Langit Biru

Semua orang sudah tahu

[18.02.2010] Celoteh Faizal meleret-leret

leave a comment »

Rasanya wartawan ni pergi hari pertama je kot. Yang lebih-lebih ni mesti dia baca di forum peminat. Artikel panjang tapi gambar satu dan kecik je versi online. Banyak betul komen pasal FT ni.

SEGALA-GALANYA nampak sempurna pada malam Konsert Satu Suara di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur tempoh hari. Paduan vokal yang mantap antara dua bintang muda iaitu Aizat dan Faizal Tahir serta kehadiran penyanyi terbaik yang pernah dilahirkan oleh industri hiburan, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin cukup untuk menjelaskannya.

Aizat dan Faizal memperlihatkan sisi baru dalam diri penghibur muda berjiwa besar seperti mereka. Persembahan Satu Suara terbitan Siti Nurhaliza Productions (SNP) turut disokong oleh iringan muzik yang hebat.

Ia juga berlangsung di pentas prestij bertaraf dunia. Sayang sekali ada kecacatan yang benar-benar merimaskan audiens pada malam konsert itu berlangsung. Ia berpunca daripada Faizal Tahir!

Rumusan ini sebetulnya menterjemahkan sentimen sebilangan besar penonton yang kedengaran pada malam itu. Faizal bertuah kerana memiliki kualiti vokal tersendiri. Dia juga beruntung kerana memiliki kemahiran menguasai muzik (dari aspek penghasilan melodi, susunan muzik sehingga ke kerja-kerja penerbitan).

Namun, pada malam konsert berkenaan, Faizal menjejaskan tumpuan penonton. Penyanyi berusia 31 tahun ini wajar diingatkan supaya bijak mengawal diri ketika beraksi di pentas.

Celoteh Faizal tempoh hari sangat meleret dan mencetuskan kebosanan di kalangan audiens. Banyak benar cerita yang mahu dikongsi oleh Faizal dengan penonton sedangkan dia mempunyai masa yang sangat singkat untuk menyanyi.

Mungkin Faizal terlupa yang peminat-peminatnya datang untuk menonton persembahannya dan bukannya untuk mendengar celoteh berjela-jela! Menonton persembahan Faizal tempoh hari juga membawa penonton seakan-akan berada di Staples Center atau Kodak Theatre di Hollywood pula.

Semua orang sedia maklum, Faizal memiliki kemahiran menguasai bahasa Inggeris dengan baik tanpa celanya. Faizal begitu ‘cair’ berbual dalam bahasa penjajah sepanjang konsert itu sehingga terlupa yang dia berada di Panggung Sari di bumi Malaysia.

Kita semua faham bahasa Inggeris adalah bahasa utama dunia tetapi bukankah sebagai rakyat Malaysia kita juga wajar bertanggungjawab memperkasakan bahasa Malaysia? Faizal adalah ikon seni generasi baru. Dia wajar memikul tanggungjawab yang serupa.

Dan setahu semua Faizal juga bukanlah penyanyi yang memiliki album Inggeris! Dia adalah penyanyi lagu-lagu Melayu. Bukankah begitu Faizal? Ramai yang percaya Faizal terlampau seronok mendapat peluang beraksi di IB sehingga terlupa hal itu.

Bukan saja Faizal, bahkan mana-mana penyanyi muda sekalipun akan berasa teruja untuk beraksi di situ. Dari satu sisi lain, persembahan Faizal memiliki dinamik yang tersendiri.

Sebetulnya, penghibur yang juga anak jati Kuala Lumpur itu tidak perlu menjadi orang lain ketika di pentas. Tidak keterlaluan juga kalau disebut pada ketiga-tiga malam konsert itu, majoriti yang hadir adalah peminat Faizal yang menggelarkan diri mereka sebagai Rockensteiners.

Tepukan dan sorakan yang diterimanya membangkitkan kuasa yang cukup luar biasa malam itu. Sebaik Faizal muncul di pentas tanpa bertongkat menyampaikan lagu Sampai Syurga, peminatnya sudah tidak dapat dikawal lagi.

Mereka menjerit serta bersorak bagaikan terkena histeria dan itu sudah cukup membuktikan Faizal memiliki ramai pemuja. Untuk menyesuaikan telinga peminatnya, Faizal seterusnya memilih lagu Adrenalin yang merupakan lagu baru dalam album keduanya yang akan dipasarkan bulan depan.

“Album kedua saya ini memang merupakan satu pertaruhan dalam memperkenalkan muzik dan bunyi yang baru. “Tetapi saya tahu, anda semua masih mahukan yang lama bukan,” katanya dalam lenggok provokasi kepada audiens sebelum menyampaikan lagu yang membawanya ke puncak kemasyhuran iaitu Mahakarya Cinta.

Biarpun kesakitan masih dirasakan, namun Faizal tidak gagal dalam persembahannya. Lontaran vokalnya bertenaga sekali terutama untuk lagu rancak seperti Batu dan Golek serta Selamat Malam yang disampaikannya. Faizal yang meminati genre rock dan mengagumi kumpulan Queen mengambil kesempatan menyanyikan lagu-lagu kumpulan itu.

Tiga lagu yang menjadi pilihan Faizal pada malam itu ialah Bohemian Rhapsody, Who Wants To Live Forever dan We Are The Champions. Energi Faizal cukup menyerlah sewaktu menyampaikan lagu-lagu ini dan ia berterusan sewaktu Faizal mendendangkan lagu Cuba dan Bencinta yang terus memperkasakan kedudukannya dalam industri hiburan.

Rekod baru Aizat

Secara umumnya, konsert yang Aizat dan Faizal Tahir serta penampilan khas Siti Nurhaliza meninggalkan impak yang cukup besar. Konsert Satu Suara membuka tirainya dengan lagu duet Aizat dan Faizal, Saya Anak Malaysia (nyanyian asal Dr. Sam) yang diubah liriknya bagi menceritakan diri masing-masing.

Lagu berkenaan cukup signifikan dengan diri Aizat dan Faizal yang menggambarkan mereka sebagai artis generasi baru yang masih mengekalkan jati diri mereka biarpun dilahirkan dalam zaman pasca merdeka. Meneruskan momentum yang tercipta daripada Saya Anak Malaysia, Aizat menghangatkan pentas dengan persembahan menerusi lagu Kau Aku dan Fikirlah.

Pada malam itu, Aizat turut mempromosikan lagu terbarunya, Susun Silang Kata yang kini sedang popular. “Untuk mengadakan konsert sebesar ini memang merupakan satu impian yang memang saya idamkan.

“Saya harus mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama Siti dan SNP kerana memberikan peluang kepada saya dan Faizal untuk menonjolkan bakat kami kepada masyarakat,” kata Aizat sebaik sahaja menyampaikan lagu terbarunya itu. Bagi menampilkan kelainan, turut dimuatkan visual dan temu bual sepasang kekasih yang menceritakan tentang peranan karya-karya Aizat dalam perhubungan mereka.

Sudah pasti, melodi indah Lagu Kita yang disampaikan Aizat selepas itu sudah cukup menggambarkan betapa indahnya lagu berkenaan untuk menggambarkan perhubungan mereka. Mendengarkan Aizat menyampaikan lagu yang diciptanya sendiri itu membuatkan penonton khayal seketika dan bagaikan tidak puas mendengar Aizat menyanyikan lagu tersebut.

Ditambah pula dengan latar belakang pentas yang dipenuhi dengan lampulampu kecil berjaya membangkitkan suasana romantis di dalam Panggung Sari sepanjang Lagu Kita berkumandang. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan karier seni anak muda berusia 21 tahun ini, pasti tidak akan lupa betapa besarnya pengaruh muzik kumpulan The Beatles dalam hidup Aizat.

Maka itu, Aizat mempersembahkan lagu-lagu kumpulan pujaannya itu secara medley iaitu I Am Walrus, Yesterday dan I Want To Hold Your Hand dengan cara yang tersendiri. Sewaktu Aizat menyampaikan lagu Yesterday, penonton di dalam panggung terdiam seketika dan menghayati emosi serta lontaran vokal anak muda itu yang cukup mengasyikkan.

Bukan sahaja The Beatles, tetapi kuasa muzik Allahyarham Datuk Sudirman Arshad juga cukup besar dalam hidup Aizat. Memilih lagu Mat Disko, Aizat berjaya membawakan lagu tersebut dengan gaya yang tersendiri serta menunjukkan skil tariannya.

Bagi menghargai muzik dan mengenang pemergian mereka, Aizat mendedikasikan lagu Pergi yang disampaikan dengan penuh emosi dan syahdu sekali. Aizat juga berkongsi rahsia dengan hadirin apabila menyatakan rasa kagum dan minatnya terhadap muzik yang diperjuangkan oleh kumpulan nasyid unggul negara, Raihan.

“Setiap hari, ibu saya akan memainkan lagu-lagu mereka dalam kereta sehingga saya sudah dapat menghafalnya,” cerita Aizat sebelum menyampaikan lagu Thank You Allah dengan diiringi empat penyanyi latar. Tidak lengkap persembahan Aizat jika dia tidak menyampaikan lagu keramatnya, Hanya Kau Yang Mampu yang telah melonjakkan namanya di persada seni tanah air.

Aizat berjaya membuktikan dia merupakan salah seorang vokalis lelaki terbaik generasi baru. Namun, untuk bertahan lama, Aizat harus mengasah dan menajamkan lagi skil komunikasi dengan audiens.

Kolaborasi versi baru

Konsert Satu Suara turut ditambahkan variasinya pada segmen seterusnya apabila Aizat dan Faizal tampil secara duet dan menyampaikan lagu popular Siti iaitu Percayalah sebelum meneruskan persembahan dengan lagu-lagu rock pujaan ramai seperti Ratuku (Awie), I Don’t Wanna Miss A Thing (Aerosmith) dan Always (Bon Jovi). Penantian untuk menyaksikan Siti mengalunkan suara emasnya itu terlerai apabila dia muncul menyampaikan intro lagu Sejati.

Seperti biasa, Siti tidak pernah mengecewakan malah gaya dan persembahannya untuk lagu ini begitu membuai rasa serta memukau sekali. Biarpun hanya di permulaan lagu sebelum Aizat dan Faizal menyanyi lagu berkenaan bersamanya, Siti tetap meninggalkan impak menerusi nyanyiannya.

Tidak dilupakan mereka turut mempersembahkan medley lagu-lagu cinta dengan interpretasi mereka sendiri seperti Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi (Alleycats), Relaku Pujuk (Spider), Ibu Kota Cinta (Def-Gab-C) dan Kau Kekasihku (Siti).

Siti turut menyampaikan lagu secara solo.

Kali ini, lagu Biarlah Rahsia menjadi pilihan Siti yang digubah serta diberi sentuhan rock dan Siti tetap berjaya menyampaikannya dengan baik sekali. Mengakhiri persembahan, Aizat dan Faizal masing-masing memilih lagu I Go serta Gemuruh sebelum menutupnya dengan lagu Saya Anak Malaysia.

Konsert Satu Suara turut menarik perhatian Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim serta mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang hadir memberi sokongan. Kesimpulannya, Konsert Satu Suara merupakan manifestasi Siti dalam menghargai bakat besar yang dimiliki Aizat dan Faizal untuk terus bertahan lama dalam bidang seni suara.

Jika ada yang masih lagi berfikiran skeptikal kepada bakat Aizat dan Faizal, buangkanlah ia jauh dari minda kerana mereka sudah membuktikan, hasil produk realiti TV seperti mereka juga mampu menjadi jaguh. Buat Aizat dan Faizal, ini hanyalah permulaan kerana perjalanan seni anda masih lagi panjang. Masih banyak ruang lagi untuk kalian perbaiki dalam membentuk diri menjadi seorang karyawan yang disegani.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AIZZUL A. MAJID

Written by Langit Biru

Februari 18, 2010 pada 12:19 pm

Dikirim dalam Artikel

Tagged with , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: