Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Hilangnya band pop Malaysia!

with one comment

MASIH ingatkah anda kepada kumpulan 4U2C, KRU, Feminin, Res2, Nico, Elite, Kool, Freshies, A To Z dan M’steen? Kewujudan banyak band pop sekitar awal 90-an telah mengubah sedikit industri hiburan tempatan yang ketika itu dikuasai oleh legasi rock kapak.

Malah, mereka telah melakar sejarah tersendiri. Meskipun kebanyakan band pop itu telah berkubur kecuali KRU tetapi sehingga kini, kehadiran mereka tetap dirasai terutama generasi yang membesar bersama lagu-lagu mereka.

Lagu seperti Awas, Ooo..la..la (KRU), Fiona (4U2C) dan Untukmu (Feminin) masih lagi diputarkan di stesen-stesen radio. Ia sekali gus membuktikan lagu-lagu band pop masih mendapat tempat di hati peminat.

Meskipun begitu, kini band pop bukanlah satu pilihan di Malaysia. Mereka seperti sudah tidak revelan dengan situasi muzik tempatan sekarang. Sebaliknya band indie dan penyanyi solo menguasai padang dunia hiburan tempatan.

Tetapi jika kita meninjau perkembangan band pop di rantau Asia, terutama Taiwan, China, Jepun dan Korea, band pop merupakan satu aliran yang tidak pernah putus. Malah, populariti band pop mengalahkan semua penyanyi aliran lain sehingga diterima di peringkat antarabangsa. Antaranya termasuklah band pop wanita Wonder Girls yang hangat sampai ke Amerika Syarikat dengan lagu single Nobody.

Bagaimanapun kejayaan itu bukan datang dengan mudah. Kebanyakan band pop yang popular kini telah bekerja keras antara dua hingga tiga tahun sebelum mereka melahirkan album pertama.

KUMPULAN Nico yang dianggotai Nico, Affa dan Dino pernah menjadi kegilaan anak muda dulu.

Mereka bukan sahaja mempersiapkan diri dengan ilmu vokal dan tarian yang diselia di bawah label masing-masing sejak mereka masih bergelar seorang pelajar sekolah tinggi, sebaliknya mendalami segala ilmu yang berkaitan dalam bidang seni seperti lakonan.

Itu cerita mengenai band pop di luar negara. Persoalannya masih bolehkah band pop wujud di dalam industri seni tempatan dan apakah resepi yang perlu diletakkan dalam sesebuah band supaya muzik mereka diterima ramai terutama oleh peminat di Malaysia sendiri.

Menurut beberapa anak seni yang pernah menjadi ahli band pop, mereka mengakui untuk membentuk sebuah band yang baik bukan satu perkara yang mudah sebaliknya disulami dengan banyak pengorbanan.

Band pop bakal muncul kembali – Norman

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Berhad, Norman Abdul Halim menjangkakan trend band pop seperti era 90-an bakal muncul kembali tetapi dengan genre dan stail yang berbeza.

“Sekarang ini zaman band indie boleh dikatakan kesinambungan kepada band rock. Cuma genrenya berbeza tetapi ia tetap rock. Sebenarnya ini sebagai satu kitaran. Setiap trend ada pasang surutnya,” kata Norman.

Tambah abang sulung trio KRU yang turut dianggotai oleh Yusry dan Edry ini lagi, untuk menjadi sebuah band pop yang berjaya, imej dan perwatakan yang dibawa oleh setiap ahli harus berbeza. Selain itu, faktor didorong oleh usia setiap ahli, lagu yang bagus dan rancak merupakan tarikan utama.

“Muzik pop yang rancak disasarkan untuk golongan muda, jadi usia ahli band pun harus seiring dengan kumpulan sasaran. Biasanya ketika awal kemunculan mereka haruslah berusia 25 tahun ke bawah.

“Macam KRU, kami terdetik untuk mengenengahkan genre pop kerana ketika itu di Malaysia belum ada band seperti kami. Bermula berlatih tarian di bawah tempat letak kereta sehingga kami berjaya ada studio tarian kami sendiri. Oleh kerana formula yang diguna pakai, kami berjaya diterima oleh peminat,” tuturnya yang menjadi pelopor band pop pada tahun 90-an.

Bercakap mengenai perkembangan band pop di luar negara, tegas Norman, industri seni Malaysia masih belum mampu untuk melahirkan sebuah band pop yang benar-benar bagus seperti band band pop di negara lain kerana kekangan kewangan.

“Kita masih belum ke arah mewujudkan sebuah institusi seperti yang diamalkan oleh kebanyakan label di Korea dan Jepun. Mereka berjaya sehingga ke luar kerana mencari bakat ketika penyanyi tersebut masih di sekolah.

“Kemudian mereka diletakkan dalam latihan selama dua tahun. Maknanya, bila mereka keluar mereka sudah lengkap dan benar-benar bersedia dari segala segi.

“Kalau nak buat begitu di Malaysia, habislah label. Kos yang besar diperlukan untuk menanggung latihan bertahan-tahun itu. Masalahnya, belum tentu label akan berjaya mendapat semula pulangannya kerana pasaran di Malaysia tidak besar,” ucap Norman lagi.

Terdapat pantang larang yang harus dipatuhi, setiap band pop harus bergerak bersama ke mana sahaja dalam menghadiri setiap aktiviti seni.

“Penyanyi yang bergerak secara berkumpulan lagi sukar daripada penyanyi solo. Promoter berfikir banyak kali untuk membawa mereka buat persembahan di tempat yang jauh kerana kos yang tinggi.

“Masalah yang biasanya terjadi dalam band apabila hanya satu atau dua orang sahaja yang diberi perhatian. Jika kes seperti itu timbul, alamatnya tidak lamalah usia band tersebut,” terangnya lagi.

Tambah lelaki yang cukup masak dengan budaya dan perjalanan sesebuah band pop ini juga, perkara utama yang sering mendatangkan masalah buat band pop adalah masalah kewangan. Kata Norman, penyanyi berkumpulan perlu meraih pendapatan sekitar RM20,000 hingga RM30,000 sebulan, baru mereka boleh bernafas.

“Harus diingat jumlah ahli band biasanya ramai, kalau dapat RM10,000 sebulan tidak cukup untuk menyara kehidupan mereka. Ini kerana mereka harus melabur kembali wang tersebut bukan sahaja kos hidup tetapi juga kepada pakaian, latihan tarian di studio serta imej,” beritahunya lagi.

Popular tapi tak punya wang – AC Mizal

Persepsi yang sama turut dikongsi pengacara dan pelakon popular AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini yang pernah meniti zaman remajanya bersama band pop 4U2C.

4U2C telah mencetus fenomena tersendiri dalam aliran band pop dalam industri hiburan tempatan. Bagaimanapun mereka juga tidak kekal lama.

Dia yang bertindak selaku ketua dalam band yang dianggotai oleh tujuh orang ahli menjelaskan, masalah utama yang sering dihadapi oleh band-band pop adalah wang. Masalah wang itu kemudian sering membawa kepada perpecahan.

“Hakikat yang harus ditelan oleh band-band pop kita adalah kalau popular, tetapi tidak ada duit nak sara hidup sampai nak bayar sewa rumah dan duit kereta pun tidak ada, itu susah. Itu realiti yang kami pernah hadapi dulu. Popular tapi tak punya wang.

“Industri muzik kita bukan macam di barat, sekali buat album, dapat duit berjuta-juta. Cetak rompak lagi. Bila tidak ada duit, setiap ahli mula buat kerja lain untuk dapatkan duit. Bila sudah buat dua, tiga kerja serentak, konsentrasi terganggu dan akhirnya berpecah. Saya rasa kalau band itu buat duit, mereka tidak akan berpecah,” kata AC berkongsi masalah sebenar yang dihadapi band pop sehingga berpecah.

Malah AC juga yakin, dalam masa terdekat agak sukar untuk Malaysia mempunyai band pop yang mampu menembusi pasaran luar kerana pasaran di Malaysia kecil dan terhad.

“Saya rasa buat masa sekarang tidak mungkin band pop akan wujud dan boleh bersaing di peringkat antarabangsa. Kalau nak ke antarabangsa, mereka kena ada rekod di negara sendiri.

“Sekarang penjualan album jatuh dan peminat muzik masih belum buka mata mengenai hal itu. Apabila penjualan album diatasi baru orang tempatan mula perasan, diikuti oleh orang luar yang menyedari kita ada muzik yang hebat,” tuturnya.

Bercerita sedikit pengalamannya bersama band 4U2C yang ditubuhkan pada tahun 1992 itu, AC mengatakan ketika dia menjadi ketua band itu, dia memberi 100 peratus komitmen untuk melihat bandnya berjaya.

“Saya didik diri serta anggota yang lain dengan disiplin sama ketika zaman saya belajar di Maktab Tentera Diraja. Kami berlatih setiap hari, kami menyanyi, menari dan jadi koreografer.

“Sekarang orang lebih suka pakai penari iringan tetapi kami buat semua sendiri. Kira kerja lebih sikit,” ujarnya yang bersaing sengit bersama KRU pada zaman kegemilangan mereka.

Bicaranya lagi, dia sebenarnya suka menjadi pengasas sesuatu perkara. Oleh kerana itulah, ketika di zaman kegemilangan 4U2C, pasti ramai yang mengingati stail mereka bersama cakera padat (CD) yang digantung di leher.

Walaupun agak pelik tetapi stail mereka diterima dan mula menjadi ikutan anak muda zaman itu.

“Memang agak kelakar bila ingat balik tetapi saya tetap berbangga kerana orang masih ingat 4U2C bersama cakera padat tergantung (ketawa).

“Sebenarnya idea nak letak CD itu timbul apabila saya lihat satu penyanyi rap barat yang meletakkan jam dinding bulat di leher. Jadi saya cuba dengan CD dan orang suka. Selepas itu kami muncul dengan seluar pendek dan imej yang berbeza-beza,” katanya tentang formula untuk menarik perhatian peminat muzik.

Perlu ada minat – Sasha Elite

Sasha Saidin, wanita jelita yang kini sudah berstatus ibu, menjelaskan zaman 90-an ketika itu memang cukup sesuai untuk kemunculan band pop lelaki dan wanita.

KUMPULAN Elite. Dari kiri: Abby, Watie, Sasha, Azza dan Linda. Mereka sempat bertahan selama 10 tahun sebelum berpecah.

Trend sebegitu bukan sahaja hangat di Malaysia tetapi juga di barat yang ketika itu label-label gila melahirkan band pop.

Elite bukan setakat berbekalkan paras rupa semata-mata. Menurut Sasha mereka bekerja keras untuk menjadi band pop yang menjadi idola ramai anak muda.

“Bagi menjadi sebuah band pop wanita yang bagus, seingat saya, sebelum kami muncul dengan album, kami semua telah menghadiri kelas vokal bersama cikgu Siti Hajar dan kelas tarian di bawah bimbingan KRU selama setahun.

“Latihan itu amat penting supaya kami bersedia. Hubungan antara anggota juga sangat rapat. Kami sudah seperti adik-beradik. Apa paling penting kita kena gembira dengan apa yang kita lakukan, baru orang yang menonton pun boleh terhibur,” jelasnya yang pernah popular bersama Elite dengan lagu G.I.G, Manisnya Senyumanmu dan Tamparan Wanita.

Tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Demi Elite yang bernaung di bawah KRU, Sasha sanggup melepaskan peluangnya untuk menyambung pelajaran.

“Semasa jalani uji bakat untuk Elite, saya ingat usia band ini tidak lama, bagi saya paling lama pun mungkin dua tahun. Itu berdasarkan sejarah band pop wanita yang pernah wujud di Malaysia sebelum Elite.

“Masa itu hati saya berbelah bahagi antara nak sambung pelajaran dan dunia seni. Saya siap yakinkan ibu bahawa band ini tidak bertahan lama (ketawa). Itu yang keluarga saya benarkan saya masuk Elite.

“Tetapi tidak disangka kerana keserasian dan minat, akhirnya sebelum meninggalkan Elite saya telah bersama mereka selama lapan tahun sebelum Elite diteruskan dengan anggota yang lain,” katanya tentang band yang wujud selama 10 tahun itu.

Luah Sasha, meskipun terpaksa melepaskan pelajaran, dia tidak pernah menyesal dengan jalan yang dipilihnya kerana menganggap ia satu pengalaman hidup yang amat bermakna.

“Saya akhirnya dapat juga masuk universiti dan mendapat ijazah yang diidamkan. Saya tidak pernah menyesal kerana bersama Elite, saya menimba pengalaman yang sangat menakjubkan. Ada pahit ada manisnya. Sekarang kalau jalan ke mana-mana orang masih tegur saya sebagai Sasha Elite,” ujarnya dalam nada gembira.

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

Kenangan silam kembali. 4U2C & KRU <333.

Written by Langit Biru

Februari 11, 2010 pada 11:46 pm

Dikirim dalam Berita

Tagged with , ,

Satu Respons

Subscribe to comments with RSS.

  1. sampai sekarang suka lagu2 KRU.. =)

    tintaoren

    Februari 15, 2010 at 6:32 pm


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: