Langit Biru

Semua orang sudah tahu

Dominasi Faizal – Aizat Mengagumkan

leave a comment »

KUALA LUMPUR, 15 FEBRUARI 2010: Peluang keemasan yang diberikan Dato` Siti Nurhaliza kepada 2 bintang muda, Aizat dan Faizal Tahir menerusi konsert Satu Suara di Istana Budaya yang berakhir malam semalam, jelas membuahkan satu natijah di luar jangkaan.

Bukan sekadar pada sambutan daripada peminat 2 bintang berkenaan, malah kewibawaan mereka memberikan persembahan hebat dan bertenaga untuk 3 malam berturut-turut, nyata cukup membanggakan ramai pihak terutama penerbit konsert itu, Siti Nurhaliza Productions (M) sdn Bhd (SNP).

Dominasi Aizat dan Faizal yang turut mendapat sokongan padu daripada kelab peminat masing-masing, Aizoners dan Rockersteiners, telah mencatat sejarah tersendiri meskipun ini adalah pertama kali mereka digabungkan bersama.

Lebih mengejutkan lagi apabila Faizal berjaya mengotakan janjinya untuk langsung tidak bertongkat sepanjang konsert berkenaan selepas hampir beransur pulih daripada penyakit di kaki sebelah kanan yang dialaminya sejak 3 bulan lalu.

“Semua ubat sudahpun habis saya telan hari ini. Alhamdulillah berkat doa daripada semua, saya masih gagah berdiri meskipun ada ketikanya saya hampir tak berdaya, tetapi saya gagahkan juga.

“Salah saya juga kerana tidak berjumpa doktor. Kerana saya sepatutnya membuat pemeriksaan doktor selepas hari pertama persembahan, tapi saya gagal. Apapun esok saya akan berjumpa doktor. Tapia apa yang pasti saya telah mencapai matlamat untuk tidak bertongkat dalam konsert ini,” katanya yang dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 2 bulan.

Sama ada Faizal mahupun Aizat, masing-masing tidak menjangkakan sambutan luar biasa peminat muzik di luar sana yang sanggup mengorbankan waktu mereka terutama pada persembahan malam semalam yang  jatuh pada cuti umum Tahun Baru Cina.

Lantas peluang itu diberikan sehabis baik buat 2 sahabat itu dengan genre muzik muzik mereka yang nyata berbeza,  namun diselenggarakan dengan cukup gah oleh pengarah konsert itu, Jennifer Thompson.

Dibuka dengan persembahan duet ringkas bersama lagu  Saya Anak Malaysia, dominasi Aizat seterusnya menyerlah bersama susunan  lagu-lagu popularnya, seperti Kau Dan Aku, Kau Fikirlah dan lagu tuahnya di Anugerah Juara Lagu berjudul Pergi.

Lebih istimewa lagi apabila Aizat berkongsi rahsia 2 ikon muzik kegemarannya sedari kecil lagi iaitu kumpulan The Beatles dan Raihan dengan mendendangkan lagu-lagu terbaik mereka seperti Yesterday dan Thank You Allah.

“Sejak saya kecil lagi sehinggalah berusi 21 tahun iaitu, saya sudah dibiasakan oleh mak saya untuk mendengar lagu Thank You Allah, tiap-tiap kali balik dari sekolah. Lagu ini sudah serasi dalam telinga dan jiwa saya. Sebab itulah saya persembahkan kepada anda hari ini,” katanya kepada penonton.

Melengkapi persembahan solonya, Aizat menunjukkan kemahirannya bermain piano sambil mengalunkan lagu yang telah berjaya membawa namanya sebagai penyanyi hebat, Hanya Kau Yang Mampu.

Ruang Panggung Sari sekali lagi bergema, tapi kali ini lebih menyerlah, sebaik saja Faizal yang tampil cukup bergaya bersama pakaian rekaaan Hazwani Osman dengan lagu permulaan solonya Sampai Syurga.

Begitu terserlah taring Faizal lebih-lebih lagi apabila kedengaran semaraknya sorak-sorai peminat Raja Rock Alaf baru itu.

Entah mengapa, seperti yang dimaklumkan oleh mereka yang telah menonton konsert itu di malam pertama dan ke-2, Faizal pada malam terakhir nampaknya telah terbawa-bawa dengan jenaka meleretnya sampai mengundang sedikit kebosanan.

Tiap ruang, diisi penyanyi itu dengan riak dan penuh bersahaja bagaikan alpa dengan masa yang sentiasa mencumburui.

“Bukan niat saya untuk cakap kosong. Tapi malam terakhir ini suara saya banyak hilang. Tambah pula dengan keadaan  saya yang kurang sihat, saya cuba meredakannya dengan cara berinteraksi dengan penonton sebelum saya menyanyikan lagu seterusnya.

“Pada persembahan malam pertama, Dato’ Siti ada usik-usik saya supaya jangan terlalu banyak bercakap. Begitu juga untuk malam ke-2. Tapi untuk malam ini, dia memberikan saya kebebasan. Tambahan pula, dalam mana-mana persembahan hiburan sekalipun, memang sukar untuk menetapkan masa dengan tepat,”  jelas Faizal sebagai alasan.

Jenaka Faizal berterusan selari dengan sorakkan peminatnya yang menginginkan dia hadir dengan lagu hitnya seperti Cuba, Bencinta, Batu & Golek, Selamat Malam dan juga tidak ketinggalan 3 lagu dari idolanya Queen.

Bersempena Hari Memperingati Kekasih, gabungan Faizal dan Aizat dimantapkan lagi dengan kemunculan Siti bersama lagu Sejati yang dinyanyikan mereka bertiga dengan lenggok serta alunan muzik lebih segar.

Bagaikan suara sang dewi turun dari kayangan, Siti lemah gemalai mendahului persembahan dengan madley lagu cinta seperti  Sekuntum Mawar Merah dan Relaku Pujuk yang turut mendapat paduan suara Faizal dan Aizat.

“Syukur Alhamdulillah, sebagai penerbit, Siti nampaknya telah berjaya merealisaikan harapan peminat untuk melihat mereka berdua membuat persembahan di atas pentas berprestij ini.

“Meskipun kali ini Siti tidaklah memberi komitmen sepenuhnya sebagaimana konsert solo Siti sebelum ini, tapi selama 3 malam ini, Siti berpuas hati dengan komitmen yang mereka berikan kerana apa yang kita mahu terjemahkan dalam konsert ini, matlamatnya sudah pun tercapai,” katanya yang mengidamkan peluang membawa penyanyi tempatan ke Esplanade, Singapura suatu hari nanti.

Teks oleh Haswari Ali (murai.com.my)
Foto Ihsan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd

Saya nak konsert DVD!

Written by Langit Biru

Februari 16, 2010 pada 6:39 pm

Dikirim dalam Berita

Tagged with , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: