Langit Biru

Semua orang sudah tahu

[17.02.2010] Han bok cantik sempena Seollal

leave a comment »

Tahun Baru Korea ialah hari pertama dalam tahun kalendar Korea qamari dan merupakan perayaan masyarakatnya yang paling penting.

PASTINYA ramai yang tidak tahu bahawa pada 14 Februari bukan masyarakat Cina di seluruh dunia sahaja yang meraikan perayaan Tahun Baru Cina, malah pada tarikh keramat tersebut, masyarakat Korea di seluruh dunia turut meraikan Tahun Baru Korea yang dinamakan Seollal atau Gujeong.

Tahun Baru Korea ialah hari pertama dalam tahun kalendar Korea dan merupakan perayaan Korea yang paling penting.

Seollal terdiri daripada satu tempoh keraian yang bermula pada Hari Tahun Baru selama tiga hari. Oleh kerana kalendar Korea seiras dengan kalendar Cina, maka Tahun Baru Korea disambut pada hari yang sama dengan Tahun Baru Cina.

Walaupun Hari Tahun Baru Korea kedengaran agak asing di Malaysia, namun Korean School of Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan festival tersebut sempena sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia dan Korea bertempat di Restoran Jung-Won, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Sama seperti perayaan-perayaan lain, rakyat Korea yang bermastautin di Malaysia meraikannya dengan meriah sekali walaupun berada jauh dari negara asal mereka.

Menurut seorang suri rumah, Bae Jung Won, 42, walaupun perayaan Tahun Baru Korea yang disambut di Malaysia tidak semeriah di negara asalnya, namun kerinduan terhadap suasana itu sedikit sebanyak terubat apabila mereka dapat berkumpul dan sama-sama meraikannya di negara ini.

“Perayaannya tidak ubah seperti Tahun Baru Cina yang diraikan di sini. Semua orang akan memakai pakaian tradisional berwarna-warni yang dipanggil ham bok.

“Suri rumah seperti saya akan sibuk menyediakan kuih tradisional injeolmi (kuih-muih yang diperbuat daripada tepung beras) seperti kul ddok dan sup ddok,” katanya yang sudah empat tahun menetap di Malaysia.

KANAK-KANAK Korea yang memakai hambok memberi tunduk hormat kepada pemberi 'angpau'.

Kebanyakan kuih tradisional yang disediakan menggunakan tepung beras. Sebagai contoh, untuk membuat kuih kul ddok, tepung beras perlu dicampurkan dengan air dan dikukus sehingga masak. Kemudian adunan itu akan dipukul dengan menggunakan alat dipanggil dduk mae untuk menjadikan ia liat seperti gula-gula getah.

Proses memukul dilakukan secara bergilir-gilir oleh dua orang pemukul. Selepas adunan tersebut siap, ia akan dibentuk menjadi empat segi kecil dan digaul dengan pelbagai jenis serbuk seperti serbuk kacang hijau, bijan hitam dan kacang merah sebagai perasa.

Selain disalut, kul dduk juga diisi dengan gula sebagai inti bagi memberikan rasa manis.

Tatkala penulis sibuk mencatat nota dan melawat dari satu gerai ke satu gerai membuat kuih tradisional, seorang wanita warga Korea lingkungan umur 58 tahun datang menyapa dan mula memberikan penjelasan mengenai pelbagai kuih tradisional di situ.

Sedikit kagum apabila seorang wanita Korea yang mahu dikenali sebagai Mak Cik Azmah ini memberi penerangan dengan menggunakan bahasa Melayu walaupun tidak berapa fasih.

Tanpa diminta, Mak Cik Azmah menerangkan bagaimana kuih-kuih tradisional itu dibuat.

DEMONSTRASI membuat kuih kul ddok.

“Ini namanya dalgona atau gula-gula. Untuk membuatnya, gula perlu dicairkan dan dicampurkan dengan serbuk penaik secara bergilir-gilir ke dalam sebuah bekas sehingga ia kembang.

“Apabila sudah kembang, ia perlu disejukkan sehingga menjadi keras kemudian barulah boleh dimakan,” jelasnya.

Tambah wanita peramah itu, boleh dikatakan semua kuih dan hidangan Korea adalah berasaskan tepung beras. Dia mempelawa penulis merasa semangkuk sup ddok.

Sup ddok itu kelihatan seperti laksam, cuma kuahnya cair seperti sup air biasa yang dicampurkan dengan rumpai laut sebagai perasa.

Sementara itu, seorang penuntut Kolej Taylor’s, Kim Soo Bin yang sudah lapan tahun tinggal di Malaysia memberitahu, selain makan bersama keluarga pada Tahun Baru Korea, rakyat Korea juga turut beriadah bersama keluarga.

“Seisi keluarga tidak kira jantina dan peringkat usia akan bermain gasing, layang-layang dan jae gi (timbang bulu ayam).

ANEKA jenis kuih tradisional Korea dihidangkan untuk para tetamu.

“Dengan cara ini, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan,” ujarnya.

Seperti perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, golongan kanak-kanaklah yang paling gembira kerana berpeluang mengutip sampul berisi duit sempena Seollal.

Cara mendapatkan ‘angpau’ itu walau bagaimanapun tidak sama seperti tradisi Melayu dan Cina. Kanak-kanak Korea perlu duduk bertentangan dengan si pemberi dan memberikan tunduk hormat sebelum sampul dihulurkan kepada mereka.

Pengetua Korean School of Malaysia, Ryu Seung Wan, 47, memberitahu bahawa perayaan Seollal kali ini, masuk tahun ketiga penganjurannya. Cuma kali ini, ia dibuka kepada orang awam.

“Sambutan kali ini amat menggalakkan kerana lebih 1,000 orang hadir termasuk orang luar (bukan rakyat Korea) yang datang untuk melihat sendiri makanan, budaya serta bagaimana perayaan ini diraikan.

“Walaupun berada di negara asing, rata-rata rakyat Korea tidak kekok berada di sini kerana ramai orang Korea di Malaysia iaitu kira-kira 15,000 orang yang kebanyakannya tinggal di Ampang dan Bukit Kiara,” katanya yang fasih berbahasa Melayu setelah 20 tahun menetap di Malaysia.

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my

Tak tau pun ada majlis sebegini, kalau tau awal-awal boleh pergi juga. Menarik betul. Dah ler ada makanan.

Written by Langit Biru

Februari 17, 2010 pada 11:55 pm

Dikirim dalam Artikel

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: