Langit Biru

Semua orang sudah tahu

[22.02.2010] Berjaya tarik minat orang muda ke IB

leave a comment »

HANYA senyuman tanda puas meleret di bibir setiap penonton yang hadir ke Konsert Satu Suara di Istana Budaya hujung minggu lalu yang menggabungkan tiga penyanyi popular negara. Gabungan Faizal Tahir, Aizat dan penampilan istimewa Datuk Siti Nurhaliza benar-benar meninggalkan kesan buat peminat tiga penyanyi itu.

GANDINGAN tiga vokal Aizat, Siti dan Faizal buat pertama kali yang memukau ramai.

Meskipun tiada gimik yang ditampilkan, penampilan mereka bertiga sudah cukup kuat untuk membuatkan konsert anjuran Siti Nurhaliza Production (SNP) itu cukup sukses. Siti Nurhaliza yang bertindak sebagai penerbit konsert tersebut menjelaskan selama tiga hari konsert berlangsung, SNP telah mencapai matlamatnya untuk meremajakan Istana Budaya yang sinonim dengan persembahan kelas satu itu.

“Saya rasa dari segi matlamat untuk menarik minat orang muda ke IB telah berjaya dan apa yang saya lihat penonton semuanya sangat sporting dan memberi kerjasama yang sangat baik,” ujarnya. Menariknya pada konsert yang diiringi oleh pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan itu semua lagu Siti diubah kepada susunan muzik rock, malah Siti sendiri berduet bersama Faizal dan Aizat menerusi lagu Sejati, medley Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Relaku Pujuk, Ibukota Cinta, Kau Kekasihku selain lagu solo Biarlah Rahsia.

“Seronok juga menyanyikan lagu rock dan saya gembira bila lihat penonton suka dengan apa yang kami lakukan. Sebab selalunya saya akan mendendangkan lagu balada tetapi konsert kali ini sangat berbeza,” katanya. Meskipun genre rock dilihat amat cocok dengannya, tetapi Siti tidak akan menerbitkan album rock atau bersatu dalam sebuah album bersama Faizal dan Aizat.

“Album rock itu tidaklah, sebab saya rasa lebih selesa dengan lagu-lagu yang saya bawakan sekarang. Lagipun Konsert Satu ini telah menyatukan kami bertiga. Kira ini antara koleksi persembahan terbaik saya bersama mereka berdua,” ucapnya. Jelas Siti, jika pada masa hadapan terdapat permintaan untuk menggabungkan mereka bertiga dalam sebuah konsert Siti tidak akan menolak kerana sudah selesa bekerja dengan penyanyi yang disifatkannya mempunyai kelebihan tersendiri.

”Kalau ada lagi tawaran untuk bergabung saya tidak akan menolak. Jika ada dengan penyanyi lain pun saya okey tetapi banyak perkara yang harus diteliti terlebih dahulu sebelum menerima tawaran sebegitu,” ujarnya.

AIZAT dan Faizal berjaya menggalas kepercayaan yang diberikan oleh Siti Nurhaliza Production dengan baik.

Faizal ambil pil

Satu Malaysia sudah tahu bahawa Faizal Tahir kini sedang bergelut dengan penyakit yang agak kritikal dan menyebabkannya terpaksa membataskan pergerakan. Malah, ketika berlangsungnya Konsert Satu Suara, Faizal sepatutnya menyanyi bersama tongkat tetapi demi peminat dan persembahan yang menarik, dia melawan sakit dan memberi persembahan yang cukup menghiburkan.

Faizal juga dilihat amat bijak berkomunikasi dengan penonton dan mengubah mood penonton supaya turut serta dalam persembahannya. “Sakit, sakit juga. Saya terpaksa tahan. Hari pertama saya tidak ambil pil penahan sakit kerana saya tahu tidak elok jika terlalu bergantung kepada pil itu. Tetapi selepas hari pertama, saya terpaksa mengambil pil tahan sakit kerana kesakitan itu cukup menganggu konsentrasi dalam persembahan saya.

“Cerita sakit saya tolak tepi bila saya berada di atas pentas. Itu tanggungjawab saya sebagai penyanyi. Penonton yang membayar untuk menyaksikan persembahan harus mendapat pulangan yang berbaloi,” tuturnya. Walaupun menahan sakit, Faizal cukup berpuas hati dengan persembahannya dalam konsert tersebut dan menyifatkan Siti seperti seorang guru kepadanya.

“Walaupun saya lebih tua daripada Siti tetapi mengikut pengalaman dalam industri seni dia lebih tua daripada saya. Banyak tunjuk ajar yang telah Siti berikan kepada saya dan Aizat,” ucapnya lagi. Bercerita tentang pemilihan lagu, Faizal memberitahu setiap lagu yang dipilih dibincangkan bersama supaya perjalanan persembahan berjalan dengan lancar.

“Semua lagu dipilih bersama bukanlah ikut kepala saya sendiri. Kami berbincang dengan pengarah muzik Lee Sze Wan. Ada antara lagu yang dipilih saya tidak pernah nyanyikan sebelum ini dan telah berada lama dalam fikiran,” katanya yang cukup seronok membuat persembahan bersama Aizat. Faizal yang mendapat tepukan paling gemuruh sepanjang konsert itu mendendangkan lagu solonya seperti, Sampai Syurga, Adrenalin, Mahakarya Cinta, Batu dan Golek, Selamat Malam, Cuba, Bencinta serta medley barisan lagu kumpulan Queen. Antaranya, Bohemian Rhapsody, Who Wants To Live Forever dan We Are The Champions.

Aizat ketakutan

Jika Siti dan Faizal mempunyai lebih pengalaman dalam persembahan konsert dan nampak yakin dalam setiap apa yang mereka lakukan di atas pentas, Aizat pula terus-terang menyatakan kegugupannya tatkala berdiri di atas pentas Istana Budaya. “Saya memang takut kerana ini konsert pertama. Saya akui banyak benda yang kurang tetapi saya telah beri yang terbaik. Berganding pula dengan Datuk Siti dan Faizal yang kita tahu hebat di pentas, saya rasa diri sangat kecil.

“Apapun saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk bersama mereka dan buat persembahan di Istana Budaya. Bukan semua orang dapat buat persembahan di sini. Kira ini pengalaman saya yang cukup berharga,” tuturnya. Tambah Aizat yang turut bermain piano dan gitar dalam konsert itu mengatakan sebagai penyanyi dia tidak pernah berasa puas dengan persembahan yang diberikan kerana tahu dirinya mampu berika yang lebih baik.

“Untuk konsert ini kami semua telah bersedia dan membuat sesi latihan bersama dalam tiga kali. Tetapi waktu latihan dan konsert sebenar amat berbeza, bila berlatih tempat duduk semua kosong tetapi bila konsert, kerusi semua penuh dan banyak mata yang memandang setiap gerak-geri saya,” ujarnya. Sepanjang konsert itu berlangsung pujian harus diberikan buat Aizat. Dia antara penyanyi termuda yang layak meloloskan diri untuk berada di pentas Istana Budaya.

Bagaimanapun, usia memang memainkan peranan. Aizat harus menggilap lagi skil komunikasinya bersama penonton yang dilihat masih kurang berbanding dua penyanyi yang lebih senior. “Itu saya akui, saya masih kurang kerana ini pengalaman pertama. Perasaan gugup pun saya tidak dapat atasi, inikan pula nak bercakap dengan penonton seolah-olah tiada apa yang berlaku,” bicaranya.

Oleh sebab itu, Aizat memilih untuk berbicara bersama penonton menerusi lagu yang didendangkan tetapi liriknya diubah seolah-olah Aizat bercakap dengan penonton. Dalam konsert itu, selain mendendangkan barisan lagunya seperti I Go, Pergi, Kau Aku dan Lagu Kita, anak muda berusia 21 tahun itu turut berduet bersama Faizal Tahir menerusi lagu Percayalah, Ratuku, I Don’t Wanna Miss A Thing dan Always.

Aizat juga menyanyi secara medley lagu kumpulan Beatles yang berjudul, I Am Walrus, Yesterday dan I Want To Hold Your Hand serta lagu Mat Disko dan Thank You Allah.

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

Written by Langit Biru

Februari 22, 2010 pada 9:34 am

Dikirim dalam Berita, Muzik

Tagged with , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: