Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Faizal, Aizat adu kuasa

leave a comment »

DUA nama sedang mengharum di laman seni, Faizal Tahir dan Aizat dianggap cukup bertuah. Apa tidaknya, selain sukses menonjolkan bakat dan mencetus gelombang, mereka juga dikagumi oleh figura nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Keterujaan wanita jelita berusia 31 tahun itu terhadap Faizal dan Aizat tidak sekadar terucap di bibir nipisnya.

Bayangkan, Siti sendiri meluahkan penghormatan kepada mereka dengan menjadi ‘tauke pentas’ untuk Konsert Satu Suara berlokasikan Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur yang akan bermula esok hingga 14 Februari ini.

Bukan calang-calang apabila Siti menyediakan platform kepada dua nama itu terlebih dahulu sedangkan dia punya artis-artis sendiri di bawah jenama Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. (SNP) iaitu Saida, Saerah dan Coda.

Dengan keputusan Siti menjadi orang belakang tabir Konsert Satu Suara barangkali menimbulkan perdebatan bahawa Faizal dan Aizat diumpamakan ‘anak emas’ lantas dibentangkan karpet merah oleh Siti untuk beraksi di Istana Budaya.

“Rasanya tak layak untuk jadi anak emas Siti sebab saya dan Aizat dah tua. Diharapkan pemilihan saya dan Aizat sebagai artis menjayakan Konsert Satu Suara tak dijadikan isu selepas ini.

“SNP hanya jalankan tanggungjawab untuk membuka peluang kepada muka-muka baru jayakan persembahan di Istana Budaya. Oleh itu, saya terima pelawaan Siti dengan hati terbuka,” kata Faizal semasa ditemui pada sidang media konsert tersebut di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Mahakarya Cinta itu menganggap peluang yang disuakan Siti tidak harus dipandang enteng atau terbiar begitu sahaja.

“Saya rasa bertuah kerana dalam situasi jualan album menurun ditambah konsert besar yang membabitkan penyanyi terkenal dibatalkan, tapi saya pula dapat menyanyi di pentas berprestij ini.

“Tawaran ini ibarat datang sekali seumur hidup kepada saya dan Aizat. Ini rezeki yang datang bergolek. Saya tak jangka langsung kerana dah lama idam konsert sendiri. Walau tak besar maka kecil sekalipun jadilah.

“Saya hargai impian Siti untuk bantu industri. Malah, diberikan kesempatan menyanyi di pentas sama dengan Aizat juga jadi penghormatan kepada saya,” terang Faizal yang bakal menyampaikan kira-kira 10 buah lagu secara solo selain berduet dengan Aizat dan Siti.

Menderita masalah trombosis pembuluh darah (DVT) sejak beberapa bulan lalu tidak dinafikan memperlihatkan kegusaran kepada jejaka berusia 30 tahun itu untuk melagukan karya-karyanya di depan khalayak kelak.

“Saya rasa bimbang dengan kesihatan sekarang. Takut jugalah kalau tak dapat beraksi dengan baik untuk tiga malam berturut-turut pada konsert ini. Sekarang saya boleh dikatakan dalam proses untuk pulih semula.

“Siapa saja tak kecewa dengan keadaan sekarang yang bertongkat ditambah teringin nak buat persembahan hebat, tapi saya akan lakukan yang terbaik untuk menghiburkan para penonton.

“Apa yang penting, kini saya kena jaga kesihatan sebaik-baik mungkin agar dapat sembuh seperti sediakala. Buat masa ini, saya hanya bergantung kepada ubat pelali untuk mengurangkan sakit,” jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Tidak tertahan debaran Aizat

Juara Anugerah Juara Lagu edisi 24 (AJL 24) baru-baru ini menerusi lagu Pergi, Aizat, 20, bagaimanapun menolak tanggapan dia dan Faizal menjadi anak emas Siti. Ia sebaliknya sekadar apresiasi Siti kepada budak yang baru melangkahan kaki dalam dunia seni.

“Kita sendiri maklum SNP ada artis-artis di bawah label mereka, tapi peluang terlebih dulu yang diberikan Siti dianggap begitu berharga demi meningkatkan karier muka-muka baru seperti kami.

“Saya tak tahu nak luahkan ucapan terima kasih kepada SNP yang percaya bakat saya. Selain itu, saya rasa bersyukur kerana dapat bekerja dengan dua individu, Siti dan Faizal yang jadi inspirasi selama ini.

“Awalnya saya masuk bidang seni sebab nak hasilkan muzik dan tonjolkan bakat nyanyian, tapi dapat penghargaan setinggi ini terutama daripada Siti membuatkan saya benar-benar tak sangka.

“Saya harap konsert ini dapat beri kesan kepada masyarakat, SNP, syarikat keluarga saya (Kasi Gegar Entertainment Sdn. Bhd.) manakala Faizal di bawah label pengurusan Monkey Bone Records,” ucap pemilik nama penuh Muhammad Aizat Amdan itu.

Mengulas tentang persediaan menghadapi konsert berskala besar, anak kelima daripada enam beradik itu mengaku ada perasaan berdebar untuk menghiburkan audiens.

“Mahu tak mahu, saya kena fokus dan bersedia secara fizikal serta mental. Kalau tak, bila lagi saya nak ada keyakinan untuk muncul dalam sebuah konsert gah seperti di Istana Budaya.

“Saya harap semua berjalan lancar pada tiga malam berturut-turut ini. Insya-Allah, dengan bantuan keluarga dan seluruh tenaga produksi Konsert Satu Suara, saya percaya ia mampu direalisasikan dengan jayanya,” jawab Aizat.

Konsert berlangsung selama dua jam setengah itu dikepalai oleh Jennifer Thompson dengan menggunakan tujuh orang musisi profesional. Ia dipimpin oleh pengarah muzik, Sze Wan sambil diiringi 20 pemain muzik Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Tiket Konsert Satu Suara dijual sejak pertengahan Januari lalu dan boleh dibeli dengan harga RM80, RM120, RM180, RM250 dan RM300 di kaunter jualan Istana Budaya.

Sumber : Kosmo Online, 11.02.2010

Harap-harap nanti dibuat dalam bentuk DVD lah. Tak suka betul kalau gambar Kosmo edit ni. Tak pro langsung. Mesti guna ‘Photoscape’.

Written by Langit Biru

Februari 11, 2010 pada 10:29 pm

Dikirim dalam Berita

Tagged with , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: