk dua kategori iaitu Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular. Siapa pula yang bakal dinobatkan sebagai pemenang mahupun ditabal Bintang Paling Popular, akan diumumkan 4 April ini.

Pun begitu, baik Faizal mahupun Yuna, usaha menempa nama berada di kemuncak populariti dan sentiasa dekat di hati peminat, kedua-duanya tidak terlepas daripada pelbagai dugaan dan cabaran yang kadang kala menuntut kesabaran serta pengorbanan yang bukan kepalang. Setiap langkah menjadi perhatian ramai, tersilap percaturan, mereka dikritik dan dilabel pelbagai perspektif negatif. Dengki khianat pula ibarat satu permainan.

Faizal yang kini muncul dengan single terbarunya ciptaan Audi Mok, Selamat Malam dikatakan menjadi mangsa hasad dengki orang sekeliling gara-gara keadaan kesihatannya yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini. Malah lebih parah daripada itu Faizal didakwa kononnya terkena buatan orang, disihir atau disantau oleh mereka yang dengki dengan pencapaian diraihnya dalam sekelip mata, sekali gus nama menjadi pujaan ramai.

Batuk sehingga keluar darah beku pada penghujung tahun lalu beberapa hari sebelum berlangsungnya peringkat separuh akhir AJL24 memaksa Faizal menarik dari daripada pertandingan. Ini menguatkan lagi andaian orang ramai, dia sudah terkena. Kecederaan belum pulih pada lutut selepas menjalani pembedahan ligamen yang terkoyak ketika bermain futsal, memaksa Faizal bertongkat pada suatu ketika, sekali gus menambah kesengsaraan dirinya.

“Alhamdulillah, Tuhan masih sayangkan saya. Sekiranya darah beku atau deep vein thrombosis – DVT yang terkumpul di bahagian pinggang naik sampai ke jantung, saya sudah mati… Ketika terlantar hampir dua minggu di hospital kerana jangkitan paru-paru, kaki saya tidak bergerak langsung, jauh sekali melakukan fisioterapi, justeru terbentuk darah beku di bahagian kaki. Memang kesilapan saya, kini keadaan semakin pulih.

“Saya dimaklumkan oleh doktor, untuk pulih 100 peratus, ia mengambil masa kira-kira lima atau enam bulan lagi. Kini, dada saya masih sakit. Justeru, saya masih meneruskan rawatan doktor,” katanya lagi.

Pun begitu, ramai yang mencadangkan kepada Faizal supaya dia menjalani rawatan tradisional, termasuklah ibu bapanya, manalah tahu jika benar andaian orang dia disantau, cuma Faizal memaklumkan apabila dia beberapa kali mendengar penjelasan doktor secara saintifik mengenai penyakitnya, dia belum bersedia mendapatkan pemulihan berdasarkan kaedah berkenaan.

“Melainkan apabila sudah bertemu doktor, makan ubat, namun penyakit saya semakin teruk, baru saya akan mencuba kaedah rawatan tradisional. Bagi saya, dengki khianat orang dalam industri hiburan ini bukan sesuatu yang baru.

“Sekalipun yakin saya tidak ‘terkena’, saya sentiasa berhati-hati dalam setiap langkah. Ibu mentua juga ada memberi beberapa ayat suci al-Quran untuk saya baca sebelum tidur sebagai pendinding, selain mengamalkan minum air yasin dan zam-zam,” katanya.

‘Peminat wanita hormati status saya

Pihak produksi AJL24 juga sudah memaklumkan kepada Faizal, ketika berlangsungnya acara berkenaan, ada seorang lelaki berkain pelikat cuba memboloskan diri memasuki stadium apabila memaklumkan perlu berjumpa dengan dirinya jika Faizal ingin hidup lama!

“Saya sangat keliru. Kenapa ada orang seperti itu ingin berjumpa dengan saya? Saya tak tahu apa niat sebenarnya. Justeru, saya tak mahu komen lebih-lebih kerana ia boleh menimbulkan pelbagai perspektif negatif,” katanya tanpa berselindung.

Selain diuji dengan penyakit, ada juga laporan akhbar, baru-baru ini, yang melabel dirinya playboy!

“Bagi saya, dakwaan berkenaan adalah kerja orang dengki. Saya keluar rumah hanya untuk bekerja, jiran terdekat pasti tahu pergerakan saya setiap hari. Jika bukan bersama Audi Mok, saya pasti bersama keluarga, tak ada ruang untuk berfoya-foya. Namun, saya tak nafikan, saya ada ramai peminat wanita, tapi mereka tak pernah lebih-lebih dengan saya kerana masih menghormati status diri saya sebagai suami,” kata Faizal.

Ketika ini fokus Faizal hanya kerjayanya dan menanti kemunculan album terbarunya, Adrenalin sekitar Mac ini, selain memberi tumpuan kepada Konsert Satu Suara pada 12 hingga 14 Februari ini di Istana Budaya (IB), gandingannya bersama Aizat dan Datuk Siti Nurhaliza, sekali gus menjadi konsert terbesarnya setakat ini.

Yuna terkilan tak dapat hadir

Sementara itu, Yuna tidak berpeluang bersama Top 5 ABPBH 2009 yang lain dan peminatnya di Genting Highlands pada 4 April ini kerana dia berada di Los Angeles (LA), California, apabila memenuhi jemputan pengurusan label negara berkenaan, Indie-Pop yang berminat memasarkan lagu Inggeris Yuna yang dikatakan mampu memenuhi cita rasa pendengar di sana.

Selain itu, Yuna juga akan menyertai Festival Music South by Southwest di Texas. Yuna dijangka berlepas ke LA pada awal Mac ini dan berada di sana selama kira-kira tiga bulan.

“Memang saya sangat kecewa tak dapat menyertai sebarang promosi ABPBH 2009 lebih-lebih lagi siri jelajahnya, selain merasai kegemilangan ABPBH 2009 pada malam kemuncak. Sebenarnya sejak tahun lalu saya sudah merancang menerima pelawaan Indie-Pop dan apabila senarai Top 5 ABPBH 2009 diumumkan baru-baru ini, saya sama sekali tak sangka, nama saya turut dicalonkan di peringkat akhir.

“Rasa terkilan sangat, saya berada di kelompok Top 5 hasil undian peminat, tapi saya pula tidak berpeluang bersama mereka. Mungkin tak ada rezeki. Pada kesempatan ini, saya ingin meminta maaf kepada peminat, terutama terhadap penganjur, Berita Harian kerana gagal memberikan komitmen.

“Namun, sebagai calon yang bertanding, pastinya saya mengimpikan kemenangan. Pun begitu, tersenarai di kalangan artis hebat seperti Datuk Siti (Nurhaliza) dan Tiz Zaqyah, bagi saya ia satu penghormatan dan umpama kemenangan peribadi. ABPBH 2009 adalah anugerah pilihan peminat, tiada juri profesional. Justeru, saya menyerahkan untung nasib saya 100 peratus di tangan mereka,” jelas Yuna.

Sedar kepentingan publisiti media

Seperti Faizal, Yuna juga tidak terlepas daripada kritikan negatif media massa. Sehingga hari ini, Yuna kononnya masih sukar memberikan kerjasama kepada pihak wartawan yang ingin membuat temu janji bersamanya. Setiap kali pihak pengurusan Yuna yang dikendalikan saudara sendiri, Wawa dihubungi, pelbagai alasan diberikan, sekali gus ‘liat’ memenuhi permintaan rakan wartawan yang ingin menemubual.

Terbaru, Yuna didakwa gagal memberikan kerjasama kepada sebuah rancangan hiburan terbitan stesen TV terkenal.

“Bagi saya, ini isu lama dan sepatutnya tidak lagi ditimbulkan. Saya sudah belajar daripada kesilapan lalu. Maklumlah saya masih baru dalam industri ini, justeru memang banyak kesilapan yang tidak disengajakan berlaku sebelum ini. Namun, saya bersama Wawa sentiasa peka mengenai kesilapan berkenaan dan hari demi hari kami berusaha memperbaiki kelemahan.

“Saya tak nafikan, memang berlaku salah faham antara Wawa dan wartawan stesen TV berkenaan. Namun, selepas beberapa kali membuat perancangan untuk ditemubual, akhirnya produksi berkenaan berpeluang mewawancara saya. Saya jemput mereka datang ke butik. Saya sedar, antara media massa dan artis, kami saling memerlukan antara satu sama lain. Saya tahu betapa pentingnya peranan wartawan dalam karier artis.

“Namun, saya kadang kala tidak mampu memenuhi setiap permintaan wartawan dalam jangka waktu yang mereka ingini. Namun, saya dan Wawa akan sedaya upaya untuk cuba tidak menghampakan permintaan mereka, tidak kira dari syarikat penerbitan kecil atau besar. Tapi, sekiranya berlaku salah faham, ia adalah di luar kawalan dan saya berjanji kesilapan sama tak akan berulang.

“Saya masih ingat, suatu ketika dulu saya pernah diselar kerana tidak menyapa wartawan. Saya masih baru dalam industri ini, ramai wartawan hiburan saya tak kenal ketika itu. Kini, insya-Allah kealpaan berkenaan tak mungkin berulang lagi. Lagipun saya seorang yang pendiam, bercakap hanya perlu saja, justeru mungkin ramai yang salah sangka apabila mendakwa saya ‘kekwat’, tapi saya reda…,” kata Yuna.

INFO: Faizal.

  • NAMA PENUH: Ahmad Faizal Mohd Tahir.
  • TARIKH LAHIR: 26 Oktober 1978.
  • PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
  • ALBUM: Aku.Muzik.Kamu dan Adrenalin (dijangka berada di pasaran sekitar Mac).
  • ANTARA PENCAPAIAN:
    – Naib juara One In A Million (OIAM) musim pertama (2006); Artis Baru Lelaki Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2008; Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki), Album Rock Terbaik dan Album; Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke -15 (AIM15) dan tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24).
  • PENGALAMAN SENI: Pengacara Gangstarz musim pertama (2007) dan pernah menganggotai kumpulan nasyid Mirwana.
  • ISTERI: Siti Raihanim Noran.
  • ANAK-ANAK: Ahmad Mikaeel Zidane, 5; Siti Raudhah Nur Iman, 4 dan Ahmad Rifa’e Zidane, setahun.
  • INFO: Yuna.

  • NAMA PENUH: Yunalis Zarai.
  • TARIKH LAHIR: 14 November 1986.
  • KELUARGA: Anak tunggal.
  • ASAL: Subang Jaya, Selangor.
  • PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
  • PENDIDIKAN SENI: Tahap 6, Piano Guild Hall School.
  • ALBUM (EP): Yuna mengandungi lagu popular seperti Dan Sebenarnya dan Cinta Sempurna.
  • PENCAPAIAN: Vima Independence Music Awards 2008 dan tempat kedua pada Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24).
  • Sumber : Oleh Zubir Mohd Yunus (B*Pop, 07 Februari 2010)

    Written by Langit Biru

    Februari 7, 2010 pada 7:55 pm

    Dikirim dalam Berita

    Tagged with ,

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: